📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan lawatan akademik ke Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) Surabaya dan Institut Teknologi Nasional (ITN) Malang, Indonesia untuk memperluaskan jaringan kerjasama strategik dalam bidang kejuruteraan geomatik, penyelidikan, mobiliti pelajar serta pembangunan akademik antara institusi. Lawatan tersebut membuka peluang untuk pelaksanaan program pertukaran pelajar, pembangunan Program Pesisir Sarjana Kejuruteraan Geomatik, mobiliti akademik, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, penyelidikan kolaboratif dan perkongsian kepakaran dalam bidang geospatial dan geomatik.
SURABAYA, 17 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi lawatan akademik ke Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) Surabaya dan Institut Teknologi Nasional (ITN) Malang, Indonesia. Inisiatif ini bertujuan memperluaskan jaringan kerjasama strategik dalam bidang kejuruteraan geomatik, penyelidikan, mobiliti pelajar serta pembangunan akademik antara institusi.
Delegasi UTM diketuai oleh Pengarah Institut Sultan Iskandar (ISI), Prof. Madya Sr Dr. Abdullah Hisam Omar, bersama Pengarah Program Geoinformasi UTM, Sr Dr. Othman Zainon, pensyarah Program Kejuruteraan Geomatik, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim, serta lapan pelajar Sarjana Kejuruteraan Geomatik.
Sepanjang lawatan, delegasi mengadakan sesi perbincangan bersama pengurusan dan ahli akademik kedua-dua universiti bagi meneroka peluang kerjasama yang lebih komprehensif dan berimpak tinggi.



Antara fokus utama perbincangan ialah pelaksanaan program pertukaran pelajar, pembangunan Program Pesisir Sarjana Kejuruteraan Geomatik, mobiliti akademik, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, penyelidikan kolaboratif, penganjuran persidangan antarabangsa, penerbitan bersama serta perkongsian kepakaran dalam bidang geospatial dan geomatik.
Di ITS Surabaya, perbincangan turut memperkukuh hubungan akademik yang telah lama terjalin antara kedua-dua institusi menerusi penganjuran Persidangan Antarabangsa Geomatik (GeoICON). Kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperluaskan penyelidikan rentas negara, pembangunan bakat penyelidik muda serta peningkatan mobiliti akademik dalam bidang geomatik dan teknologi geospatial.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, delegasi UTM turut melawat Makmal Geoinformatik ITS yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi dan kemudahan terkini dalam bidang geospatial. Lawatan tersebut memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi pemetaan moden, pemprosesan data geospatial berketepatan tinggi serta penghasilan model kontur dan visualisasi permukaan bumi dalam paparan tiga dimensi (3D).
Delegasi turut menyaksikan demonstrasi teknologi Sandbox Realiti Terimbuh (AR), iaitu platform interaktif yang menggabungkan model fizikal permukaan dengan unjuran digital masa nyata bagi memaparkan perubahan kontur, ketinggian dan aliran air secara dinamik.
Demonstrasi tersebut memperlihatkan potensi teknologi ini sebagai medium pembelajaran, penyelidikan dan simulasi geospatial yang lebih berkesan, selain membuka ruang kepada perbincangan mengenai pembangunan penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi antara kedua-dua institusi.


Sementara itu, lawatan ke ITN Malang membuka lembaran baharu dalam kerjasama akademik, khususnya menerusi cadangan pembangunan Program Pesisir Sarjana Kejuruteraan Geomatik. Program tersebut dijangka memberi peluang kepada pelajar Indonesia melanjutkan pengajian pascasiswazah di UTM melalui model pembelajaran yang lebih fleksibel serta berorientasikan antarabangsa.
Selain itu, kedua-dua institusi turut membincangkan pelaksanaan program mobiliti jangka pendek bagi pelajar prasiswazah dan pascasiswazah, lawatan akademik, perkongsian kemudahan makmal, latihan industri antarabangsa, pembangunan staf akademik serta aktiviti pembangunan profesional yang mampu memperkukuh kompetensi graduan dalam menghadapi cabaran industri geospatial global.
Menurut Prof. Madya Sr Dr. Abdullah Hisam Omar, kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia, malah menjadi platform penting dalam melahirkan graduan yang mempunyai perspektif antarabangsa, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan teknologi geospatial dan pengurusan ruang secara mampan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen bersama UTM, ITS Surabaya dan ITN Malang dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UTM untuk memperluaskan agenda pengantarabangsaan, memperkasa kolaborasi strategik serta melahirkan graduan yang bersedia mendepani cabaran global.