Majlis Santapan Diraja UTM 2026 himpun RM16 juta, sokong pendidikan dan kebajikan pelajar

SDGSDG4SDG8SDG17

📝 Ringkasan

Majlis Santapan Diraja UTM 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt Hotel Kuala Lumpur telah mengumpulkan RM16 juta. Sumbangan ini akan digunakan untuk memenuhi keperluan pelajar, termasuk biasiswa, bantuan sara hidup, bantuan yuran pengajian, bantuan perubatan, penyediaan makanan percuma dan peralatan pembelajaran.

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh sokongan terhadap pendidikan, kebajikan pelajar serta pembangunan universiti apabila berjaya mengumpulkan RM16 juta melalui Majlis Santapan Diraja UTM 2026 (UTM Royal Gala Dinner 2026) yang berlangsung di Grand Hyatt Hotel Kuala Lumpur, malam ini.

Majlis dwitahunan yang diadakan buat kali kelima ini turut menerima keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Canselor UTM. Turut berkenan berangkat ialah Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pro-Canselor UTM.

Majlis Santapan Diraja UTM merupakan inisiatif universiti untuk menghimpunkan sokongan dan sumbangan daripada pelbagai pihak bagi memperkukuh usaha UTM menyediakan akses pendidikan serta kebajikan yang lebih menyeluruh kepada pelajar.

Menerusi sumbangan yang diterima, UTM menyalurkannya bagi memenuhi pelbagai keperluan pelajar, antaranya biasiswa, bantuan sara hidup, bantuan yuran pengajian, bantuan perubatan, penyediaan makanan percuma dan peralatan pembelajaran, selain menyokong pelaksanaan aktiviti akademik serta penyelidikan.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, sokongan berterusan para penyumbang telah memberikan impak yang nyata terhadap kehidupan dan pendidikan pelajar.

“Sehingga kini, UTM telah menganugerahkan 1,013 Biasiswa Endowmen kepada pelajar B40. Secara kumulatif, Tabung Endowmen UTM telah mengumpulkan RM183.72 juta, dengan RM30.93 juta telah dimanfaatkan untuk pemberian biasiswa. Selain itu, lebih 500 pelajar B40 menerima bantuan sara hidup, lebih 5,000 pelajar menerima bantuan makanan percuma dan lebih 400 pelajar menerima bantuan wang saku perayaan, tanpa mengira kaum dan agama,” ujar beliau.

Menurut beliau, komitmen UTM dalam menyokong pendidikan turut melangkaui sempadan menerusi Program UTM Serambi Al-Quds yang menyaksikan universiti menaja 10 pelajar Palestin untuk mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah di UTM sejak 2023.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyampaikan ucapan pada Majlis Santapan Diraja UTM 2026

Usaha berkenaan bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, malah membantu mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif dengan memberi peluang kepada pelajar meneruskan pengajian, mengembangkan potensi diri dan membina masa depan yang lebih baik.

Pada masa sama, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen UTM dalam menyemarakkan budaya keprihatinan masyarakat terhadap pendidikan serta memastikan lebih ramai individu mendapat peluang mengikuti pendidikan berkualiti, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan bakat berilmu dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan negara.

Sumbangan yang diterima UTM disalurkan menerusi beberapa tabung pendidikan universiti, termasuk Tabung Endowmen UTM, Tabung Dana Wakaf Pendidikan UTM, Tabung Endowmen Majlis Profesor UTM, Tabung Endowmen Persatuan Alumni UTM dan Tabung Endowmen SPACE UTM.

Selain menyokong agenda pendidikan dan kebajikan pelajar, penganjuran Majlis Santapan Diraja UTM 2026 turut menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan strategik antara universiti dengan komuniti penyumbang yang terdiri daripada individu, alumni, warga UTM, pemain industri dan organisasi korporat.

Antara penyumbang dan rakan strategik yang terus memberikan sokongan kepada UTM ialah Bidari Kekal Sdn. Bhd., Japan International Cooperation Agency (JICA), Johor Port Berhad, Awantec Systems Sdn. Bhd. dan Permodalan Nasional Berhad. Sokongan daripada pihak berkenaan turut membantu memperkukuh agenda pendidikan, penyelidikan serta hubungan Malaysia-Jepun.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menerima cek cura berjumlah RM550,000 daripada Awantec Systems Sdn. Bhd
Naib Canselor UTM menerima cek cura berjumlah RM500,000 daripada Permodalan Nasional Berhad
Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menerima cek cura berjumlah RM2 juta daripada Japan International Cooperation Agency (JICA)
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menerima cek cura berjumlah RM7 juta daripada UTMSPACE
Naib Canselor UTM menerima cek cura berjumlah RM3.085 juta daripada Bidari Kekal Sdn. Bhd
Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menerima cek cura berjumlah RM1 juta daripada Johor Port Berhad

Jalinan kerjasama berkenaan penting dalam memperluas penglibatan pelbagai pihak terhadap agenda pendidikan dan pembangunan bakat, di samping menyokong usaha universiti membangunkan ekosistem pembiayaan pendidikan yang lebih lestari.

Turut hadir pada majlis itu ialah TYT Noriyuki Shikata, Duta Besar Jepun ke Malaysia; YBhg. Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, Pro-Canselor UTM; serta YBhg. Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM.

Explore More

UTM Open Day