BRIDGE CAMP 2.0 perkukuh kepimpinan mahasiswa dan jalin kerjasama serantau Malaysia-Thailand

SDGSDG4SDG5SDG17

📝 Ringkasan

Program BRIDGE Camp 2.0 diadakan di UniMAP dan Thaksin University dari 26 hingga 30 Julai 2026. Program itu menghimpunkan 20 wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama 7 universiti lain dari Malaysia dan Thailand. Mereka terlibat dalam tiga modul pembangunan kepimpinan dan kemudian mengaplikasikan pengetahuan tersebut sebagai fasilitator di lima buah sekolah. Program itu juga termasuk aktiviti tanggungjawab sosial korporat di Masjid Darul Aman, Songkhla, Thailand.

SONGKHLA, 30 Julai – Seramai 20 wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Program BRIDGE Camp 2.0 anjuran Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniCITI Alam, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung selama lima hari, bermula 26 hingga 30 Julai 2026 di UniMAP dan Thaksin University.

Program berimpak tinggi itu menghimpunkan mahasiswa daripada sembilan institusi pengajian tinggi, iaitu UTM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Thaksin University.

Delegasi UTM terdiri daripada empat pegawai pengiring dan 16 mahasiswa yang mewakili Kolej Tun Razak (KTR), Kolej 9 & Kolej 10 (K9K10), Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) serta Kolej Tuanku Canselor (KTC).

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, yang menekankan kepentingan pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan serta jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Delegasi UTM bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, pada Majlis Perasmian BRIDGE Camp 2.0

Sepanjang program, peserta mengikuti tiga modul pembangunan kepimpinan sebelum mengaplikasikan pengetahuan tersebut sebagai fasilitator di lima buah sekolah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, SMK Syed Sirajuddin, SMK Mata Ayer, SMK Lailatul Shahreen dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Kangar.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu memberi peluang kepada mahasiswa mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan program dan kerja berpasukan menerusi interaksi secara langsung bersama pelajar sekolah.

Peserta BRIDGE Camp 2.0 bersama pelajar SMK Perlis selepas pelaksanaan modul kepimpinan dan pembangunan diri

Sebagai pelengkap program, peserta turut menghadiri Sesi Dialog Bersama Tokoh Siswa UniMAP yang disampaikan oleh Abdul Khalim Al Azizi Syahril, penerima Anugerah Wira Negara TVET 2022.

Menerusi perkongsian tersebut, beliau berkongsi pengalaman, cabaran serta perjalanan kepimpinan yang telah membentuk dirinya sebagai pemimpin muda, sekali gus memberi inspirasi kepada peserta untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Abdul Khalim Al Azizi Syahril berkongsi pengalaman kepimpinan dan kesukarelawanan bersama peserta BRIDGE Camp 2.0

Pengisian program diteruskan di peringkat antarabangsa melalui pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Masjid Darul Aman, Songkhla, Thailand. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada peserta berinteraksi dengan komuniti setempat sambil menyemai nilai kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial dalam persekitaran rentas budaya.

Selain memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Thailand, pengalaman tersebut turut memperluas perspektif peserta terhadap kepelbagaian budaya serta kepentingan penglibatan mahasiswa dalam pembangunan komuniti di peringkat antarabangsa.

Peserta BRIDGE Camp 2.0 melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat bersama komuniti di Masjid Darul Aman, Songkhla, Thailand

Penyertaan delegasi UTM dalam BRIDGE Camp 2.0 membuktikan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki sahsiah unggul, kepimpinan berkesan, semangat kesukarelawanan dan keupayaan berkolaborasi di peringkat antarabangsa. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UTM menerusi agenda ASCEND 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, pembelajaran berasaskan pengalaman dan pembentukan graduan berimpak global.

Program ini turut menjadi platform untuk mahasiswa memperluas jaringan profesional, bertukar idea serta membina hubungan strategik bersama rakan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi. Pengalaman yang diperoleh diharap dapat menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai pemimpin muda yang berdaya saing, berfikiran global dan komited menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.

Explore More

UTM Open Day