UTM perluas akses pendidikan DVM dan pembelajaran interaktif di Karnival KV Kluang 2026

SDGSDG4SDG8SDG17

📝 Ringkasan

UTM telah menyertai Karnival KV Kluang 2026 untuk meningkatkan akses pendidikan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan pembelajaran interaktif. Mereka telah membuka ruang untuk mendekati pelajar TVET dan memberi pendedahan mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di UTM. UTM juga telah memperkenalkan program prasiswazah seperti Sarjana Muda Sains Pembinaan yang menerima kemasukan lepasan DVM Teknologi Pembinaan.

KLUANG, 30 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh jaringan pendidikan dan keterlibatan komuniti menerusi penyertaan dalam Karnival Hari Kokurikulum, Hari Terbuka Bengkel dan Hari Keusahawanan Kolej Vokasional Kluang (KV Kluang) 2026 yang berlangsung di perkarangan kolej berkenaan.

Penyertaan UTM dalam karnival itu membuka ruang kepada universiti untuk mendekati pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), selain memberi pendedahan mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di UTM.

Wakil UTM yang terlibat dalam program berkenaan adalah daripada Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), yang berkongsi maklumat berkaitan laluan akademik dan kerjaya dalam bidang pembinaan serta pengurusan projek. Antara program prasiswazah yang diperkenalkan ialah Sarjana Muda Sains Pembinaan, yang secara khusus menerima kemasukan lepasan DVM Teknologi Pembinaan sebagai laluan kesinambungan pengajian ke peringkat universiti.

Menerusi sesi perkongsian dan interaksi bersama pengunjung, pelajar berpeluang mendapatkan maklumat mengenai laluan pendidikan daripada DVM ke UTM, termasuk peluang permohonan dan syarat kemasukan yang berkaitan. Pendedahan itu membantu pelajar vokasional merancang laluan pendidikan selepas tamat pengajian serta melihat pendidikan tinggi sebagai kesinambungan kepada pengetahuan dan kemahiran teknikal yang telah diperoleh.

Dr. Naqiyatul Amirah Mohd Said (kanan) memberi penerangan lanjut mengenai peluang melanjutkan pengajian lepasan DVM ke UTM serta taklimat aktiviti interaktif kepada pelajar Jabatan Teknologi Pembinaan KV Kluang

Penyertaan UTM turut diperkasakan menerusi aktiviti pembelajaran interaktif MegaBuild, sebuah permainan simulasi berkonsepkan dam ular yang menggabungkan elemen pengurusan projek pembinaan dengan pendekatan pembelajaran santai.

Menerusi MegaBuild, peserta berperanan sebagai Pengurus Projek yang berdepan pelbagai situasi dan cabaran dalam usaha menyiapkan projek pembinaan sebuah Hospital Pintar. Perjalanan dari Petak 1 hingga Petak 100 menggambarkan proses pembangunan projek daripada perancangan awal sehingga peringkat penyiapan dan penyerahan projek.

Dr. Muhamad Shafiq Johari (kanan) mengendalikan sesi penerangan interaktif menggunakan peranti digital bagi membantu pelajar memahami peraturan dan konsep perancangan projek menerusi papan permainan MegaBuild

Pendekatan berasaskan permainan itu memberi peluang kepada pelajar mengenali konsep asas pengurusan projek, penyelesaian masalah dan pembuatan keputusan dalam industri pembinaan. Pada masa yang sama, aktiviti berkenaan memperkenalkan bidang alam bina kepada pelajar sekolah dan kolej vokasional melalui kaedah yang lebih mudah difahami, interaktif dan menyeronokkan.

Sesi fotografi kenang-kenangan wakil UTM, Sr. Dr. Zuhaili Mohamad Ramly (dua dari kiri), Ketua Jabatan Ukur Bahan, bersama peserta selepas selesai aktiviti simulasi pengurusan projek MegaBuild

Karnival berkenaan turut menghimpunkan warga KV Kluang, pelajar daripada 22 buah sekolah dari daerah Kluang dan Johor Bahru, ibu bapa serta komuniti setempat. Penyertaan kumpulan sasaran yang pelbagai itu menyediakan platform kepada UTM untuk memperluas keterlihatan universiti dan berinteraksi secara langsung dengan bakal pelajar serta masyarakat.

Selain penglibatan UTM, karnival turut menampilkan Hari Terbuka Bengkel dan Pameran Inovasi yang mempamerkan hasil kerja serta kemahiran vokasional pelajar, Hari Keusahawanan dan gerai jualan bagi memupuk semangat keusahawanan, serta pameran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).

Bagi UTM, penyertaan dalam program seperti ini bukan sahaja menjadi platform promosi pendidikan, malah menyokong usaha universiti memperkukuh hubungan dengan institusi TVET dan sekolah sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan tinggi. Interaksi secara langsung membolehkan UTM meningkatkan kefahaman pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi, di samping mengenal pasti potensi kerjasama akademik, pemindahan ilmu dan aktiviti keterlibatan komuniti pada masa hadapan.

Penyertaan itu juga memperkukuh hubungan antara UTM dan KV Kluang dalam usaha mewujudkan kesinambungan pendidikan daripada peringkat vokasional kepada pendidikan tinggi. Jaringan berkenaan berpotensi dikembangkan melalui program perkongsian kepakaran, aktiviti bersama pelajar dan tenaga pengajar, serta inisiatif lain yang dapat menyumbang kepada pembangunan bakat TVET dan sektor pembinaan negara.

Secara keseluruhannya, penglibatan UTM dalam Karnival KV Kluang 2026 mencerminkan komitmen universiti untuk membawa ilmu dan kepakaran lebih dekat kepada masyarakat, memperluas akses kepada maklumat pendidikan tinggi serta membina jaringan strategik bersama institusi pendidikan dan komuniti.

Explore More

UTM Open Day