UTM perkukuh penyelidikan komoditi porang melalui kajian industri agro-makanan di Indonesia

SIDENRENG RAPPANG, 8 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh usaha penyelidikan berkaitan pembangunan komoditi agro-makanan berpotensi tinggi menerusi lawatan kerja dan pengumpulan data industri porang di Kabupaten Sidenreng Rappang (Sidrap) serta Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Lawatan kerja tersebut dilaksanakan oleh dua penyelidik UTM, iaitu Prof. Madya Dr. Adriana Mohd Rizal dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) dan Dr. Raihana Ridzuan dari Fakulti Sains. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Geran Penyelidikan Hi-Tech (F4+) 2024 UTM di bawah penyeliaan Ketua Program, Prof. Ir. Ts. Dr. Roshanida A. Rahman.

Program ini bertujuan mendapatkan maklumat lapangan berkaitan pembangunan industri porang di Indonesia, khususnya melibatkan aspek pengurusan tanaman, rantaian bekalan, pemprosesan, eksport, sokongan institusi serta pengalaman pentadbiran tempatan dalam membangunkan porang sebagai komoditi bernilai ekonomi tinggi.

Temu bual penyelidik bersama Bupati Sidrap Syaharuddin Alrif
Penyelidik UTM mengadakan temu bual bersama Bupati Sidrap, Syaharuddin Alrif

Pada 6 Julai 2026, penyelidik UTM mengadakan pertemuan rasmi bersama Bupati Kabupaten Sidenreng Rappang, Syaharuddin Alrif, di Pejabat Bupati Sidrap. Pertemuan tersebut turut melibatkan sesi temu bual bersama Bupati serta ketua-ketua dinas bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan perkembangan industri tanaman porang di daerah berkenaan.

Sesi temu bual itu memberi tumpuan kepada pengalaman pentadbiran daerah dalam membangunkan industri porang, termasuk strategi menggalakkan penyertaan petani, sokongan kerajaan daerah, cabaran pasaran serta potensi porang sebagai sumber ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar.

Lawatan lapangan di kilang pemprosessan porang di Desa Talumae
Penyelidik UTM meninjau operasi kilang pemprosesan porang di Desa Talumae, Sidrap

Pada hari yang sama, penyelidik turut menjalankan temu bual bersama pengurus kilang pemprosesan dan pengeksport porang di Desa Talumae, Sidrap. Lawatan tersebut memberi peluang kepada penyelidik untuk meneliti proses pengolahan porang daripada bentuk ubi sehingga menghasilkan produk separa proses seperti kerepek porang atau porang chips yang dieksport ke pasaran China.

Pemerhatian di kilang berkenaan penting bagi memahami struktur rantaian nilai industri porang, termasuk proses pengumpulan hasil, pemilihan bahan mentah, pemprosesan, pengeringan, pembungkusan serta keperluan eksport. Maklumat yang diperoleh dapat membantu penyelidik mengenal pasti mekanisme penciptaan nilai tambah dalam industri porang serta potensi penerapan model tersebut bagi pembangunan komoditi konjak atau porang di Malaysia.

Penyelidik bersama Kepala Desa Buntu Buangin Ramli Paki serta warga desa dan Petani
Penyelidik UTM bersama Kepala Desa Buntu Buangin, Ramli Paki, serta warga desa dan komuniti petani setempat

Pada 7 Julai 2026, aktiviti pengumpulan data diteruskan melalui pemerhatian lapangan dan temu bual berkumpulan bersama penduduk serta petani di Desa Buntu Buangin, Desa Belawae dan Desa Dengeng-Dengeng. Penyelidik UTM turut disambut oleh Kepala Desa Buntu Buangin, Ramli Paki, bersama warga desa dan komuniti petani setempat.

Tanaman ubi porang yang diusahakan oleh petani di Sidrap

Sesi temu bual berkumpulan tersebut memberi tumpuan kepada pengalaman sebenar petani dalam mengusahakan tanaman porang, termasuk kaedah penanaman, sumber benih, kos pengeluaran, cabaran penyelenggaraan tanaman, hasil tuaian, mekanisme pemasaran serta hubungan dengan pembeli atau pengumpul.

Dapatan awal daripada sesi tersebut memberikan gambaran lebih menyeluruh tentang realiti pembangunan industri porang di peringkat komuniti, termasuk peranan tanaman berkenaan dalam menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani tempatan.

Penyelidik bersama Dekan Fakulti Pertanian UNHAS, Prof. Dr. Ir. Rismaneswati, Timbalan Dekan Kerjasama, Penyelidikan, Innovasi dan Alumni Prof. Dr. Ir. Rinaldi Sjahril serta para pensyarah Fakulti Pertanian UNHAS
Penyelidik UTM bersama Prof. Dr. Ir. Rismaneswati, Prof. Dr. Ir. Rinaldi Sjahril, serta pensyarah Fakulti Pertanian UNHAS

Pada 8 Julai 2026, lawatan kerja diteruskan ke Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar. Penyelidik UTM mengadakan sesi temu bual dan perbincangan bersama Dekan Fakulti Pertanian UNHAS, Prof. Dr. Ir. Rismaneswati, serta Timbalan Dekan Kerjasama, Penyelidikan, Inovasi dan Alumni, Prof. Dr. Ir. Rinaldi Sjahril, di Pejabat Dekan Fakulti Pertanian.

Dalam pertemuan tersebut, penyelidik UTM turut membentangkan pengenalan berkaitan Universiti Teknologi Malaysia, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim serta Fakulti Sains UTM. Perbincangan turut merangkumi potensi kerjasama antara UTM dan UNHAS, khususnya dalam bidang penyelidikan pertanian, pembangunan komoditi bernilai tinggi, bioteknologi tanaman, rantaian bekalan agro-makanan serta pembangunan komuniti berasaskan pertanian.

Lawatan kerja ini bukan sahaja menyumbang kepada pengumpulan data penyelidikan, malah membuka ruang kepada pembentukan jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan antara UTM dengan pihak pentadbiran daerah, komuniti petani, pemain industri serta Universitas Hasanuddin, Makassar.

Secara keseluruhannya, dapatan daripada lawatan ini dijangka dapat menyokong pembangunan model rantaian bekalan dan strategi pengkomersialan komoditi konjak atau porang di Malaysia. Pengalaman Sidrap sebagai salah satu kawasan yang berjaya membangunkan industri porang memberikan rujukan penting dalam menilai potensi, cabaran serta keperluan ekosistem bagi memperkenalkan tanaman tersebut sebagai komoditi agro-makanan baharu negara.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen UTM dalam memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi yang bersifat merentas disiplin dan berorientasikan komuniti, selaras dengan agenda universiti dalam menghasilkan penyelesaian penyelidikan yang relevan kepada industri, masyarakat dan pembangunan negara.

Explore More

UTM Open Day