📝 Ringkasan
UTM, James Dyson Foundation dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor menganjurkan Program Bootcamp NextGen Engineers Challenge 2026 bagi memperkukuh pendedahan pelajar sekolah terhadap inovasi dan kejuruteraan. Seramai 150 peserta, termasuk 120 pelajar sekolah dan 30 guru STEM, menyertai program yang berlangsung di UTM Johor Bahru. Mereka dibimbing oleh 30 fasilitator pelajar pascasiswazah UTM. Program ini membantu peserta memahami peranan inovasi dan kejuruteraan dalam menangani permasalahan dunia sebenar dan memberikan peluang mereka berinteraksi secara langsung dengan jurutera profesional.
JOHOR BAHRU, 22 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerusi kerjasama strategik dengan The James Dyson Foundation (JDF) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), menganjurkan Program Bootcamp NextGen Engineers Challenge 2026 bertemakan “Innovate, Design, Impact” bagi memperkukuh pendedahan pelajar sekolah terhadap inovasi dan kejuruteraan.
Program yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya itu turut menjadi antara inisiatif pemindahan ilmu daripada akademia kepada komuniti sasaran menerusi geran Pemindahan Ilmu (KTP) oleh Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN), UTM.
Seramai 150 peserta yang terdiri daripada 120 pelajar sekolah dan 30 guru STEM Negeri Johor, bersama 30 fasilitator, menyertai program yang berlangsung di Dewan Astana, Kolej Tunku Canselor (KTC), UTM Johor Bahru.

Sebanyak 30 sekolah menengah dari seluruh Johor terlibat dalam program berkenaan, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, SMK Perempuan Temenggung Ibrahim, SMK Bandar Uda Utama, SMK Sri Tebrau, SMK Taman Daya, SMK Taman Desa Skudai, SMK Taman Mutiara Rini 2, SMK Taman Tun Aminah, SMK Tan Sri Mohamed Rahmat, SMK Tasek Utara 2, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang, SMK Dato’ Haji Hassan Yunos, SMK Kota Kulai, SMK Tun Habab, SMK Sultan Ibrahim, SMK Bandar Putra, SMK Bukit Batu, SMK Nitar, SMK Sri Mersing, Sekolah Tinggi Muar, SMK Permas Jaya, SMK Puteri Wangsa, SMK Seri Alam 2, SMK Taman Pelangi Indah, SMK Dato’ Penggawa Barat, Pontian, SMK Sri Perhentian, SMK Tan Sri Osman Mohd Sa’at, SMK Bandar Putra Segamat, SMK Palong Timur dan SMK Tun Sri Lanang.
Setiap sekolah dibimbing oleh seorang fasilitator dalam kalangan pelajar pascasiswazah UTM bagi menyokong peserta sepanjang pelaksanaan program dan persediaan menghadapi pertandingan akhir.

Program dimulakan dengan sesi pengenalan format pertandingan NextGen Engineers Challenge yang memberikan pendedahan awal kepada peserta mengenai objektif, struktur pelaksanaan, kriteria penilaian serta hasil pembelajaran yang diharapkan.
Sesi berkenaan turut membantu peserta memahami peranan inovasi dan kejuruteraan dalam menangani permasalahan dunia sebenar, selain memberikan gambaran keseluruhan perjalanan pertandingan daripada pencetusan idea sehingga pembentangan penyelesaian akhir.
Sesi seterusnya menerusi modul khas “Belajar Bersama Jurutera James Dyson” pula memberikan peluang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan jurutera profesional daripada James Dyson Foundation.
Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (hands-on learning), peserta didedahkan kepada aplikasi konsep kejuruteraan dalam situasi sebenar serta proses reka bentuk produk yang diamalkan dalam industri. Pendekatan itu turut membantu mereka memahami bagaimana prinsip sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) diaplikasikan dalam pembangunan produk yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat.

Bagi slot kedua, peserta mengikuti eksperimen amali berkaitan pencemaran udara bersama Dr. Huszalina Hussin dari Fakulti Sains. Aktiviti berkenaan memberi peluang kepada peserta membangunkan sistem penapisan udara ringkas menggunakan bahan yang disediakan, di samping memahami fungsi dan ciri bahan penapis yang berkesan dalam menyingkirkan zarah pencemar daripada udara.
Selain memberikan pengalaman pembelajaran secara amali dan berkumpulan, aktiviti itu turut meningkatkan kesedaran peserta terhadap isu pencemaran udara serta kesannya terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.

Seterusnya, slot ketiga memberi tumpuan kepada aktiviti mereka bentuk projek menggunakan platform mikropengawal Arduino bersama Afandi Azmi dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM.
Menerusi aktiviti tersebut, peserta dibimbing mengaplikasikan konsep asas elektronik, sensor dan pengaturcaraan bagi membangunkan prototaip projek kejuruteraan. Mereka turut didedahkan kepada kaedah mengintegrasikan komponen perkakasan dan perisian untuk menghasilkan sistem yang dapat berfungsi secara automatik dalam menangani masalah dunia sebenar.
Prototaip yang dibangunkan kemudiannya diuji di sekitar kawasan kolej, sekali gus membolehkan peserta mengumpulkan data berdasarkan aktiviti yang dilaksanakan.
Data berkenaan seterusnya dianalisis dalam slot berikutnya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui pendekatan chatbot yang disampaikan oleh Ir. Ts. Dr. Amirjan Nawabjan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik.
Dalam sesi tersebut, peserta didedahkan kepada potensi AI sebagai alat sokongan untuk mentafsir data, mengenal pasti corak dan menghasilkan cadangan penyelesaian berdasarkan maklumat yang diperoleh. Pendedahan itu turut membantu peserta memahami penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan dan inovasi, khususnya dalam konteks Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Sebagai kesinambungan kepada program, setiap sekolah menerima satu kotak kit Engineering Solution: Air Pollution bernilai RM7,000 hasil sumbangan James Dyson Foundation. Kit berkenaan akan digunakan bagi menyokong aktiviti pembelajaran dan pembangunan penyelesaian kejuruteraan oleh peserta di sekolah masing-masing.
Impak program pula akan dinilai menerusi pelaksanaan sesi bimbingan berkala bersama fasilitator serta penyertaan dalam pertandingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada November. Pertandingan berkenaan menawarkan jumlah hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
Melalui kesinambungan bimbingan, pengalaman amali dan penerapan teknologi dalam program tersebut, peserta berpeluang mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah, mereka bentuk penyelesaian serta mengaplikasikan pengetahuan STEM dalam situasi sebenar, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi muda yang mempunyai minat dan keupayaan dalam bidang inovasi serta kejuruteraan.