Sinergi Adab dan Inovasi, ekosistem RDICE–ICCubeX UTM catat impak RM8.6 Juta

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11SDG12SDG13SDG16

📝 Ringkasan

UTM mencatat impak RM8.6 juta melalui ekosistem RDICE-ICCubeX. Model Inkubasi Berstruktur ICCubeX yang diasaskan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad menggabungkan Program Mentor, elemen Simbiosis Pelajar dan Kolaborasi Industri. Model ini berjaya menamatkan isu inovasi terperam di makmal dan meletakkan UTM sebagai penanda aras ekosistem universiti terbaik di Malaysia.

JOHOR BAHRU, 14 Jul – Melalui pelan strategik UTM ASCEND 2030 dan pemerkasaan Ekosistem Berstruktur ICCubeX, UTM menerajui agenda RDICE KPT iaitu Research (Penyelidikan), Development (Pembangunan), Innovation (Inovasi), Commercialisation (Pengkomersialan) dan Economy (Ekonomi) dengan membina rantaian nilai lab-to-market yang holistik. Langkah ini sekali gus berjaya menamatkan isu inovasi terperam di makmal dan meletakkan UTM sebagai penanda aras ekosistem universiti terbaik di Malaysia.

Mengulas mengenai pencapaian luar biasa ini, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menegaskan bahawa peranan universiti hari ini telah melangkaui sempadan akademik tradisional.

“UTM komited menterjemahkan aspirasi KPT melalui kerangka RDICE yang holistik, berteraskan nilai ADAB dalam setiap usaha penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan. Kejayaan ekosistem komersial kami bukan sekadar tentang angka dan keuntungan semata-mata, tetapi tentang bagaimana impak berteknologi tinggi (deep-tech) ciptaan anak tempatan mampu menyelesaikan masalah sebenar industri dan menyumbang secara langsung kepada kemakmuran ekonomi madani.”

“Dalam konteks JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura), UTM bersedia menjadi pemacu inovasi, pembangunan bakat, pemindahan teknologi dan kerjasama industri rentas sempadan. Ini adalah pembuktian bahawa pelan strategik ASCEND 2030 berada di landasan yang tepat untuk meletakkan IPT tempatan di pentas global,” ujar Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry.

Melonjakkan Hasrat KPT: Kitaran Komprehensif Komponen RDICE

Bagi menterjemahkan agenda RDICE KPT sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang mampan, UTM memantapkan portfolio harta inteleknya dengan merekodkan 119 paten difailkan dan 137 paten berjaya diperolehi (granted) sepanjang tempoh 2023 hingga 2025. Keberhasilan ini disokong penuh oleh penstrukturan pembiayaan dan latihan berasaskan Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) melalui dua pendekatan strategik: R,D&I (Technology Push) yang memandu fasa awal penyelidikan menerusi dana i-SPARK (TRL 1-2), dana Transformasi (TRL 3-5), dan PDF 1 & PDF 2 (TRL 3-8) untuk pembangunan prototaip bebas risiko; serta C&E (Market Pull) yang memacu inovasi menembusi Valley of Death melalui dana SME InTech (TRL 6-8) berteraskan kerjasama industri, dana TIF (TRL 7-9) sebagai platform pameran pasaran sebenar bagi menarik pelabur, dan kemuncaknya dana ICCUBEX Plus (TRL 8-9) untuk penskalaan syarikat hiliran ke peringkat global.

Rantaian RDICE – ICCubeX di UTM

UTM bertindak bijak mengadun acuan ekosistem global Stanford-Silicon Valley ke landskap tempatan melalui tata urus perundangan dan insentif progresif demi melonjakkan kadar pengkomersialan universiti. Komitmen tatakelola ini dijayakan menerusi Dasar Pengurusan Harta Intelek (IP) untuk perlindungan inovasi yang sistematik, Prosedur Syarikat Hiliran (Spin-off) sebagai panduan jelas penubuhan perniagaan akademik, serta Skim Galakkan  Keusahawanan.

Keunikan mutlak yang meletakkan UTM sebagai pendahulu ekosistem IPT terletak pada Model Inkubasi Berstruktur ICCubeX yang diasaskan oleh Pengarah ICC UTM, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad. Ekosistem holistik ini menggabungkan Program Mentor antara penyelidik novis dan usahawan sukses, elemen Simbiosis Pelajar untuk melatih mahasiswa menjadi bakal CEO pascagraduasi, serta Kolaborasi Industri peringkat awal selaku early ‘adopter’ untuk melonjakkan TRL prototaip makmal kepada produk sedia pasaran.

