📝 Ringkasan
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Summer School: A Global Learning Experience in Malaysia 2026 bersama Kookmin University, Korea Selatan. Program ini telah menarik 21 pelajar dari Kookmin University dan 7 pelajar FKM, UTM. Mereka telah mengikuti kuliah kejuruteraan, aktiviti makmal, lawatan ke tempat-tempat ikonik dan industri, serta aktiviti silang budaya. Program ini telah meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan memelihara alam sekitar dan menggalakkan interaksi aktif antara pelajar daripada pelbagai latar belakang.
JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa menerusi penganjuran program kerjasama tahunan Summer School: A Global Learning Experience in Malaysia 2026 bersama Kookmin University, Korea Selatan, yang berlangsung selama dua minggu dari 19 Julai hingga 1 Ogos 2026.
Edisi kali ini disertai 21 pelajar dari College of Engineering, Kookmin University dan tujuh pelajar FKM, UTM, sekali gus menjadi platform bagi memperkukuh pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman pembelajaran dalam suasana antarabangsa.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhamad Azizi Mat Yajid, Menjalankan Tugas Dekan FKM, di Dewan Seminar C23, FKM.
Program berkenaan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Program Summer School yang diketuai Ts. Dr. Mohd Faizal Hasan, bersama timbalannya, Dr. Muhammad Faiz Hilmi Rani. Ahli jawatankuasa terdiri daripada Dr. Ummikalsom Abidin, Prof. Madya Dr. Mohd Fairus Mohd Yasin, Ts. Dr. Desmond Daniel Chin Vui Sheng, Ir. Ts. Dr. Wong Keng Yinn, Dr. Mohd Haziq Dzulkifli, Halimah A. Razak dan Suriati Kasim.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi kuliah kejuruteraan meliputi bidang mekanikal, bahan, elektrik dan awam serta amali makmal kejuruteraan dalam bidang bahan, CAD/CAM dan termobendalir. Peserta turut membuat pembentangan berdasarkan kuliah kejuruteraan yang dihadiri, selain menghasilkan persembahan video berdasarkan pengalaman sepanjang program.
Program turut merangkumi lawatan ke Makmal Aerodinamik dan Pusat Teknologi Marin UTM, tempat-tempat ikonik di Putrajaya dan Kuala Lumpur serta lawatan industri ke Sun Bus Tech Sdn Bhd, Senai. Peserta juga menyertai aktiviti Silang Budaya Bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Melayu, Iskandar Puteri.


Aktiviti boat riding di persekitaran penanaman bakau di Sungai Melayu turut memberi kesedaran kepada peserta tentang kepentingan memelihara alam sekitar agar sentiasa bersih dan sejahtera seiring dengan kemajuan yang pesat. Pengisian program bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menimba ilmu secara rentas bidang, malah menggalakkan interaksi aktif antara pelajar daripada pelbagai latar belakang.


Program itu turut menerima maklum balas positif daripada peserta. Kim Minjun, pelajar Kejuruteraan Mekanikal Kookmin University, menyatakan penyertaannya dalam program Summer School memberi peluang kepadanya mendapat pendedahan terhadap kepelbagaian bidang kejuruteraan selain kejuruteraan mekanikal yang saling berkaitan dalam kehidupan.
Sementara itu, Kim Joonha, pelajar bidang Sains dan Kejuruteraan Bahan, merasakan keyakinannya untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris meningkat selepas menyertai program tersebut. Kim Doyeon, pelajar bidang Kejuruteraan Elektrik, pula menghargai pengalaman sepanjang mengikuti program berkenaan dan kagum selepas merasai sendiri keharmonian di Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian agama dan budaya.
Peserta FKM, UTM, Lee Yi Fan pula menyatakan bahawa program tersebut meningkatkan kesedarannya tentang kepentingan sikap toleransi dan menghormati perbezaan budaya demi keharmonian dalam kehidupan.
Secara keseluruhannya, program Summer School: A Global Learning Experience in Malaysia 2026 menggabungkan elemen pembelajaran akademik, pertukaran budaya dan pembangunan sahsiah peserta.
Program itu diharapkan dapat menjadi perangsang kepada kerjasama erat antara kedua-dua institusi untuk terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada usaha melahirkan graduan yang berfikiran global, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dalam kehidupan.