📝 Ringkasan
Penglibatan Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, pensyarah pendidikan matematik dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dalam beberapa program akademik di Indonesia sepanjang tahun 2026 memperlihatkan usaha berterusan UTM memperluas perkongsian kepakaran dan jaringan ilmu pada peringkat serantau. Penglibatan tersebut merangkumi penyeliaan dan penilaian penyelidikan kedoktoran, pembangunan kapasiti penulisan akademik, kuliah dan perkongsian ilmu, kolaborasi penyelidikan serta wacana antarabangsa.
Pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukan sekadar diukur melalui mobiliti akademik atau jumlah kolaborasi yang diwujudkan, tetapi turut tercermin melalui sejauh mana kepakaran sesebuah universiti dapat dikongsi, dimanfaatkan dan memberi nilai tambah kepada komuniti akademik di luar sempadan negara.
Dalam konteks itu, penglibatan Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, pensyarah pendidikan matematik dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dalam beberapa program akademik di Indonesia sepanjang tahun 2026 memperlihatkan usaha berterusan UTM memperluas perkongsian kepakaran dan jaringan ilmu pada peringkat serantau.
Penglibatan tersebut merangkumi penyeliaan dan penilaian penyelidikan kedoktoran, pembangunan kapasiti penulisan akademik, kuliah dan perkongsian ilmu, kolaborasi penyelidikan serta wacana antarabangsa. Menariknya, beberapa mobiliti akademik berkenaan turut berkembang melangkaui ruang akademia apabila pengalaman berinteraksi dengan masyarakat dan budaya Indonesia diterjemahkan kepada karya sastera untuk khalayak pembaca di Malaysia.
Di Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia, Abdul Halim terlibat sebagai kolaborator antarabangsa dalam Equity Program Joint Supervision bersama Jabatan Matematik, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), pada 6 hingga 9 April 2026.
Kepakaran beliau dalam pendidikan matematik dimanfaatkan untuk memberikan perspektif antarabangsa terhadap penyelidikan PhD yang mengintegrasikan budaya tempatan Ammatoa dalam pembelajaran matematik berasaskan masalah bagi meningkatkan pemikiran kreatif murid.
Melalui kerjasama tersebut, perhatian diberikan kepada pengukuhan kebaharuan dan kualiti penyelidikan, pelaksanaan model pembelajaran serta potensi penerbitan hasil penyelidikan dalam jurnal antarabangsa bereputasi. Kolaborasi itu sekali gus mempertemukan kearifan tempatan dengan perspektif global dalam usaha menyokong peningkatan kualiti pendidikan, selaras dengan aspirasi SDG 4.

Dimensi perkongsian kepakaran turut diperluas melalui penglibatan bersama Universitas Sriwijaya (UNSRI), Palembang, pada 15 hingga 17 Jun 2026. Abdul Halim menerima jemputan rasmi sebagai speaker dan instructor dalam FKIP UNSRI Summer Course 2026, sekali gus menyediakan ruang untuk perkongsian pengalaman dan kepakaran akademik dalam persekitaran pembelajaran antarabangsa.
Program tersebut bukan sahaja melibatkan warga UNSRI, malah membuka ruang penyertaan kepada pelajar antarabangsa, termasuk pelajar UTM. Interaksi sedemikian menyumbang kepada pengukuhan hubungan institusi melalui perkongsian ilmu, mobiliti pelajar dan pengalaman pembelajaran rentas budaya.
Namun demikian, pengalaman akademik di Malang dan Palembang turut berkembang melangkaui ruang penyelidikan dan pengajaran apabila interaksi dengan masyarakat, sejarah dan budaya setempat memberi inspirasi kepada Abdul Halim untuk menghasilkan dua karya reflektif dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu “Jika Ini Malang, Biarlah Aku Jatuh Cinta” pada 16 Jun 2026 dan “Menghimpun Aksara dari Seberang Ampera” pada 30 Julai 2026.
Kedua-dua karya merakam pengalaman menelusuri alam, sastera dan kehidupan masyarakat setempat, antaranya Gunung Bromo dan Rumah Budaya Ratna di Malang serta Bayt Al-Quran Al-Akbar, Jambatan Ampera dan Sungai Musi di Palembang. Penghasilan karya tersebut memperlihatkan bagaimana mobiliti akademik dapat berkembang menjadi jambatan ilmu dan budaya Malaysia-Indonesia, dengan pengalaman di negara tuan rumah dikongsi semula kepada khalayak pembaca di Malaysia melalui penulisan.