Kelangsungan agenda RDICE yang cemerlang ini wajar dijayakan menerusi simfoni integrasi berstruktur erat pelbagai entiti dalam satu rantaian nilai komprehensif bagi mengelakkan pergerakan secara silo. Rantaian yang bermula dengan RMC yang menguruskan R&D asas berkualiti tinggi, diikuti UTMXCITE sebagai nadi pencungkil bakat keusahawanan pelajar pra-siswazah, serta CCIN yang menghubungkan input industri sejak awal penyelidikan. Fasa kelestarian, pasaran, dan korporatisasi pula dipacu mantap oleh Rangkaian Alumni sebagai market catalyst rentas generasi untuk validasi pasaran, sokongan alternatif Unit Endowment, jentera penskalaan komersial oleh Entiti Korporat UTM (UTM Holdings, UTSB, UTIM), serta disempurnakan oleh Gergasi Ekosistem Technovation Park seperti MTDC, MARA, dan komuniti penyewa teknologi yang menawarkan platform matang untuk syarikat hiliran menembusi pasaran global.

Mengulas mengenai impak integrasi holistik ini, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat berkata, “Agenda RDICE tidak boleh digerakkan secara ‘silo’. Keberkesanan model ICCubeX yang dibina sejak 2022 terletak pada integrasi simfoni antara RMC, UTMXCITE, CCIN, hinggalah ke platform validasi pasaran dan korporat seperti UTIM Sdn Bhd serta UTM Holdings Sdn Bhd. Malah, dengan kepelbagaian platform ini, kita berupaya melonjakkan potensi start-up daripada kelompok pelajar pra dan pasca-siswazah untuk menjadi bakal CEO yang kompetitif di peringkat global.”

Bukti Impak Nyata (Prestasi Komersial & Sosial 2025–2026)

Keberkesanan model ICCubeX dalam menterjemahkan elemen RDICE dibuktikan secara nyata menerusi impak sosioekonomi yang luar biasa bagi tempoh 2025 hingga 2026. Kejayaan ini menyaksikan syarikat hiliran UTM mencatatkan jumlah hasil jualan agresif sebanyak RM8,642,944.70 pada tahun 2025, disusuli dengan rekod membanggakan sebanyak 62 teknologi dilesenkan kepada industri dengan nilai pelesenan dan royalti mencecah RM194,356.33 pada tahun 2026. Selain itu, ekosistem ini berjaya menyokong matlamat KPT sebagai job creator dengan mewujudkan 228 peluang pekerjaan keseluruhan yang merangkumi 125 pekerja tetap, 51 pekerja praktikal, dan 52 pekerja kontrak. Impak positif ini turut melengkapkan kitaran semula ekonomi universiti apabila keuntungan komersial disalurkan semula demi kelangsungan R&D masa hadapan melalui sumbangan endowmen sebanyak RM108,250.00 dan geran penyelidikan bernilai RM192,000.00.

Impak dan Sumbangan Syarikat Hiliran UTM

 

Penyerahan Cek Cura Royalti dan Yuran Pelesenan Teknologi Tunai semasa Majlis Bersama Naib Canselor

Kecemerlangan ekosistem ICCubeX sejak 2022 dibuktikan secara nyata menerusi impak pengiktirafan global dan universiti, bermula dengan raihan Anugerah Khas King Abdulaziz University di SIIF 2025 (Korea) serta Tempat Ketiga Anugerah Inovasi Naib Canselor (Citra Karisma 2025). Lonjakan kredibiliti ini diperkukuh dengan kejayaan dua staf ICC memperoleh pensijilan antarabangsa RTTP (ATTP, UK) yang mengiktiraf kompetensi profesional global dalam memudah cara kerjasama industri, pelesenan teknologi, dan penubuhan syarikat hiliran. Pencapaian ini menjadi testimoni kejayaan UTM mengadun sempurna aspek nyata (dana, ruang pejabat, platform korporat) dan aspek tidak nyata (penerapan nilai adab dan etika profesional, kepakaran akademik, jaringan sosial, polisi mesra usahawan, serta integrasi multi-entiti) untuk menjelma sebagai kuasa ekonomi mampan yang berintegriti. Di bawah komitmen ASCEND 2030, model berstruktur yang meletakkan adab dan kemajuan teknologi seiring ini bukan sahaja menobatkan UTM sebagai ekosistem universiti terbaik di Malaysia, malah mempamerkan rangka tindakan mutlak bagaimana IPT mampu memimpin hadapan dalam memacu sosioekonomi, kedaulatan teknologi, dan kemakmuran ekonomi negara di pentas global.

 

Explore More

UTM Open Day