📝 Ringkasan
Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencipta inovasi cat kalis api bernama Bara-X yang telah meraih beberapa pengiktirafan dalam pertandingan inovasi kebangsaan dan antarabangsa. Inovasi ini dibangunkan oleh pasukan pelajar Tahun 2 Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UTM yang diketuai oleh Azam Fahmi Ahmad Fazli. Bara-X merupakan cat kalis api berasaskan air yang dibangunkan menggunakan formulasi bahan lestari bagi membantu memperlahankan perebakan api apabila terdedah kepada suhu tinggi.
Kreativiti dan semangat meneroka idea baharu dalam kalangan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus dikembangkan dan diterjemahkan menerusi penghasilan Bara-X, inovasi cat kalis api yang dibangunkan sekumpulan pelajar Tahun 2 Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM).
Inovasi berkenaan berjaya meraih beberapa pengiktirafan menerusi pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk pingat emas pada I.D.E.A Fair 2026 di Universiti Sains Malaysia (USM), pingat emas serta Anugerah Tapak Pembentangan Terbaik pada EuFIRE’25 di Shah Alam dan pingat perak dalam International University Innovation Competition (IUIC) 2025 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pencapaian itu diraih ketika kesemua ahli pasukan masih berada pada peringkat awal pengajian, sekali gus menggambarkan potensi mahasiswa untuk mengembangkan idea penyelidikan melalui gabungan pengetahuan, kreativiti, bimbingan pensyarah dan komitmen terhadap inovasi.
Pasukan Bara-X yang diketuai Azam Fahmi Ahmad Fazli bersama Muhammad Faris Muhammad Anas, Muhammad Hafizuddin Mustapa dan Muhd Isyraff Ihsan Azahari di bawah bimbingan Pensyarah Kanan FKM, Dr. Mohd Haziq Dzulkifli dilihat mempunyai potensi dalam menambah baik produk sedia ada seumpamanya di pasaran.
Perjalanan inovasi kumpulan ini mendapat bimbingan merangkumi aspek saintifik, pembangunan formulasi, kaedah pengujian dan penambahbaikan produk sehingga inovasi tersebut bersedia untuk dipertandingkan di pelbagai platform.

Menurut Azam, idea menghasilkan Bara-X tercetus ketika beliau masih di bangku sekolah menengah selepas menyedari kemusnahan yang boleh berlaku dalam tempoh singkat akibat kebakaran.
Pengalaman itu mendorong beliau memikirkan satu pendekatan yang berpotensi membantu memperlahankan perebakan api, sekali gus memberikan lebih banyak masa kepada penghuni untuk menyelamatkan diri sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.
“Apabila melanjutkan pengajian di UTM, idea tersebut diketengahkan semula dan dikembangkan bersama rakan sepasukan. Dengan bimbingan pensyarah serta kemudahan penyelidikan yang disediakan universiti, idea yang pada awalnya sekadar lakaran akhirnya berkembang menjadi satu inovasi yang mendapat pengiktirafan di pelbagai pertandingan,” katanya.

Bara-X merupakan cat kalis api berasaskan air yang dibangunkan menggunakan formulasi bahan lestari bagi membantu memperlahankan perebakan api apabila terdedah kepada suhu tinggi. Produk itu berpotensi diaplikasikan pada pelbagai permukaan, termasuk kayu dan konkrit.
Apabila terdedah kepada haba tinggi, komponen aktif dalam formulasi Bara-X mengalami perubahan apabila terdedah kepada suhu tinggi. Proses tersebut membantu mengurangkan kesan haba pada permukaan yang dilindungi serta mengehadkan keadaan yang menyokong perebakan api. Pada masa yang sama, tindak balas terma komponen tertentu dalam formulasi turut menghasilkan bahan atau gas yang membantu mengurangkan pendedahan permukaan kepada haba dan nyalaan secara langsung.
Kesan tersebut berpotensi memberikan lebih banyak masa untuk proses pemindahan penghuni dan tindakan pasukan penyelamat sekiranya berlaku kebakaran.


