📝 Ringkasan
Cabaran Pemodelan Matematik Industri Malaysia 2026 (MIMMC2026) telah berlangsung dari 14 April hingga 29 Jun 2026. Pertandingan ini merupakan platform bagi pelajar prasiswazah dari seluruh Malaysia untuk mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam menyelesaikan permasalahan sebenar yang dihadapi oleh industri. Lima pasukan terbaik telah melayakkan diri ke peringkat Grand Final dan pasukan dari Xiamen University Malaysia telah muncul sebagai pemenang tempat pertama.
JOHOR BAHRU, 29 Jun – Cabaran Pemodelan Matematik Industri Malaysia 2026 (MIMMC2026) merupakan pertandingan pemodelan matematik berprestij anjuran Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Matematik Industri dan Gunaan UTM (UTM-CIAM).
Berlangsung dari 14 April hingga 29 Jun 2026, pertandingan ini menjadi platform kepada pelajar prasiswazah dari seluruh Malaysia untuk mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam menyelesaikan permasalahan sebenar yang dihadapi oleh industri.
Sepanjang tempoh pertandingan, para peserta bekerja secara berkumpulan bagi membangunkan model matematik, menganalisis data serta mencadangkan penyelesaian yang inovatif, praktikal dan berimpak tinggi. Selain memperkukuh kemahiran teknikal, MIMMC2026 turut memupuk pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi berkesan dan kerja berpasukan, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri dalam menghasilkan penyelesaian yang relevan dengan keperluan semasa.

Daripada keseluruhan penyertaan yang diterima, lima pasukan terbaik berjaya melayakkan diri ke peringkat Grand Final MIMMC2026 yang berlangsung pada 29 Jun 2026 di Dewan Kuliah 7, N24, UTM Johor Bahru.
Pada peringkat akhir tersebut, kelima-lima pasukan finalis membentangkan hasil analisis serta penyelesaian masing-masing di hadapan panel juri yang terdiri daripada ahli akademik dan wakil industri. Selain menghuraikan model matematik yang dibangunkan, peserta turut mempersembahkan aplikasi, prototaip dan platform digital bagi menunjukkan kebolehgunaan penyelesaian yang dicadangkan dalam situasi sebenar industri.
Pendekatan ini membuktikan bahawa model matematik yang dihasilkan bukan sahaja kukuh dari aspek teori, malah mempunyai nilai praktikal, inovatif dan berpotensi untuk diaplikasikan. Penilaian pertandingan dibuat berdasarkan ketepatan model matematik, kreativiti penyelesaian, kebolehlaksanaan, impak kepada industri serta kualiti pembentangan.




MIMMC2026 membuktikan bahawa matematik bukan sekadar teori yang dipelajari di bilik kuliah, sebaliknya merupakan pemacu kepada inovasi dan penyelesaian cabaran dunia sebenar. Melalui penglibatan pelajar, kepakaran ahli akademik serta kerjasama erat bersama industri, pertandingan ini berjaya memperkukuh hubungan universiti dengan sektor industri, di samping melahirkan graduan yang berkeupayaan menghasilkan penyelesaian berasaskan data dan pemodelan matematik untuk manfaat masyarakat serta pembangunan negara.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penaja serta penyumbang yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan pelaksanaan MIMMC2026. Sokongan tersebut amat bermakna dalam memastikan pertandingan ini terus menjadi platform berimpak tinggi bagi memperkasa aplikasi matematik, menggalakkan inovasi serta menghubungkan bakat muda dengan keperluan industri.
Penghargaan khusus ditujukan kepada para penaja yang terdiri daripada Flextronics Shah Alam Sdn. Bhd., Sultan Ibrahim Power Plant TNB Repair and Maintenance Sdn. Bhd. (REMACO), Institut Statistik Malaysia (ISMy), serta Management Science/Operations Research Society of Malaysia (MSORSM).
Ucapan penghargaan turut diberikan kepada Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA), Permula Sdn. Bhd., Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas komitmen dan sokongan berterusan dalam menjayakan MIMMC2026.
Oleh Dr. Nurul Aini Jaafar dan Dr. Fuaada Mohd Siam