📝 Ringkasan
UTM dan ITB telah mengadakan program akademik selama dua hari untuk memperkenalkan aplikasi teknologi geospatial secara praktikal. Program ini termasuk lawatan makmal, aktiviti lapangan, dan latihan penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS). Peserta telah didedahkan kepada teknologi seperti Pengimbasan Laser Terestrial (TLS), Pengimbasan 3D Cahaya Berstruktur, dan Realiti Maya (VR) untuk dokumentasi, penyiasatan forensik, dan pengurusan bencana. Program ini berjaya menghubungkan pembelajaran teori dengan pengalaman praktikal dan diharapkan dapat membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan, pengajaran, dan pembangunan inovasi geospatial.
JOHOR BAHRU, 23 Julai – Kumpulan Penyelidikan Pengimejan dan Maklumat Geospatial (Gi2RG), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerima kunjungan delegasi Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia, menerusi program akademik selama dua hari yang menggabungkan lawatan makmal, aktiviti lapangan serta latihan penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Program tersebut bertujuan memperkenalkan aplikasi teknologi geospatial secara praktikal, di samping memperkukuh perkongsian ilmu, jaringan akademik dan kerjasama penyelidikan antara kedua-dua institusi.
Pada hari pertama, peserta mengadakan lawatan ke makmal Gi2RG dan makmal Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mengikuti beberapa demonstrasi teknologi geospatial yang diaplikasikan dalam penyelidikan dan penyiasatan forensik.
Antara teknologi yang diperkenalkan ialah Pengimbasan Laser Terestrial (Terrestrial Laser Scanning, TLS) menerusi simulasi tempat kejadian jenayah. Teknologi tersebut digunakan bagi menghasilkan data point cloud untuk menyokong analisis kesan tembakan serta corak percikan darah secara lebih terperinci.

Peserta turut didedahkan kepada teknologi Pengimbasan 3D Cahaya Berstruktur yang digunakan untuk mendokumentasikan artifak bersejarah dalam bentuk model digital. Kaedah ini membantu usaha pemeliharaan warisan, penyimpanan rekod dan penyelidikan artifak tanpa bergantung sepenuhnya kepada pengendalian objek asal.

Selain itu, demonstrasi Realiti Maya (Virtual Reality, VR) menggunakan Meta Quest membolehkan peserta meneroka model point cloud Kota Jail dan sebuah masjid di UTM dalam persekitaran maya. Pengalaman interaktif ini memperlihatkan potensi data imbasan tiga dimensi dalam dokumentasi, pendidikan serta visualisasi ruang.

Program hari pertama diteruskan dengan bengkel Sistem Maklumat Geografi Kuantum (QGIS) yang memperkenalkan asas Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta aplikasi pemetaan topografi. Melalui sesi amali tersebut, peserta menghasilkan peta kawasan kampus UTM dengan memberi tumpuan kepada kolej kediaman, bangunan akademik, badan air, sungai dan rangkaian jalan.
Pada hari kedua, peserta menyertai aktiviti eksplorasi geospatial di Tasik UTM dengan menggunakan koordinat dan bearing bagi mencari lokasi checkpoint. Mereka turut menyemak elemen kartografi pada peta serta menjawab kuiz Kahoot berkaitan penderiaan jauh, geomatik dan GIS.
Seterusnya, peserta menggunakan aplikasi mudah alih Scaniverse untuk menghasilkan model tiga dimensi objek buatan manusia menerusi kaedah fotogrametri jarak dekat. Aktiviti ini menunjukkan bahawa pengumpulan data 3D asas juga mampu dilaksanakan menggunakan telefon pintar.

Pada sesi petang, peserta diperkenalkan kepada analisis spatial dan latihan pemetaan bencana menggunakan QGIS. Mereka menjalankan analisis kawasan berisiko denggi, risiko banjir dan cerun curam bagi memahami peranan GIS dalam mengenal pasti kawasan berisiko serta menyokong proses membuat keputusan berasaskan data.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya menghubungkan pembelajaran teori dengan pengalaman praktikal melalui aktiviti makmal, kerja lapangan dan analisis data sebenar. Pendekatan tersebut memberikan pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai aplikasi teknologi geospatial dalam bidang pemetaan, penyiasatan forensik, dokumentasi warisan dan pengurusan bencana.
Gi2RG turut merakamkan penghargaan kepada delegasi ITB serta semua pihak yang menjayakan program ini. Lawatan akademik tersebut diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam penyelidikan, pengajaran, mobiliti pelajar serta pembangunan inovasi geospatial, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara UTM dan ITB pada masa hadapan.