KUALA LUMPUR, 24 Julai – Kursus AI Driven Pedagogy: Revolusi Generatif AI dalam Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) TVET Masa Hadapan berjaya dilaksanakan selama tiga hari, bermula 22 hingga 24 Julai 2026 di Hotel UTM & Residensi, Kuala Lumpur.
Kursus ini merupakan aktiviti perundingan di bawah Vot 2964 Uni-Technologies Sdn. Bhd. (UTSB), anak syarikat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UTM Kuala Lumpur, bersama dua ahli perunding projek, iaitu Prof. Madya Dr. Noorminshah A.Iahad dari Fakulti Komputeran, UTM dan Ts. Dr. Siti Armiza Mohd. Aris dari Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM.
Kursus ini menghimpunkan 30 peserta yang terdiri daripada pengajar dan instruktur Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), serta pegawai Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), serta Kementerian Belia dan Sukan.
Peserta yang terdiri daripada kumpulan pelaksana Skim Pegawai Latihan Vokasional (DV) dan Pegawai Latihan (E) diberikan pendedahan menyeluruh mengenai aplikasi kecerdasan buatan (AI) generatif dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kursus ini dirangka menggunakan pendekatan pembelajaran campuran (blended learning) yang bersifat partisipatori, dengan 70 peratus kandungannya melibatkan latihan amali secara langsung (hands-on) menggunakan peranti digital. Antara modul yang diketengahkan ialah Revolusi Generatif AI dalam TVET, Advanced Prompt Engineering & Content Creation Studio, Responsible AI & Governance, AI-Enhanced Assessment & Learning Analytics, AI Productivity Lab (Workflow Automation & Chatbot) serta AI-Powered TVET Micro-Teaching Workshop.
Melalui kursus ini, peserta didedahkan kepada kaedah memanfaatkan AI generatif bagi mempercepat penghasilan bahan pengajaran seperti nota, slaid pembentangan dan kuiz, di samping membangunkan senario troubleshooting serta latihan praktikal mengikut bidang kemahiran masing-masing.
Selain itu, peserta turut mempelajari kaedah menganalisis prestasi pelajar bagi merancang intervensi pembelajaran yang lebih tepat, mengautomasikan tugasan pentadbiran dan penyediaan laporan prestasi pengajar, serta mengamalkan penggunaan AI secara beretika dan berintegriti dalam latihan kemahiran.
Kandungan kursus turut merangkumi penerokaan pelbagai aplikasi AI untuk menghasilkan kandungan multimedia pendidikan, teknik prompt engineering bagi menjana modul latihan teknikal, pembangunan bank soalan dan senario bengkel secara automatik, penggunaan bot bagi membantu pengurusan rekod kelas dan analisis data pelajar, serta garis panduan penggunaan AI tanpa menjejaskan penguasaan kemahiran praktikal.
Penganjuran kursus ini selaras dengan agenda transformasi TVET negara dalam memastikan tenaga pengajar sentiasa kompeten menguasai teknologi terkini seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0 dan Revolusi Industri 5.0. Di samping meningkatkan produktiviti melalui pengurangan beban tugasan rutin, pendekatan ini membolehkan pengajar memberi tumpuan yang lebih kepada penyeliaan bengkel, bimbingan pelajar dan pembangunan kompetensi.
Pada masa yang sama, penggunaan AI dalam PdP berupaya mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan relevan dengan keperluan Generasi Z, sekali gus melahirkan graduan TVET yang memiliki nilai tambah serta lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan.
Secara keseluruhannya, kejayaan pelaksanaan kursus ini diharapkan dapat memperkukuh keupayaan peserta mengintegrasikan AI generatif dalam pengajaran dan pembelajaran di institusi masing-masing. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong peningkatan kualiti pendidikan TVET negara, malah memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan serta pembangunan modal insan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

