📝 Ringkasan
Program Recharge Ilmi yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menamatkan siri pengajian kitab bersanad dengan mengadakan majlis pengijazahan sanad dan penyampaian sijil kepada peserta yang berjaya menamatkan keseluruhan siri pengajian. Program ini bertujuan untuk memantapkan ilmu tauhid dan tasawuf serta menghidupkan semula tradisi talaqqi dan pengajian kitab turath bersanad. Peserta telah dibahagikan kepada dua modul utama, iaitu pengukuhan akidah menerusi ilmu tauhid dan penyucian jiwa melalui ilmu tasawuf.
JOHOR BAHRU, 15 Julai – Siri Pengajian Recharge Ilmi: Talaqqi Kitab Bersanad yang memberi tumpuan kepada pemantapan ilmu tauhid dan tasawuf melabuhkan tirainya dengan Majlis Pengijazahan Sanad dan Penyampaian Sijil kepada para peserta yang berjaya menamatkan keseluruhan siri pengajian.
Program yang berlangsung secara intensif itu merupakan inisiatif Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menghidupkan semula tradisi talaqqi dan pengajian kitab turath bersanad dalam persekitaran universiti. Pendekatan ini dilihat signifikan dalam mendepani cabaran pemikiran semasa kerana rantaian keilmuan yang bersambung daripada guru kepada pengarang kitab sehingga kepada Rasulullah SAW menjadi asas penting dalam memastikan kesahihan ilmu serta kefahaman yang berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sepanjang penganjurannya, program ini menjadi wadah kepada warga kampus dan masyarakat setempat untuk memperkukuh kefahaman agama melalui pengajian yang menggabungkan pembangunan intelektual dan kerohanian.

Siri Recharge Ilmi kali ini dibahagikan kepada dua modul utama yang saling melengkapi, iaitu pengukuhan akidah menerusi ilmu tauhid dan penyucian jiwa melalui ilmu tasawuf.
Modul tauhid menggunakan Kitab Risalah Tauhid Al-Bajuri telah dibimbing oleh Ustaz Muhammad Syahrul Abdul Rahman dari Jabatan Mufti Negeri Johor. Pengajian yang berlangsung selama enam siri itu memberi penekanan kepada asas ilmu tauhid, termasuk sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah SWT serta Rasul-Nya, sekali gus memperkukuh kefahaman peserta terhadap akidah yang sahih.
Sementara itu, modul tasawuf berasaskan Kitab Umdat Al-Muhtajin Ila Suluk Maslak al-Mufridin dikendalikan oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM, Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman. Sepanjang lapan siri pengajian, peserta didedahkan kepada panduan praktikal dalam menyucikan hati daripada sifat mazmumah serta membentuk akhlak mahmudah sebagai asas pembangunan insan.

Kemuncak program berlangsung pada 15 Julai dengan penyempurnaan siri kelapan dan terakhir pengajian kitab tasawuf. Majlis kemudiannya diteruskan dengan Pengijazahan Sanad sebagai pengiktirafan kepada peserta yang mengikuti pengajian secara lengkap. Pengijazahan tersebut melambangkan kebenaran meriwayatkan kitab daripada guru kepada murid, sekali gus meneruskan kesinambungan tradisi keilmuan Islam yang bersanad.
Selain itu, peserta turut menerima sijil tamat pengajian sebagai penghargaan terhadap komitmen dan kesungguhan mereka mengikuti setiap siri pengajian. Penyampaian sijil tersebut bukan sekadar mengiktiraf penyertaan, malah menjadi simbol iltizam peserta dalam mendalami ilmu agama melalui kaedah talaqqi.


Kejayaan penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Pusat Islam UTM menerusi Unit Latihan dan Dakwah dengan Kumpulan Penyelidikan Ahlussunnah Wal Jamaah (ARG). Kolaborasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memartabatkan pengajian ilmu Islam yang autentik dan berteraskan tradisi keilmuan bersanad.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Dana Zakat Fisabilillah, Zakat UTM dan Tabung Masjid Sultan Ismail yang menyediakan bantuan kewangan serta logistik sepanjang pelaksanaannya. Di samping itu, kelancaran setiap siri pengajian didukung oleh komitmen barisan sukarelawan Rakan Pusat Islam UTM yang memainkan peranan penting dalam memastikan program berjalan dengan lancar.
Penganjur berharap Siri Pengajian Recharge Ilmi akan terus menjadi platform pengembangan ilmu yang berterusan serta mampu melahirkan masyarakat yang berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, berakhlak mulia dan istiqamah dalam menuntut ilmu melalui tradisi talaqqi yang sahih.