📝 Ringkasan
21 wakil Komuniti Kariah Surau Flora, Skudai mengadakan lawatan ilmiah ke ATTIN Press Sdn. Bhd. di Puncak Alam, Selangor bagi meninjau kaedah pemuliaan dan pelupusan naskhah al-Quran, kitab serta buku agama lusuh menggunakan pendekatan kitar semula tanpa pembakaran. Projek rintis ini menerima dana RM20,000 daripada Geran Iskandar Puteri Rendah Karbon 6.0 (IPRK 6.0) bagi menyokong pelaksanaan inisiatif pelupusan bahan bercetak berasaskan keagamaan secara lebih lestari.
PUNCAK ALAM, 21 Julai – Seramai 21 wakil Komuniti Kariah Surau Flora, Skudai yang diketuai Timbalan Pengerusi Kariah Pulai Flora, Haji Mad Noor Padaron dan Ketua Projek Rintis Sistem Pelupusan Kitab Lama Secara Biodegradasi, Dr. Mohd Nasir Masroom, mengadakan lawatan ilmiah ke ATTIN Press Sdn. Bhd. di Puncak Alam, Selangor bagi meninjau kaedah pemuliaan dan pelupusan naskhah al-Quran, kitab serta buku agama lusuh menggunakan pendekatan kitar semula tanpa pembakaran.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha awal Komuniti Kariah Surau Pulai Flora untuk membangunkan projek pengumpulan dan pemuliaan naskhah al-Quran, kitab serta buku agama lusuh di kawasan kariah.
Projek rintis berkenaan menerima dana berjumlah RM20,000 daripada Geran Iskandar Puteri Rendah Karbon 6.0 (IPRK 6.0), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi menyokong pelaksanaan inisiatif pelupusan bahan bercetak berasaskan keagamaan secara lebih lestari.
Projek tersebut menggariskan tiga objektif utama, iaitu mewujudkan Pusat Pengumpulan Kitab Lama, meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kelestarian alam sekitar melalui kaedah pelupusan kitab yang mesra alam serta melaksanakan proses pelupusan kitab lama secara biodegradasi.

Sepanjang lawatan, peserta diberikan penerangan mengenai kaedah de-inking atau penyahdakwat, iaitu proses mengasingkan dakwat daripada serat kertas sebelum bahan tersebut diproses semula secara terkawal. Peserta turut diperkenalkan kepada beberapa peringkat pemprosesan yang merangkumi pengasingan bahan, penimbangan, penghancuran kertas menjadi pulpa, penyaringan, pembersihan, penyahdakwat, pembasuhan dan pemprosesan semula serat kertas.
Menurut Penasihat Kelestarian Projek, Prof. Dr. Mohd Fadhil Md Din, pendekatan berkenaan menyediakan alternatif yang lebih sistematik dan mesra alam berbanding kaedah pembakaran, di samping memastikan naskhah yang mengandungi ayat-ayat suci dikendalikan dengan tertib, penuh penghormatan serta mematuhi prinsip pemuliaan bahan keagamaan.
Sementara itu, Dr. Mohd Nasir berkata projek berkenaan menyumbang kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon menerusi pendekatan pelupusan kitab lusuh secara lebih mesra alam.
Menurut beliau, kaedah tersebut melibatkan pemprosesan kertas melalui proses rendaman dan penghancuran sehingga menjadi pulpa sebelum dilupuskan melalui kaedah penanaman bagi membolehkan proses biodegradasi semula jadi berlaku. Pendekatan berkenaan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pembakaran bahan bercetak yang berpotensi menghasilkan pelepasan karbon dioksida secara langsung ke atmosfera.
Selain itu, sebahagian pulpa kertas yang ditanam akan terurai secara beransur-ansur dan menyumbang kepada pembentukan bahan organik dalam tanah. Projek ini juga berupaya meningkatkan kesedaran komuniti mengenai pengurusan bahan bercetak secara lebih lestari serta menggalakkan amalan pelupusan sisa yang bertanggungjawab.
Secara tidak langsung, inisiatif berkenaan menyokong usaha pembangunan komuniti rendah karbon, di samping memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan keperluan menyesuaikan diri dengan cabaran perubahan iklim.
Hasil lawatan tersebut diharapkan dapat membantu Komuniti Kariah Surau Pulai Flora merealisasikan pembangunan pusat pengumpulan yang memudahkan penduduk menyerahkan naskhah al-Quran, kitab dan buku agama lama atau rosak untuk dikendalikan secara bertanggungjawab sebelum dihantar ke fasiliti pemprosesan yang bersesuaian.
Pada akhir sesi, pihak ATTIN Press turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Surau Flora, Skudai sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan lawatan ilmiah tersebut.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kariah Flora dalam mengintegrasikan tuntutan pemuliaan syiar Islam dengan amalan kelestarian serta penjagaan alam sekitar, sekali gus memperlihat peranan komuniti dalam menyokong agenda pembangunan rendah karbon secara berterusan.
