KKN antarabangsa bersama UNNES serlah pengalaman pembelajaran global

SDGSDG4SDG5SDG11SDG12SDG16

📝 Ringkasan

Program Kuliah Kerja Nyata (KKN) Antarabangsa Siri 2 Tahun 2026 telah berlangsung selama 15 hari di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia. Program ini melibatkan 46 mahasiswa UNNES yang berinteraksi dengan masyarakat setempat di Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang, Hulu Selangor. Mereka telah menyertai pelbagai aktiviti kesenian, kraf, dan khidmat komuniti bersama masyarakat setempat, termasuk aktiviti tie-dye dan penghasilan juadah tradisional. Program ini juga mengetengahkan pertukaran budaya menerusi penghasilan dan perkongsian juadah tradisional di pesisir Sungai Inki, Kalumpang.

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) terus memperkukuh jalinan kerjasama antarabangsa bersama Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia, menerusi penganjuran Program Kuliah Kerja Nyata (KKN) Antarabangsa Siri 2 Tahun 2026.

Program mobiliti dan khidmat komuniti itu berlangsung selama 15 hari, bermula 28 Julai hingga 11 Ogos 2026, dengan penyertaan seramai 46 mahasiswa.

Majlis pembukaan yang berlangsung pada 29 Julai menjadi titik permulaan kepada pelbagai aktiviti akademik, kebudayaan dan kemasyarakatan yang dirancang sepanjang program. Mahasiswa UNNES berpeluang menerokai aspek sejarah, budaya serta pentadbiran negara menerusi lawatan ke Muzium Negara dan Putrajaya, selain menyertai Program Eksplorasi Budaya dan Warisan Malaysia.

Mahasiswa UTM dan UNNES mengikuti sesi Syarahan Perdana
Mahasiswa menyertai aktiviti mencanting batik di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur

Bagi melengkapkan pengisian akademik, program turut menampilkan sesi Syarahan Perdana: Malaysia Culture & Policy Studies serta sesi perkongsian bersama mahasiswa UTM. Selain itu, taklimat khas bersama Bahagian Rekrutmen dan Kemasukan (SRAD) UTM turut diadakan bagi memperkenalkan peluang melanjutkan pengajian di UTM kepada mahasiswa UNNES.

Kemuncak Program KKN Antarabangsa Siri 2 adalah pelaksanaan khidmat komuniti di Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang, Hulu Selangor pada 1 dan 2 Ogos 2026.

Setibanya di lokasi, mahasiswa disambut oleh wakil kampung di Pusat Komuniti Desa (PKD) Sungai Gumut sebelum menyertai pelbagai aktiviti kesenian dan kraf bersama masyarakat setempat, termasuk aktiviti tie-dye.

Mahasiswa UNNES menyertai aktiviti tie-dye bersama masyarakat Kalumpang

Selain aktiviti kesenian, program turut mengetengahkan pertukaran budaya menerusi penghasilan dan perkongsian juadah tradisional di pesisir Sungai Inki, Kalumpang. Mahasiswa UNNES memperkenalkan beberapa juadah tradisional Indonesia, termasuk getuk lindri, pecel dan jamu kunyit asam, manakala masyarakat setempat memperkenalkan Bubur Lambuk sebagai antara juadah tradisional Malaysia.

Mahasiswa menyediakan juadah tradisional Indonesia
Mahasiswa UNNES bersama-sama menyediakan Bubur Lambuk

Mahasiswa dan penduduk setempat kemudiannya bersama-sama mengedarkan juadah berkenaan kepada pengunjung dan pelancong yang beriadah di kawasan sungai. Aktiviti berasaskan gastronomi itu menjadi antara wadah interaksi silang budaya yang mempertemukan masyarakat kedua-dua negara dalam suasana santai dan mesra.

Antara pengunjung yang berpeluang menikmati hidangan tersebut ialah Mai, 31, yang teruja apabila anak-anaknya berkesempatan merasai getuk lindri buat kali pertama. Beliau memuji tekstur lembut serta gabungan rasa manis ubi dan gurih kelapa dalam hidangan berkenaan.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun turut menunjukkan keterujaan terhadap warna-warni getuk lindri dan kembali mendapatkannya untuk kali kedua sambil menyatakan, “I like this, gethuk this is so sweet“.

Dalam pada itu, belia tempatan, Avi, 23, dan Jimmy, 17, turut menyifatkan getuk lindri sebagai hidangan yang unik dan mempunyai persamaan dengan beberapa sajian tradisional Malaysia.

Jamu kunyit asam pula mendapat perhatian daripada Pak Jai, 41, yang menyifatkan rasanya manis dan seimbang. Beliau turut menyarankan agar minuman tradisional seperti itu terus diperkenalkan kepada generasi muda supaya warisan makanan dan budaya berkenaan dapat terus dikenali.

Sajian pecel yang dihidangkan bersama pes sambal kacang dari Indonesia turut mendapat sambutan daripada pengunjung yang hadir.

Program KKN Antarabangsa Siri 2 secara rasmi melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penutupan pada 7 Ogos 2026 yang turut diserikan dengan persembahan kebudayaan.

Selepas majlis penutupan, mahasiswa UNNES meluangkan baki tempoh program dengan mengunjungi beberapa lokasi menarik sekitar Kuala Lumpur, antaranya Pasar Seni, Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan Petaling Street.

Secara keseluruhannya, Program KKN Antarabangsa Siri 2 menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman akademik, kemasyarakatan dan kebudayaan menerusi interaksi secara langsung dengan masyarakat setempat. Pada masa sama, program berkenaan menyokong usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara UTM dan UNNES serta hubungan silang budaya antara Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun.

Explore More

UTM Open Day