📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya membuktikan komitmen dalam menerajui kepakaran teknikal dan penyelidikan dengan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem logistik halal digital Negeri Johor. Konvensyen Logistik Halal Negeri Johor 2026 telah menjadi platform penting bagi merangka hala tuju Johor sebagai Hab Logistik Halal Digital Serantau menjelang 2030. Konvensyen ini telah menyokong pelaksanaan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030) dan telah menghasilkan resolusi strategik untuk memperkukuh ekosistem logistik halal negeri.
JOHOR BAHRU, 29 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus membuktikan komitmennya dalam menerajui kepakaran teknikal dan penyelidikan apabila memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem logistik halal digital Negeri Johor.
Menerusi kerjasama strategik antara Perbadanan Islam Johor (PIJ) Holdings, Johor Halal Development Corporation (JHDC) dan UTM, penganjuran Konvensyen Logistik Halal Negeri Johor 2026 di Fraser Place Puteri Harbour menjadi platform penting bagi merangka hala tuju Johor sebagai Hab Logistik Halal Digital Serantau menjelang 2030.
Penganjuran konvensyen ini turut menyokong pelaksanaan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030), khususnya di bawah Hala Tuju Strategik Keempat yang memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur logistik halal bersepadu serta pendigitalan rantaian bekalan.
Sinergi kepakaran pelbagai entiti di UTM menjadi antara tunjang utama kejayaan ilmiah konvensyen tersebut. Dalam kerjasama ini, Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), yang merupakan Penyedia Latihan Halal (PLH) diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bertindak sebagai rakan penganjur utama.
Pada masa yang sama, pakar dari Pusat Data Raya UTM (BDC), Akademi Tamadun Islam (ATI), Fakulti Pengurusan serta Fakulti Komputeran menyumbang kepakaran sebagai moderator dan panel dalam sesi Diskusi Kumpulan Berfokus (FGD).

Konvensyen ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh pembangunan logistik halal Johor melalui pemerkasaan pendigitalan, inovasi dan pendedahan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), sekali gus mempercepat usaha merealisasikan aspirasi negeri sebagai Hab Logistik Halal Digital Serantau.
Sepanjang konvensyen berlangsung, pelbagai cadangan dan resolusi strategik dirangka menerusi lima tema utama perbincangan meja bulat.
Perbincangan memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus dan dasar pematuhan halal, pendigitalan, AI dan Smart Halal Logistics, kesiapsiagaan industri serta pembangunan infrastruktur, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta inklusiviti rantaian bekalan, selain pembangunan bakat, latihan dan penyelidikan.
Keseluruhan resolusi tersebut dijangka menjadi asas kepada pelan tindakan yang lebih menyeluruh bagi memperkukuh ekosistem logistik halal negeri.

Pada majlis penutupan konvensyen, Pengarah Institut Penyelidikan Pelestarian Alam Sekitar (RISE) UTM yang juga Presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILT Malaysia), Prof. Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, membentangkan resolusi konvensyen kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Hj. Mohd Fared Mohd Khalid.

Dalam pembentangannya, beliau memperincikan resolusi yang menggariskan pendekatan menyeluruh untuk memperkukuh ekosistem logistik halal Johor melalui pemerkasaan tadbir urus, pendigitalan, pembangunan infrastruktur, pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta pembangunan bakat dan inovasi bagi meningkatkan daya saing industri halal negeri di peringkat serantau.
Dalam ucapan penutupan konvensyen, YB Hj. Mohd Fared Mohd Khalid menegaskan bahawa pelaksanaan sistem logistik halal merupakan inisiatif strategik di bawah PKHNJ 2030 bagi memelihara integriti rantaian bekalan halal secara menyeluruh.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua pengeluar, pengimport dan pengeksport yang berhasrat memperoleh Pensijilan Halal Malaysia diwajibkan menggunakan kemudahan logistik halal yang disediakan di Johor sebagai langkah memperkukuh pematuhan terhadap standard pensijilan halal negara.
Penyertaan aktif UTM dalam konvensyen ini mencerminkan peranan universiti sebagai rakan strategik kerajaan dan industri dalam menjana penyelesaian berasaskan penyelidikan bagi memperkukuh ekosistem halal negara. Melalui gabungan kepakaran akademik, penyelidikan dan inovasi, UTM terus menyumbang kepada pembangunan dasar, pemerkasaan industri serta transformasi digital yang menyokong agenda Johor sebagai hab logistik halal digital yang berdaya saing di peringkat serantau.