Perkongsian kepakaran yang lebih berstruktur pula dilaksanakan menerusi program Visiting Professor di Faculty of Teacher Training and Education (FKIP), Syiah Kuala University (USK), Banda Aceh, dari 29 Jun hingga 3 Julai 2026.
Sepanjang program tersebut, Abdul Halim mengendalikan Bengkel Penulisan Artikel Ilmiah dalam dua peringkat. Bengkel berkenaan bukan sekadar melibatkan penyampaian strategi penulisan, malah turut memberikan ruang kepada peserta untuk membincangkan dan menambah baik draf artikel masing-masing secara langsung.
Beliau turut menyampaikan kuliah umum bertajuk “Connecting Culture and Mathematics: The Role of Ethnomathematics in Malaysian Classrooms” yang mengetengahkan pengalaman Malaysia dalam menghubungkan budaya dengan pembelajaran matematik melalui pendekatan etnomatematik.
Program tersebut dilengkapi dengan Focus Group Discussion (FGD) Research Collaboration bersama warga FKIP USK bagi meneroka peluang kerjasama penyelidikan pada masa hadapan.

Jaringan akademik di Indonesia turut berkembang kepada tanggungjawab formal dalam pendidikan kedoktoran. Di Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Bandung, Abdul Halim dilantik sebagai Ko-Promotor 1 kepada calon Doktor Pendidikan Matematik, Syaiful Hamzah Nasution.
Penyelidikan kedoktoran tersebut bertajuk “Pengembangan Bahan Ajar Berbasis Moodle dalam Model Pembelajaran Problem-Solving untuk Meningkatkan Numerasi dan Menurunkan Kecemasan Matematika Siswa SMA.” Dalam Ujian Promosi Doktor yang diadakan pada 14 Ogos 2026, Abdul Halim terlibat bersama barisan promotor, ko-promotor serta penguji dalam penilaian penyelidikan pada tahap tertinggi pengajian akademik.
Kajian tersebut membangunkan bahan ajar numerasi berasaskan Moodle yang merangkumi domain AKM Numerasi dan diintegrasikan dalam pembelajaran problem-solving, dengan matlamat meningkatkan numerasi serta mengurangkan kecemasan matematik dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Peranan dalam penyeliaan dan penilaian kedoktoran ini memperlihatkan satu lagi dimensi penting pengantarabangsaan kepakaran UTM, iaitu sumbangan langsung kepada pembangunan penyelidik dan ahli akademik generasi seterusnya. Jaringan antarabangsa yang dibina dengan demikian tidak terhad kepada kunjungan atau program jangka pendek, sebaliknya berkembang kepada perkongsian tanggungjawab dalam menyokong kualiti penyelidikan kedoktoran di peringkat serantau.

Perkongsian perspektif akademik Malaysia akan diteruskan menerusi The 2nd International Conference on Educational Science (ICIS) 2026, anjuran Postgraduate School, Universitas Negeri Padang (UNP) pada 24 hingga 25 September 2026 secara dalam talian.
Abdul Halim dijemput sebagai salah seorang pembicara utama dalam persidangan bertemakan “Sustainable Education: Synergizing Technology, Humanities, Culture & Social Dynamics”. Beliau dijadualkan berkongsi kepakaran dan perspektif berkaitan Cultural Studies secara dalam talian pada 25 September 2026 bersama barisan pembicara dari beberapa negara.
Platform tersebut menyediakan ruang untuk membawa perspektif dan pengalaman pendidikan Malaysia ke dalam wacana antarabangsa berkaitan pendidikan lestari, teknologi, kemanusiaan, budaya dan dinamika sosial.

Keseluruhan penglibatan tersebut memperlihatkan bahawa pengantarabangsaan akademik membawa makna yang lebih luas daripada mobiliti individu. Melalui penyeliaan kedoktoran, pembangunan kapasiti penulisan, pengajaran, penyelidikan, persidangan serta penulisan sastera, kepakaran yang dibangunkan di UTM dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh komuniti akademik di luar negara.
Pada masa yang sama, hubungan akademik Malaysia-Indonesia turut membuka ruang kepada pertukaran budaya dan pemahaman masyarakat yang lebih mendalam. Pengalaman di Malang dan Palembang yang kemudiannya diterjemahkan kepada karya untuk pembaca Malaysia menunjukkan bahawa ahli akademik bukan sahaja boleh menjadi penghubung ilmu, malah berperanan sebagai jambatan intelektual dan budaya antara masyarakat serumpun.
Usaha sedemikian menyokong aspirasi UTM untuk memperluas impak ilmu dan kepakaran kepada masyarakat global, di samping memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan jaringan ilmu merentas sempadan.
Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia