Jabatan Pendaftar UTM perkasa pendidikan, teknologi dan kepimpinan pelajar SMK Skudai

SDGSDG4SDG11SDG17

📝 Ringkasan

Jabatan Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat (USR) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai. Program ini bertemakan “Memasyarakatkan Ilmu: Pemerkasaan Pendidikan, Teknologi dan Kepimpinan” dan melibatkan 261 orang warga UTM dan SMK Skudai. Program ini bertujuan untuk memperluas manfaat kepakaran, ilmu dan khidmat universiti kepada komuniti setempat dan memperkukuh keterlihatan dan kehadiran UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang dekat dengan komuniti.

JOHOR BAHRU, 26 Ogos – Jabatan Pendaftar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) menerusi penganjuran Program Khidmat Masyarakat (USR) Jabatan Pendaftar UTM dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai, bertemakan “Memasyarakatkan Ilmu: Pemerkasaan Pendidikan, Teknologi dan Kepimpinan”.

Program yang berlangsung di SMK Skudai itu melibatkan seramai 261 orang warga UTM dan SMK Skudai. Daripada jumlah tersebut, seramai 99 orang warga UTM terdiri daripada 25 ahli Jawatankuasa Pelaksana Induk, 31 fasilitator, 38 sukarelawan serta lima penceramah dari pelbagai jabatan di UTM, manakala 162 warga SMK Skudai pula terdiri daripada sembilan orang guru dan 152 orang pelajar yang turut terlibat menjayakan program ini.

Pemilihan SMK Skudai sebagai rakan strategik selaras dengan hasrat UTM memperluas manfaat kepakaran, ilmu dan khidmat universiti kepada komuniti setempat, khususnya komuniti yang berada berdekatan dengan kampus UTM. Inisiatif ini bukan sahaja memberi ruang kepada UTM menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan potensi generasi muda, malah turut memperkukuh keterlihatan dan kehadiran UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang dekat dengan komuniti serta responsif terhadap keperluan masyarakat setempat.

Program ini dimulakan dengan majlis pembukaan menerusi ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMK Skudai, Hjh. Ruzanna Saat, diikuti taklimat pelaksanaan program oleh Pengarah Program USR Jabatan Pendaftar, Haironizam Mohamad. Pengisiannya dirangka secara holistik dan berimpak dengan menggabungkan lapan aktiviti dalam tiga kluster yang mempunyai matlamat dan fokus tersendiri, serta dilaksanakan secara serentak di beberapa lokasi.

Peserta menyaksikan demonstrasi penerbangan dron yang dikendalikan oleh Mohd Faizal Abd. Latib menerusi Program Outreach Teknologi Jaga Drone
Peserta menjalankan aktiviti eksplorasi aplikasi kecerdasan buatan (AI) secara berkumpulan menerusi Program Celik Teknologi AI
Peserta menjalankan aktiviti perbincangan berkumpulan menerusi Program Jati Diri

Kluster 1 memberi tumpuan kepada Pemerkasaan Teknologi dan Jati Diri menerusi Program Outreach Teknologi Jaga Drone, Program Celik Teknologi AI dan Program Jati Diri, disertai 30 orang pelajar aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Kluster 2 pula memfokuskan aspek Kepimpinan dan Kecemerlangan Akademik menerusi Program Motivasi: Cabaran Hari Ini dan Hala Tuju Masa Depan, Program Jom Masuk U dan Slot Ikon Kepimpinan, dengan penyertaan seramai 90 orang pelajar daripada Tingkatan 6 Atas, Tingkatan 5 dan Tingkatan 4.

Sementara itu, Kluster 3 menekankan Khidmat Komuniti dan Transformasi Ruang menerusi aktiviti mengecat Makmal Komputer dan Ruang Gunasama sekolah, serta Bengkel Penghasilan Produk Simen Ferro, yang melibatkan 38 sukarelawan Jabatan Pendaftar dan 32 orang pelajar.

Staf Jabatan Pendaftar UTM bersama pelajar SMK Skudai mengecat Makmal Komputer dan Ruang Gunasama sekolah
Pelajar SMK Skudai mempraktikkan teknologi simen ferro bagi menghasilkan meja dan bangku dengan bimbingan 10 fasilitator daripada Jabatan Pendaftar UTM

Kemuncak program dizahirkan menerusi Majlis Perasmian Program USR, disempurnakan oleh Ketua Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar UTM, Mohd Zaires Md Daris, mewakili Pendaftar UTM. Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Hjh. Ruzanna Saat, serta kehadiran Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Skudai, Shamsudin Ahmad, yang juga pesara UTM.

Menurut Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, aspirasi Memasyarakatkan Ilmu menerusi program ini bukan sekadar berkongsi ilmu dan kepakaran, tetapi merupakan usaha UTM membentuk generasi muda yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berkeyakinan dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang kian tidak menentu.

“Penglibatan warga UTM turut menyemarakkan budaya kesukarelawanan, sekali gus mencerminkan peranan universiti bukan sahaja sebagai institusi pendidikan tinggi, malah sebagai rakan pembangunan komuniti,” katanya.

Penganjuran program ini menyokong usaha pembangunan komuniti menerusi semangat kerjasama, perpaduan dan kesukarelawanan, selaras dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) menerusi usaha membina komuniti yang inklusif dan berdaya tahan, SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) menerusi pendedahan kepada teknologi, inovasi dan STEM, bimbingan motivasi dan pendidikan, serta pengukuhan nilai kepimpinan dan jati diri pelajar, dan SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat) menerusi pengukuhan kolaborasi antara UTM, sekolah dan komuniti.

Jabatan Pendaftar berharap program USR seumpama ini dapat terus diperkasa sebagai inisiatif berterusan bagi memperluas sumbangan UTM kepada masyarakat menerusi perkongsian ilmu dan kepakaran, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin dan responsif terhadap keperluan masyarakat setempat.

Explore More

UTM Open Day