📝 Ringkasan
Universiti bukan sekadar institusi yang dipenuhi bilik kuliah, makmal dan pejabat, tetapi sebuah ekosistem manusia yang dibina atas ilmu, kemahiran, nilai, tanggungjawab dan adab. Kecemerlangan sesebuah universiti tidak hanya diukur menerusi kedudukan ranking, jumlah penerbitan dan kebolehpasaran graduan, tetapi juga bagaimana setiap warga universiti melaksanakan amanahnya dengan adab, integriti dan penuh jiwa.
Universiti bukan sekadar sebuah institusi yang dipenuhi bilik kuliah, makmal, pejabat, pensyarah dan mahasiswa. Universiti ialah sebuah ekosistem manusia yang dibina atas ilmu, kemahiran, nilai, tanggungjawab dan adab. Setiap individu di dalamnya, sama ada mahasiswa, staf akademik mahupun staf bukan akademik, mempunyai peranan dalam menentukan wajah dan maruah universiti. Justeru, kecemerlangan sesebuah universiti tidak hanya diukur menerusi kedudukan ranking, jumlah penerbitan, pencapaian akademik atau kebolehpasaran graduan, tetapi turut diukur dengan ukuran lain yang lebih halus namun sangat besar maknanya, iaitu bagaimana setiap warga universiti melaksanakan amanahnya dengan adab, integriti dan penuh jiwa.
Dalam konteks Universiti Teknologi Malaysia (UTM), nilai ISES, iaituIntegriti (Integrity), Sinergi (Sinergy), Kecemerlangan (Excellence) dan Kelestarian (Sustainability), bukan sekadar kata-kata indah untuk dipaparkan di dinding atau dimasukkan dalam dokumen rasmi, sebaliknya seharusnya diterjemahkan menerusi tindakan harian. Integriti bermaksud melaksanakan amanah dengan jujur walaupun tiada siapa memerhati. Sinergi bermaksud saling menghormati dan bekerjasama tanpa mengira jawatan. Kecemerlangan pula bukan sekadar mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), tetapi memberikan yang terbaik dengan penuh tanggungjawab, manakala Kelestarian menuntut kita membina budaya dan nilai yang mampu diwariskan kepada generasi seterusnya.
Dalam usaha membina universiti yang cemerlang, persoalan adab tidak boleh diketepikan. Adab bukan hanya tanggungjawab mahasiswa; staf akademik dan bukan akademik turut perlu menjadi contoh. Pensyarah yang masuk ke kelas dengan persediaan, mengajar dengan bersungguh-sungguh, menghormati mahasiswa, memberikan maklum balas dengan ikhlas dan melaksanakan tugas penyeliaan dengan penuh tanggungjawab sebenarnya sedang mengajar sesuatu yang lebih besar daripada kandungan kursus, iaitu mengajar melalui teladan. Begitu juga staf bukan akademik yang melayan mahasiswa dengan sopan, menjawab pertanyaan dengan sabar, membantu menyelesaikan urusan dan melaksanakan tugas dengan amanah. Perkara ini mungkin tidak tercatat dalam KPI, tetapi kesannya dirasai oleh seluruh komuniti universiti.
Kita sering bercakap tentang minat mendalam (passion) dalam pekerjaan. Namun, apakah sebenarnya maksud mencintai pekerjaan? Ia bukan bermakna seseorang perlu sentiasa tersenyum atau tidak pernah berasa penat, sebaliknya seseorang tetap berusaha melakukan tugasnya dengan sebaik mungkin kerana memahami bahawa pekerjaannya mempunyai nilai kepada orang lain. Seorang pensyarah mungkin mengajar kursus yang sama bertahun-tahun, tetapi setiap kumpulan mahasiswa adalah berbeza dan memerlukan sentuhan yang berbeza. Seorang pegawai mungkin melakukan tugasan pentadbiran yang berulang setiap hari, tetapi ketelitian dan kecekapannya menentukan sama ada urusan mahasiswa berjalan lancar. Seorang pekerja kebersihan pula mungkin tidak pernah muncul dalam laporan pencapaian universiti, tetapi kebersihan kampus yang dinikmati ribuan warga universiti adalah hasil tangannya.
