📝 Ringkasan
UTM terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju kepakaran dalam bidang pengurusan tenaga di peringkat antarabangsa apabila diberi kepercayaan membangunkan program pembangunan kapasiti profesional bagi melahirkan Pengurus Tenaga dan Juruaudit Tenaga bertauliah di Kemboja. Program ini bertujuan memperkukuh kapasiti sumber manusia dalam bidang pengurusan dan audit tenaga sebagai pemangkin kepada peningkatan kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta menyokong peralihan Kemboja ke arah ekonomi rendah karbon.
JOHOR BAHRU, 24 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju kepakaran dalam bidang pengurusan tenaga di peringkat antarabangsa apabila diberi kepercayaan membangunkan Cambodia Energy Manager and Energy Auditor Training (CEMAT), sebuah program pembangunan kapasiti profesional bagi melahirkan Pengurus Tenaga dan Juruaudit Tenaga bertauliah di Kemboja.
Program ini dilaksanakan di bawah pembiayaan ASEAN Centre for Energy (ACE) menerusi projek Asia Low Carbon Buildings Transition (ALCBT) dengan kerjasama Ministry of Mines and Energy (MME), Cambodia serta Institute of Technology of Cambodia (ITC).
Inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh kapasiti sumber manusia dalam bidang pengurusan dan audit tenaga sebagai pemangkin kepada peningkatan kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta menyokong peralihan Kemboja ke arah ekonomi rendah karbon.
UTM dipilih sebagai rakan teknikal utama berdasarkan kepakaran universiti dalam pembangunan kurikulum profesional, pengurusan tenaga, audit tenaga dan latihan kompetensi. Menerusi projek ini, UTM bertanggungjawab membangunkan kurikulum, modul latihan, kaedah penilaian kompetensi, bahan pengajaran serta mekanisme pensijilan yang memenuhi keperluan industri dan amalan terbaik antarabangsa.
Pembangunan program CEMAT diterajui oleh Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim, pakar dalam bidang pengurusan tenaga dan kelestarian yang juga merupakan Registered Energy Manager (Type 1), Registered Energy Manager (Type 2) dan Registered Energy Auditor (REA) yang diperakui Suruhanjaya Tenaga Malaysia.
Berbekalkan pengalaman luas dalam pembangunan program pensijilan profesional di Malaysia, beliau diberi tanggungjawab mengetuai pembangunan kurikulum, modul latihan dan sistem penilaian kompetensi. Projek ini turut disokong oleh Dr. Muhammad Afiq Zubir yang juga merupakan Registered Energy Manager (REM) dan Registered Energy Auditor (REA).
Sebelum ini, Prof. Ir. Dr. Haslenda telah menerajui pembangunan pelbagai modul latihan dan program pensijilan profesional bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), UTM serta beberapa agensi kerajaan dan industri.

Kepakaran beliau dalam pembangunan kompetensi profesional, Sistem Pengurusan Tenaga Asean Energy Manager Scheme (AEMAS), ISO 50001, audit tenaga dan penyahkarbonan industri menjadi asas kepada pembangunan kurikulum CEMAT yang memenuhi keperluan semasa industri serta sejajar dengan standard antarabangsa.
Bagi memastikan program yang dibangunkan memenuhi piawaian serantau, pasukan UTM melaksanakan kajian penanda aras secara komprehensif terhadap program pensijilan Energy Manager di tujuh negara ASEAN, melibatkan Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Kemboja.
Kajian tersebut menilai standard kompetensi, struktur latihan, tempoh latihan, kaedah penilaian, mekanisme pensijilan serta keperluan pembangunan profesional berterusan (CPD), sebelum dapatan tersebut diterjemahkan ke dalam kurikulum CEMAT.
Hasil kajian itu, kurikulum CEMAT diperkukuh dengan kandungan teknikal yang lebih komprehensif merangkumi pengurusan tenaga, dasar dan perundangan tenaga, sistem tenaga elektrik dan haba, audit tenaga, analisis tarif tenaga, pembangunan garis asas tenaga menggunakan analisis regresi, aplikasi teknologi kecekapan tenaga serta pendekatan Plan-Do-Check-Act (PDCA).
Penambahbaikan ini memastikan peserta bukan sahaja memahami aspek teori, malah berupaya melaksanakan projek kecekapan tenaga secara sistematik dalam sektor industri dan bangunan.
Sebagai sebahagian daripada proses pembangunan kurikulum, pasukan UTM turut mengadakan lawatan penanda aras ke pusat kecemerlangan tenaga di Singapura dan Indonesia bagi meninjau teknologi terkini, kemudahan latihan serta pelaksanaan program pembangunan kompetensi.


Selain itu, beberapa sesi libat urus bersama Ministry of Mines and Energy (MME), pihak industri, institusi pengajian tinggi dan agensi berkaitan di Kemboja turut diadakan bagi memastikan modul latihan memenuhi keperluan sebenar negara tersebut.
Usaha pembangunan kapasiti ini mula membuahkan hasil apabila kohort pertama Program CEMAT berjaya melahirkan seramai 25 Certified Energy Managers (CEM). Graduan kohort pertama ini dijangka memainkan peranan penting dalam membantu sektor industri dan bangunan melaksanakan amalan pengurusan tenaga yang lebih cekap, meningkatkan produktiviti tenaga serta mengurangkan pelepasan karbon.
Melalui kesinambungan program ini, ASEAN Energy Manager Programme menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 200 Certified Energy Managers dalam tempoh dua tahun, sekali gus memperkukuh kapasiti teknikal Kemboja dalam mencapai sasaran kecekapan tenaga dan komitmen perubahan iklim negara tersebut.
Menurut Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim, pembangunan modal insan yang kompeten merupakan elemen terpenting dalam mempercepat pelaksanaan dasar kecekapan tenaga.
“Pembangunan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa tenaga kerja yang mempunyai kompetensi untuk merancang, melaksanakan dan menilai program kecekapan tenaga. Melalui CEMAT, kami bukan sahaja membangunkan kurikulum latihan, malah memindahkan pengalaman serta amalan terbaik Malaysia kepada Kemboja bagi menyokong pembangunan tenaga profesional yang mampu menerajui transformasi tenaga negara,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan projek ini membuktikan kemampuan pakar UTM menyumbang kepada pembangunan dasar, kompetensi profesional dan pembangunan modal insan di peringkat antarabangsa.
Kejayaan pembangunan CEMAT mencerminkan komitmen UTM dalam memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, kerajaan, industri dan organisasi serantau bagi menerajui agenda kelestarian. Pemindahan kepakaran ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Kemboja, malah mengukuhkan kedudukan UTM sebagai pusat rujukan serantau dalam bidang pengurusan tenaga, audit tenaga, pembangunan kurikulum profesional dan latihan kompetensi.
Melalui inisiatif seperti CEMAT, UTM terus memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi ASEAN ke arah pembangunan ekonomi yang lebih cekap tenaga, berdaya tahan dan rendah karbon. Pada masa yang sama, inisiatif ini turut menyokong ASEAN Community Vision 2045 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, inovasi serta kerjasama serantau dalam mewujudkan sistem tenaga yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.