Jalinan Kasih Lestari 2.0 UTM bawa inovasi hijau ke Rumah OKU Ahsana

SDGSDG3SDG10SDG11

📝 Ringkasan

Program Jalinan Kasih Lestari 2.0 UTM diadakan di Rumah Kebajikan OKU Ahsana 2, Petaling Jaya. Program ini bertujuan memupuk amalan kelestarian bersama penghuni OKU dan memperkukuh hubungan kemasyarakatan. 20 sukarelawan UTM menyertai program tersebut dan berinteraksi dengan 18 penghuni Rumah Ahsana 2. Mereka melakukan aktiviti menyemai benih, menanam dan memindahkan anak pokok ke dalam pasu serta rak tanaman. Program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, Berkurangnya Ketidaksamaan dan Bandar dan Komuniti Mampan.

PETALING JAYA, 8 Ogos – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (PTNCPI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur meneruskan usaha memperkukuh hubungan dengan komuniti menerusi Program Jalinan Kasih Lestari: Misi Insan Madani di Rumah Kebajikan OKU Ahsana 2, Petaling Jaya.

Berteraskan falsafah “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, program Fasa 2 yang memfokuskan Aktiviti Khidmat Masyarakat (USR) Keceriaan dan Kesejahteraan secara bersemuka itu merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Fasa 1 pada 8 Julai lalu.

Inisiatif tersebut diasaskan dan disokong oleh Pengarah Pentadbiran PTNCPI UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali Muhammad Yuzir, serta diketuai oleh Norlaili Abdul Jalal, Green Manager PTNCPI UTM Kuala Lumpur selaku Pengarah Program.

Peserta mengikuti demonstrasi kaedah menyemai benih menggunakan dulang semaian

Program berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 berkaitan Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui pemeliharaan kesihatan mental dan fizikal penghuni, SDG 10 berkaitan Berkurangnya Ketidaksamaan melalui usaha memperkukuh inklusiviti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), serta SDG 11 berkaitan Bandar dan Komuniti Mampan melalui penerapan amalan pertanian bandar (urban farming).

Dua objektif utama program adalah untuk memupuk amalan kelestarian bersama penghuni OKU serta memperkukuh hubungan kemasyarakatan dalam kalangan warga UTM berteraskan aspirasi Malaysia MADANI.

Seramai 20 sukarelawan menyertai program tersebut, terdiri daripada sembilan staf PTNCPI, tiga mahasiswa UTM dan lapan anak staf. Mereka berpeluang berinteraksi bersama 18 penghuni Rumah Ahsana 2 serta dua pengurus, Hafiza dan Syafura.

Peserta menyediakan bahan sebelum aktiviti mengecap tapak tangan pada bingkai kenangan
Peserta mengecat tapak tangan sebagai sebahagian daripada aktiviti bingkai kenangan bersama

Pengisian program bermula pada sebelah pagi dengan pendaftaran, sarapan dan sesi interaktif mengenali pelbagai jenis sayur-sayuran. Aktiviti diteruskan pada sebelah tengah hari menerusi sesi amali menyemai benih, menanam dan memindahkan anak pokok ke dalam pasu serta rak tanaman yang disediakan.

Pendekatan secara amali itu memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari asas pertanian bandar sambil melibatkan penghuni dalam aktiviti yang menggalakkan interaksi dan kerjasama. Selain itu, aktiviti simbolik mengecap tapak tangan pada bingkai kanvas khas turut diadakan sebagai tanda kenangan dan jalinan silaturahim antara peserta dengan penghuni.

Program kemudian diakhiri dengan sambutan hari jadi bagi empat orang penghuni, yang berlangsung dalam suasana ceria dan mesra.

Peserta memindahkan anak pokok ke dalam pasu menerusi sesi amali pertanian bandar

Dalam perkembangan berkaitan, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali turut menyentuh usaha UTM memastikan hasil inovasi universiti dapat memberi manfaat kepada masyarakat, termasuk golongan OKU.

“Sumbangan ini adalah bukti komitmen berterusan UTM dalam menyantuni masyarakat OKU. Matlamat kami adalah sentiasa menginovasi penyelesaian lestari yang memberi impak positif dan membawa sinar kebahagiaan kepada masyarakat.”

Warga PTNCPI UTM Kuala Lumpur bersama penghuni dan pengurusan Rumah Ahsana 2 selepas program

Secara keseluruhannya, Program Jalinan Kasih Lestari: Misi Insan Madani memperlihat usaha UTM menggabungkan elemen kelestarian, khidmat masyarakat dan kesejahteraan dalam mendekati komuniti OKU.

Pendekatan seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada amalan pertanian bandar, malah membuka ruang kepada warga UTM untuk berinteraksi dan membina hubungan yang lebih erat dengan komuniti. Usaha berterusan tersebut diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih inklusif, prihatin dan saling menyokong.

Explore More

UTM Open Day