Bagi menilai prestasi formulasi yang dibangunkan, pasukan penyelidik menjalankan beberapa siri ujian makmal menggunakan kaedah UL-94 Vertical Burning Test, iaitu kaedah yang digunakan untuk menilai tingkah laku bahan apabila terdedah kepada nyalaan.
“Melalui ujian ini, sampel yang disalut dengan Bara-X didedahkan kepada nyalaan api bagi menilai tempoh pembakaran, keupayaan api padam dengan sendiri serta tahap ketahanan lapisan perlindungan yang dihasilkan. Dapatan daripada setiap ujian digunakan untuk memperhalus formulasi sehingga mencapai prestasi yang lebih optimum,” ujar Azam.


Selain aspek prestasi, pasukan penyelidik turut memberi perhatian kepada penggunaan bahan yang mudah diperoleh, kelestarian dan kecekapan kos dalam pembangunan Bara-X. Mereka juga menyasarkan kos penghasilan yang lebih berpatutan berbanding sebahagian produk seumpamanya di pasaran, sekali gus membuka ruang kepada penggunaannya dalam aplikasi yang memerlukan lapisan perlindungan awal terhadap kebakaran.
Menurut Azam, pengiktirafan yang diterima tidak pernah dijangka kerana projek berkenaan pada asalnya dibangunkan sebagai tugasan penyelidikan.
“Kami tidak menyangka projek yang bermula sebagai tugasan penyelidikan akhirnya membawa kami ke pentas pertandingan inovasi sehingga berjaya meraih pelbagai pengiktirafan. Pengalaman ini memberi keyakinan bahawa idea mahasiswa juga mampu diketengahkan sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Di sebalik pencapaian tersebut, pembangunan Bara-X melalui beberapa peringkat penambahbaikan berdasarkan maklum balas pensyarah, pakar dan panel penilai pertandingan. Setiap penyertaan menjadi ruang kepada pasukan untuk menilai prestasi formulasi, memperhalus reka bentuk produk serta meningkatkan keupayaan mereka membentangkan hasil penyelidikan kepada khalayak yang lebih luas.
Bagi ahli pasukan, pembangunan Bara-X bukan sekadar menghasilkan produk inovatif, malah menjadi pengalaman pembelajaran yang membolehkan mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di bilik kuliah kepada penyelesaian bagi isu sebenar.
Sepanjang proses tersebut, mereka memperoleh pengalaman dalam penyelidikan makmal, pembangunan formulasi, pengujian prestasi, dokumentasi teknikal serta pembentangan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Dr. Mohd Haziq Dzulkifli berkata pembangunan Bara-X menunjukkan potensi mahasiswa untuk menterjemahkan ilmu kejuruteraan kepada penyelesaian yang berpotensi dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Pembangunan Bara-X turut menjadi platform pembelajaran yang bernilai dalam membentuk kemahiran penyelidikan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah serta kerja berpasukan. Pada masa yang sama, pelajar didedahkan kepada keseluruhan proses pembangunan sesuatu inovasi, bermula daripada pencetusan idea, pembangunan formulasi, pengujian makmal, penambahbaikan produk hinggalah kepada pembentangan hasil penyelidikan kepada pakar dan industri,” katanya.
Walaupun Bara-X masih berada pada fasa penambahbaikan, pasukan penyelidik terus menjalankan ujian yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan prestasi, ketahanan dan kebolehgunaan produk dalam pelbagai aplikasi. Mereka turut meneroka peluang kerjasama dengan pihak industri bagi menyokong pembangunan serta potensi pengkomersialan inovasi tersebut.
Pada masa yang sama, pencapaian pasukan Bara-X menunjukkan kepentingan bimbingan akademik, kemudahan penyelidikan dan ekosistem inovasi dalam memberikan ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan idea sejak peringkat awal pengajian.
Bagi pasukan Bara-X, pengiktirafan yang diraih bukanlah titik akhir, sebaliknya menjadi dorongan untuk meneruskan penyelidikan dan pembangunan produk. Harapan pasukan ini, inovasi tersebut dapat dipertingkatkan melalui penyelidikan berterusan serta kerjasama strategik dengan industri agar berpotensi dimanfaatkan secara lebih meluas, khususnya dalam menyokong usaha berkaitan keselamatan awam dan perlindungan daripada risiko kebakaran.