Perpustakaan UTM sebagai platform pembelajaran silang budaya mahasiswa antarabangsa

SDGSDG4SDG11SDG17

📝 Ringkasan

Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menjadi platform pembelajaran silang budaya bagi mahasiswa antarabangsa menerusi Program Eksplorasi Budaya dan Warisan Malaysia. Program ini melibatkan 46 mahasiswa Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia, dan memberi peluang mereka mengenali budaya, warisan dan identiti Malaysia dengan lebih dekat. Mereka berpeluang merasai pengalaman mewarna batik, mencuba permainan tradisional dan mengenali proses penghasilan batik. Program ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG 4, Pendidikan Berkualiti dan SDG 11, Bandar dan Komuniti Mampan.

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur terus memperluas peranannya sebagai ruang pembelajaran silang budaya menerusi Program Eksplorasi Budaya dan Warisan Malaysia yang melibatkan 46 mahasiswa Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia, di Global Language & Cultural Village (GLCV), Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

GLCV merupakan ruang pembelajaran yang dibangunkan di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur selaras dengan inisiatif UTM ASCEND 2030. Ruang berkenaan diperkasakan sebagai pusat aktiviti bahasa, budaya dan interaksi komuniti, selain dimanfaatkan untuk penganjuran program bahasa, aktiviti kebudayaan, pameran serta perkongsian ilmu yang melibatkan pelajar tempatan, antarabangsa dan komuniti.

Datin Nik Masriza Zakaria, Ketua Bahagian Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, menyampaikan ucapan aluan

Program anjuran Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) Kuala Lumpur itu memberi peluang kepada mahasiswa antarabangsa mengenali budaya, warisan dan identiti Malaysia dengan lebih dekat menerusi perkongsian ilmu serta pelbagai aktiviti berasaskan pengalaman.

Dr. Rasheed Mohamed Kutty, Pengurus UGS Kuala Lumpur, menyampaikan ucapan pembukaan

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menerusi sesi perkongsian ilmu bertajuk “Ini Kraf Malaysia” yang disampaikan oleh Faizul Azha Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Pemuliharaan Kraf.

Sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepelbagaian seni kraf tempatan serta nilai budaya dan warisan yang terkandung dalam penghasilannya. Perkongsian itu turut meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan seni kraf sebagai sebahagian daripada identiti dan khazanah budaya negara.

Faizul Azha Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Pemuliharaan Kraf, menyampaikan sesi perkongsian “Ini Kraf Malaysia”

Sebagai kemuncak program, mahasiswa UNNES berpeluang merasai sendiri pengalaman mewarna batik menerusi aktiviti amali yang disediakan. Aktiviti tersebut memberi ruang kepada peserta meneroka kreativiti masing-masing, di samping mengenali batik sebagai antara warisan seni tekstil yang sinonim dengan budaya Malaysia.

Menerusi aktiviti mencanting dan mewarna batik, peserta turut berpeluang mengenali proses penghasilan batik dengan lebih dekat, termasuk penggunaan canting, lilin dan warna untuk menghasilkan corak pada kain.

Mahasiswa UNNES menyertai aktiviti mencanting dan mewarna batik

Pengalaman pembelajaran peserta turut diperkaya dengan pengenalan kepada beberapa permainan tradisional seperti congkak, ceper, tating lawi dan teng teng. Para mahasiswa berpeluang mencuba sendiri permainan berkenaan dalam suasana santai dan interaktif, sekali gus mengenali satu lagi aspek warisan masyarakat Malaysia melalui pengalaman secara langsung.

Maklum balas peserta menunjukkan penerimaan positif terhadap pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diketengahkan sepanjang program. Aktiviti mewarna batik dan permainan tradisional bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada peserta, malah membantu mereka memahami budaya tempatan melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti yang dijalankan.

Mahasiswa UNNES mencuba permainan congkak sebagai sebahagian daripada aktiviti pengenalan warisan tradisional Malaysia

Dari sudut pembangunan mampan, inisiatif berkenaan turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4, Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan peluang pembelajaran tidak formal dan berasaskan pengalaman, SDG 11, Bandar dan Komuniti Mampan melalui usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara warisan budaya, serta SDG 17, Perkongsian untuk Matlamat menerusi kerjasama antara UTM, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan UNNES dalam menjayakan program berteraskan perkongsian ilmu dan budaya.

Program seumpama itu membuka lebih banyak ruang kepada pembelajaran silang budaya serta meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan menghargai dan memelihara warisan. Pada masa yang sama, inisiatif berkenaan memperkukuh peranan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sebagai ruang pembelajaran yang inklusif dan dinamik, di samping menyokong interaksi serta pembangunan komuniti universiti.

Explore More

UTM Open Day