North China University of Technology dan Aeido Co. Ltd. teroka teknologi geospatial UTM

SDGSDG4SDG9SDG17

📝 Ringkasan

Kumpulan Penyelidikan Pengimejan dan Maklumat Geospatial (Gi2RG) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan delegasi dari North China University of Technology (NCUT) dan Aeido Co. Ltd. Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh jaringan antarabangsa dan meneroka potensi kerjasama dalam bidang teknologi geospatial, forensik digital dan pemerolehan data tiga dimensi (3D). Delegasi telah melawat ruang pameran di Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG) dan menyaksikan demonstrasi teknologi geospatial dan forensik digital. Lawatan tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderahati sebagai simbol penghargaan dan kerjasama antara pihak yang terlibat.

JOHOR BAHRU, 6 Julai – Kumpulan Penyelidikan Pengimejan dan Maklumat Geospatial (Gi2RG) bersama Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan delegasi daripada North China University of Technology (NCUT) dan Aeido Co. Ltd. dalam satu lawatan akademik dan industri baru-baru ini.

Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh jaringan antarabangsa, memperluas perkongsian ilmu serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang teknologi geospatial, forensik digital dan pemerolehan data tiga dimensi (3D).

Program dimulakan dengan sesi libat urus bersama wakil Photo Laser Grammetry Sdn. Bhd. (PLG), Prof. Dr. Zulkepli Majid dan Sr Dr. Norhadija Darwin.

Dalam sesi tersebut, PLG berkongsi kepakaran, keupayaan serta inisiatif semasa syarikat, manakala wakil NCUT dan Aeido Co. Ltd. turut memperkenalkan institusi serta organisasi masing-masing. Perbincangan berkenaan memberi peluang kepada semua pihak untuk bertukar pandangan, memahami kekuatan masing-masing serta mengenal pasti ruang kerjasama yang berpotensi diteroka pada masa hadapan, khususnya dalam aspek penyelidikan, latihan, aplikasi industri dan pembangunan teknologi geospatial.

Sesi perbincangan dan perkongsian antara delegasi NCUT, Aeido Co. Ltd., PLG dan wakil UTM berkaitan potensi kerjasama dalam bidang teknologi geospatial

Selepas sesi perbincangan, delegasi dibawa melawat ruang pameran di MSFG bagi menyaksikan demonstrasi beberapa teknologi berkaitan pengimejan geospatial dan forensik digital yang dikendalikan oleh ahli Gi2RG.

Antara demonstrasi yang dipersembahkan ialah penggunaan teknologi Terrestrial Laser Scanning (TLS) menerusi simulasi tempat kejadian jenayah yang dikendalikan oleh Amiruddin Mohamad. Demonstrasi tersebut memperlihatkan keupayaan teknologi pengimbasan laser dalam merekod data ruang secara tepat bagi menyokong proses dokumentasi dan analisis forensik.

Demonstrasi TLS melalui simulasi tempat kejadian jenayah di MSFG

Delegasi turut diperkenalkan dengan teknologi Pengimbasan 3D Cahaya Terstruktur (Structured Light 3D Scanning) menggunakan Revopoint POP 3 yang dipersembahkan oleh Muhammad Zulhelmy. Teknologi tersebut menunjukkan bagaimana objek dan artifak dapat diimbas secara digital untuk tujuan dokumentasi, pemeliharaan serta penghasilan model 3D berketepatan tinggi.

Demonstrasi teknologi Structured Light 3D Scanning bagi penghasilan model digital artifak

Selain itu, Shahrul Izwan turut mempersembahkan teknologi visualisasi Realiti Maya (VR) menggunakan Meta Quest yang membolehkan data point cloud dan struktur as-built diteroka dalam persekitaran maya secara lebih interaktif. Pendedahan tersebut memberikan gambaran kepada delegasi mengenai potensi teknologi imersif dalam menyokong proses visualisasi, analisis data ruang serta penyampaian maklumat geospatial secara lebih berkesan.

Delegasi mencuba teknologi visualisasi VR menggunakan Meta Quest bagi meneroka data point cloud dan struktur as-built secara interaktif

Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati daripada delegasi NCUT dan Aeido Co. Ltd. kepada PLG sebagai tanda penghargaan serta simbol hubungan baik antara pihak akademik, penyelidikan dan industri.

Penyampaian cenderahati sebagai simbol penghargaan dan kerjasama antara pihak yang terlibat

Secara keseluruhannya, lawatan ini memberikan nilai strategik kepada Gi2RG dan MSFG dalam memperkukuh hubungan antarabangsa serta memperluas jaringan kerjasama antara institusi akademik dan industri.

Inisiatif ini turut menjadi platform penting untuk mengetengahkan keupayaan UTM dalam bidang teknologi geospatial, forensik digital, visualisasi imersif dan pemodelan 3D, di samping membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan, latihan, inovasi serta perkongsian kepakaran pada masa hadapan.

Gi2RG dan MSFG merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan lawatan ini. Diharapkan hubungan strategik yang terjalin dapat diteruskan melalui pelbagai inisiatif kolaborasi yang memberi manfaat kepada pihak akademik, industri dan masyarakat.

Explore More

UTM Open Day