KUALA NERUS, 10 Ogos – Seramai lima mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mewakili universiti dalam ESG Global Young Leaders Summit 2026 (ESGGYLS 2026) yang berlangsung dari 5 hingga 9 Ogos di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Setiu Wetlands.
Berteraskan tema “Mobilizing Young Leaders as Catalyst for Blue Justice”, persidangan yang menghimpunkan 120 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia itu memberi penekanan kepada literasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kelestarian global, tanggungjawab sosial, kesukarelawanan serta pembangunan kepimpinan mahasiswa.
Sepanjang lima hari penganjuran, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk ESG Expert Talk, ESG Poster Presentation, ESG Resolution Workshop, Finance Literacy serta forum “Blue Justice Conversation: Youth Driving Climate Solutions” yang membincangkan peranan golongan muda dalam menangani perubahan iklim dan cabaran yang dihadapi komuniti pesisir pantai.
Program tersebut turut menampilkan perkongsian daripada tokoh akademik dan industri, antaranya Prof. Madya Dr. Mohd Uzair Rusli dari Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU), UMT; Dr. Giovanna Wolswijk dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSME), UMT; Nik Nuur Azam Shah dari Astro Awani Network Sdn. Bhd.; serta Anis Ahmad dari Nexperia Malaysia Sdn. Bhd.
Selain itu, Dato’ Adissadikin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Group, turut menyampaikan ucaptama berkaitan literasi kewangan dan pembangunan mampan.
Bagi menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa, peserta turut menyertai beberapa pertandingan seperti ESG Poster Exhibition, ESGLOG Video Competition dan 3-Minutes About ESG Video Competition. Wakil UTM membentangkan poster berkaitan inisiatif universiti, selain menghasilkan video dan idea kreatif yang mengetengahkan aspek ESG.


Selain pengisian akademik dan pertandingan, peserta turut mengikuti program “One Day as a Fisherman” di Setiu Wetlands yang merangkumi aktiviti penanaman pokok bakau menerusi Adopt-A-Tree, Sustainable Fisherman Lab dengan aktiviti menangkap kepah dan lokan, serta pengenalan kepada budaya dan aktiviti tradisional komuniti setempat.
Pengalaman tersebut memberikan pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai kepentingan ekosistem bakau, kelestarian sumber semula jadi serta kehidupan komuniti pesisir pantai.



Menurut Presiden Kelab Volunteer@UTM sesi 2025/2026, Aida Nafisah Zahari, penyertaan dalam ESGGYLS 2026 memberikan pengalaman pembelajaran yang sukar diperoleh hanya melalui pembelajaran di dalam bilik kuliah.
“Saya bukan sahaja mendengar pandangan pakar daripada sektor akademik dan industri, tetapi juga diberi ruang untuk berinteraksi, menjana idea, menyertai aktiviti kelestarian serta memahami realiti kehidupan komuniti pesisir pantai dengan lebih mendalam,” katanya.
Kemuncak ESGGYLS 2026 ialah Majlis Penutupan ESG Global Young Leaders Summit 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT, dengan penyampaian anugerah, penyerahan Resolusi ESG 2026 serta penghargaan kepada pihak yang terlibat.
Majlis penutupan turut menampilkan ucapan penutup oleh Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar.
Penyertaan delegasi UTM dalam ESGGYLS 2026 bukan sekadar memberi ruang kepada mahasiswa memahami konsep ESG, malah memperlihat bagaimana prinsip kelestarian, tanggungjawab sosial dan tadbir urus dapat diterjemahkan melalui pengalaman serta penglibatan secara langsung dalam kehidupan sebenar.
Pengalaman tersebut turut membantu mahasiswa memperluas perspektif mengenai cabaran kelestarian, khususnya yang berkaitan dengan perubahan iklim, ekosistem pesisir pantai dan kesejahteraan komuniti, sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi pemimpin muda yang lebih peka terhadap isu global dan keperluan masyarakat.