Kita boleh belajar daripada budaya kerja di Jepun, misalnya seorang pemandu bas awam yang menjalankan tugas hari demi hari. Pekerjaannya mungkin pada pandangan sesetengah orang hanyalah memandu bas dari satu destinasi ke destinasi lain. Namun, apabila tugas itu dilakukan dengan disiplin, ketepatan masa, pakaian yang kemas, layanan yang sopan, rasa tanggungjawab terhadap penumpang dan kebanggaan terhadap profesion, pekerjaan yang kelihatan biasa berubah menjadi sesuatu yang bermaruah. Dia mungkin hanya seorang pemandu bas, tetapi dia memahami bahawa setiap hari ada manusia yang mempercayakan keselamatan dan perjalanan mereka kepadanya. Itulah adab terhadap pekerjaan. Kita tidak perlu menunggu memegang jawatan besar untuk menunjukkan kecemerlangan; sama ada kita seorang pembantu tadbir, pengawal keselamatan, juruteknik, pensyarah, profesor, pemimpin atau siapa pun, kita semua boleh cemerlang. Ukurannya bukan pada tinggi atau rendah jawatan, tetapi pada sejauh mana seseorang menghormati amanah yang diberikan kepadanya.
Begitu juga mahasiswa. Mereka perlu memahami bahawa universiti bukan tempat untuk mengejar gred semata-mata. Meniru, melakukan plagiarisme, melanggar peraturan, tidak menghormati pensyarah, berkelakuan tidak sopan dan mengabaikan tata tertib bukan perkara kecil, sebaliknya menggambarkan pembentukan karakter seseorang. Mahasiswa yang hebat bukan hanya mahasiswa yang mendapat keputusan akademik yang tinggi, tetapi mereka yang berilmu, berkemahiran, aktif dalam kokurikulum, mampu memimpin, mempunyai keyakinan diri dan yang paling penting, mempunyai adab serta integriti.
Pada masa yang sama, budaya adab tidak boleh dibina melalui hukuman semata-mata, sebaliknya perlu dibina melalui teladan. Jika kita mahu mahasiswa menghormati pensyarah, pensyarah juga perlu menghormati mahasiswa. Jika kita mahu staf bekerja dengan ikhlas, pihak kepimpinan perlu menghargai usaha mereka. Jika kita mahu semua warga mematuhi peraturan, peraturan itu perlu dilaksanakan secara adil dan konsisten. ISES hanya akan hidup apabila ia menjadi budaya, bukan sekadar slogan.
Universiti yang hebat ialah universiti yang setiap warganya merasakan bahawa pekerjaannya mempunyai makna. Pensyarah mengajar kerana mahu membina manusia. Penyelidik menyelidik kerana mahu menghasilkan ilmu yang memberi manfaat. Pegawai melaksanakan tugas kerana mahu memudahkan urusan warga universiti. Pekerja sokongan pula menjalankan tanggungjawab kerana mereka tahu peranan mereka turut menentukan pengalaman dan kesejahteraan seluruh komuniti. Apabila setiap orang bekerja dengan rasa memiliki, tanggungjawab dan cinta terhadap pekerjaan, kecemerlangan akan muncul secara semula jadi.
Akhirnya, ISES perlu bermula daripada diri sendiri, iaitu integriti dalam tindakan, sinergi dalam hubungan, kecemerlangan dalam pekerjaan dan kelestarian dalam budaya. Semuanya perlu berakar pada adab, kerana universiti tidak hanya dinilai menerusi apa yang kita bina, terbitkan atau capai, tetapi turut dinilai melalui cara kita melayan manusia, cara kita melaksanakan amanah dan cara kita menghormati pekerjaan sendiri.
Mungkin kita tidak mampu menjadi yang paling hebat dalam segala perkara, tetapi kita sentiasa mampu menjadi seseorang yang paling ikhlas dalam menjalankan amanah, paling bertanggungjawab terhadap tugas dan paling beradab terhadap manusia. Itulah wajah universiti yang sebenar, iaitu bukan sekadar melahirkan manusia yang tinggi ilmunya dan luas kemahirannya, tetapi manusia yang kukuh nilai dan integritinya, tinggi adabnya serta cemerlang dalam melaksanakan amanah, berteraskan ISES.