📝 Ringkasan
Program Mobiliti UTM-UMSU telah berjaya meningkatkan kefahaman rentas budaya antara Malaysia dan Indonesia. Program ini melibatkan pelajar UTM dan UMSU dalam aktiviti kolaboratif, termasuk lawatan ke sekolah dan radio, serta aktiviti pembelajaran budaya di Danau Toba. Program ini juga membuka ruang untuk pembentukan jaringan baharu dan potensi kerjasama akademik dan penyelidikan antara UTM, UMSU dan institusi antarabangsa.
MEDAN, 24 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) telah melaksanakan Program Mobility Outbound DesignTech Futures: UTM-UMSU TVET Collaborative 2026 di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia, dari 20 hingga 24 Julai 2026.
Program mobiliti antarabangsa ini menghimpunkan pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Reka Bentuk dan Teknologi) UTM bersama warga Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), UMSU. Pelaksanaannya bertujuan memperkukuh pertukaran ilmu, memperluas pendedahan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta meningkatkan kefahaman rentas budaya antara Malaysia dan Indonesia.
Majlis sambutan rasmi di UMSU dimulakan dengan persembahan Tari 8 Etnis yang mengabungkan lapan tarian etnik utama Sumatera Utara. Sebagai tanda penghargaan kepada tuan rumah, pelajar UTM membalas sambutan tersebut menerusi persembahan dikir barat. Dekan FKIP UMSU, Dra. Hj. Syamsuyurnita, M.Pd., dan pensyarah gpengiring UTM, Dr. Roslizam Hassan, turut menyampaikan ucapan dalam majlis berkenaan.


Pengisian akademik program merangkumi sesi perkongsian inovasi oleh pelajar UMSU, Khairul Nabila, yang memperkenalkan aplikasi dalam talian untuk menterjemahkan teks kepada bahasa isyarat melalui animasi tiga dimensi (3D). Inovasi tersebut dibangunkan bagi membantu murid berkeperluan khas mempelajari bahasa isyarat secara lebih mudah dan interaktif.
Selain itu, wakil pelajar UTM, Muhammad Amzar Mohd Azhar, berkongsi pengalaman pembelajaran di UTM, sekali gus membuka ruang pertukaran pandangan berkaitan pendidikan, reka bentuk serta penggunaan teknologi dalam pengajaran.
Delegasi UTM turut mengadakan lawatan ke Radio UMSU dan menyertai siaran langsung yang membincangkan objektif program, aktiviti kolaboratif di UMSU, lawatan akademik ke SMA Al-Amjad serta pengisian pembelajaran budaya di Danau Toba. Dalam siaran tersebut, UTM diwakili oleh Dr. Roslizam Hassan bersama Timbalan Pengarah Program, Muhammad Luqman Hakim Rahman.

Pada 21 Julai, delegasi UTM mengadakan lawatan akademik ke SMA Al-Amjad, Medan. Lawatan tersebut memberi peluang kepada peserta bertemu barisan kepimpinan sekolah, meninjau pelaksanaan pengajaran TVET di dalam bilik darjah serta melihat pelbagai inovasi yang dihasilkan oleh murid. Pendedahan ini membolehkan pelajar UTM membandingkan pendekatan pendidikan dan amalan pembelajaran berasaskan teknologi dalam konteks persekolahan di Indonesia.

Melalui aktiviti tersebut, peserta bukan sahaja memperoleh pengalaman pembelajaran di peringkat antarabangsa, malah berpeluang memperkukuh kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan keupayaan mengaplikasikan pengetahuan TVET dalam persekitaran pendidikan yang berbeza. Interaksi secara langsung dengan pelajar universiti, murid sekolah dan komuniti setempat turut menjadikan proses pembelajaran lebih autentik, kontekstual dan bermakna.
Program diteruskan dengan aktiviti pembelajaran budaya di Danau Toba, termasuk kunjungan ke Huta Siallagan. Para peserta didedahkan kepada adat resam masyarakat Batak, menyertai tarian tradisional serta mengenali seni bina rumah warisan. Pengalaman ini menyumbang kepada pembangunan kompetensi global, di samping meningkatkan apresiasi peserta terhadap kepelbagaian budaya serantau.

Program ini turut diperkaya menerusi pertemuan antara pengurusan FKIP UMSU, wakil UTM dan Dekan Hubungan Antarabangsa Christ College (Autonomous), Irinjalakuda, Kerala, India, Dr. K. J. Vargheese. Pertemuan tersebut membuka ruang kepada pembentukan jaringan baharu serta potensi kerjasama akademik dan penyelidikan antara FEST, UMSU dan institusi antarabangsa berkenaan.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen UTM dalam memperluas pengalaman pembelajaran global, memperkukuh kolaborasi TVET dan melahirkan graduan yang berkemahiran, adaptif serta peka terhadap kepelbagaian budaya.