📝 Ringkasan
UTM telah mengadakan Sesi Libat Urus Persediaan ke Arah Penilaian Kendiri Kajian Penilaian Outcome (Outcome Referral Team) Siri 2. Sesi ini dihadiri oleh hampir 100 pegawai daripada pelbagai kementerian dan bertujuan untuk memperkukuh kompetensi penjawat awam dalam Kajian Penilaian Outcome. Dr. Siti Hasliah Salleh dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM, telah dijemput sebagai penceramah dan menyampaikan perkongsian tentang metodologi dalam Kajian Penilaian Outcome. Beliau menjelaskan bahawa KPO bukan sekadar melaporkan aktiviti yang telah dilaksanakan, tetapi bertujuan membina bukti sama ada sesuatu dasar, program atau projek benar-benar menghasilkan perubahan kepada kumpulan sasar.
BANDAR ENSTEK, 10 Jul – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memainkan peranan dalam pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti sektor awam melalui perkongsian kepakaran dalam Sesi Libat Urus Persediaan ke Arah Penilaian Kendiri Kajian Penilaian Outcome (Outcome Referral Team) Siri 2.
Sesi libat urus yang berlangsung pada 7 hingga 10 Julai 2026 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) ini dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, dan dihadiri hampir 100 pegawai daripada pelbagai kementerian.
Program ini menghimpunkan beberapa penceramah dan rakan strategik yang berkongsi kepakaran dalam pelbagai aspek berkaitan Kajian Penilaian Outcome (KPO). Antara komponen yang diberi penekanan termasuk pembentukan problem tree, pendekatan logical framework, pemikiran strategik, penyelesaian masalah, penciptaan nilai serta metodologi KPO.

Dalam sesi tersebut, Dr. Siti Hasliah Salleh, Ketua Kumpulan Penyelidikan Pengajian Polisi, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM, telah dijemput sebagai penceramah bagi slot “Metodologi dalam Kajian Penilaian Outcome”. Perkongsian ini memberi tumpuan kepada kepentingan perancangan metodologi yang sistematik dalam melaksanakan KPO.
Menurut beliau, KPO bukan sekadar proses melaporkan aktiviti yang telah dilaksanakan, tetapi bertujuan membina bukti sama ada sesuatu dasar, program atau projek benar-benar menghasilkan perubahan kepada kumpulan sasar.

Peserta turut didedahkan kepada perbezaan antara kajian akademik dan KPO, khususnya bagi menangani persepsi bahawa KPO sukar dilaksanakan dan terlalu akademik. Dr. Siti Hasliah menjelaskan bahawa KPO masih memerlukan kaedah kajian yang sistematik, namun pendekatannya perlu bersifat praktikal, berfokus kepada bukti, dan disesuaikan dengan keperluan pemilik dasar, program atau projek. Berbeza dengan kajian akademik yang lazimnya menekankan sumbangan kepada ilmu, teori dan penerbitan, KPO lebih menumpukan kepada pembuktian sama ada sesuatu intervensi telah menghasilkan perubahan kepada kumpulan sasar. Justeru, metodologi KPO perlu membantu pegawai menentukan data yang diperlukan, pihak yang perlu dilibatkan, kaedah pengumpulan data yang sesuai serta cara dapatan diterjemahkan kepada tindakan penambahbaikan.
Selain penyampaian slot metodologi, Dr. Siti Hasliah turut terlibat sebagai fasilitator dalam aktiviti World Café yang disediakan oleh pihak ICU. Aktiviti ini memberi ruang kepada peserta untuk membina problem tree, kerangka strategik dan cadangan metodologi berdasarkan isu kajian yang diberikan mengikut kumpulan. Dalam sesi tersebut, beliau turut memberikan maklum balas bagi membantu peserta menambah baik perancangan kajian dan kesesuaian metodologi yang dicadangkan.
Selaras dengan kepakaran FAI, perkongsian tersebut turut menyentuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif dalam KPO, khususnya sebagai alat sokongan dalam analisis dokumen, perancangan kajian, pembinaan instrumen dan analisis data. Walau bagaimanapun, aspek etika seperti perlindungan data sensitif, kerahsiaan dokumen dan semakan semula output AI turut ditekankan.

Penglibatan ini mencerminkan peranan UTM dalam memperkukuh amalan penilaian berasaskan bukti dalam sektor awam. Ia juga menunjukkan sumbangan kepakaran universiti dalam membantu agensi kerajaan melaksanakan KPO yang lebih sistematik, beretika dan berorientasikan penambahbaikan dasar, program serta projek yang memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
