Menteri Pendidikan Tinggi kunjungi Makmal Satelit Forensik Geospatial UTM sempena Semarak Kampus

SDGSDG4SDG8SDG9SDG16

📝 Ringkasan

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, mengunjungi Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sempena program Semarak Kampus. Lawatan ini bertujuan memperkenalkan keupayaan UTM dalam teknologi geospatial, forensik digital, pemodelan 3D dan visualisasi imersif. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry mencuba teknologi Realiti Maya (VR) dan Structured Light 3D Scanning, serta melihat demonstrasi penggunaan Terrestrial Laser Scanning (TLS) bagi simulasi tempat kejadian jenayah. Lawatan ini memberi pengiktirafan kepada usaha Gi2RG dan MSFG dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi di UTM.

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Kumpulan Penyelidikan Pengimejan dan Maklumat Geospatial (Gi2RG), bersama Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berbesar hati menerima kunjungan rasmi Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sempena program Semarak Kampus UTM.

Lawatan ini turut diiringi oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad; Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah; Dekan FABU, Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali, serta wakil pensyarah Gi2RG termasuk Prof. Madya Sr. Dr. Ami Hassan Md Din dan Sr Dr. Khairul Nizam M. Idris.

Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir (tengah) bersama barisan pengurusan UTM dan warga Gi2RG semasa lawatan rasmi ke Makmal Satelit Forensik Geospatial

MSFG merupakan makmal forensik satelit geospatial pertama di institusi pengajian tinggi di Malaysia, khususnya di UTM. Lawatan ini menjadi ruang penting untuk memperkenalkan keupayaan UTM dalam teknologi geospatial, forensik digital, pemodelan 3D dan visualisasi imersif.

Sepanjang lawatan berlangsung, delegasi diperkenalkan dengan teknologi Pengimbasan Laser Terestrial (Terrestrial Laser Scanning – TLS) menggunakan sistem FARO menerusi simulasi tempat kejadian jenayah. Teknologi ini digunakan untuk menghasilkan data point cloud yang boleh membantu analisis forensik seperti kesan tembakan dan kesan darah dengan lebih jelas dan terperinci.

Demonstrasi penggunaan Terrestrial Laser Scanning (TLS) bagi simulasi tempat kejadian jenayah dan penghasilan data point cloud

Lawatan ini turut menjadi lebih bermakna apabila Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry sendiri mencuba teknologi Realiti Maya (VR) menggunakan Meta Quest. Menerusi teknologi ini, hasil imbasan point cloud dapat diteroka dalam persekitaran maya, sekali gus memberi pengalaman yang lebih interaktif dalam memahami data geospatial dan struktur 3D.

Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mencuba pengalaman VR bagi meneroka hasil visualisasi point cloud

Selain itu, delegasi juga diperkenalkan dengan teknologi Structured Light 3D Scanning menggunakan Revopoint POP 3 bagi tujuan imbasan artifak. Teknologi ini membantu menghasilkan model digital artifak dengan lebih tepat, termasuk untuk tujuan pemeliharaan, analisis kesan pada artifak dan sokongan kecerdasan buatan (AI) dalam proses rekonstruksi digital.

Demonstrasi imbasan artifak menggunakan teknologi Structured Light 3D Scanning bagi tujuan pemodelan dan pemeliharaan digital

Lawatan ini dikendalikan oleh Amiruddin Mohamad selaku Timbalan Ketua Makmal MSFG bersama ahli-ahli Gi2RG. Turut terlibat dalam sesi demonstrasi ialah Alif Zulfiqar, Shahrul Izwan dan Muhammad Zulhelmy yang memperkenalkan aplikasi teknologi masing-masing kepada delegasi.

Secara keseluruhannya, lawatan ini memberi pengiktirafan bermakna kepada usaha Gi2RG dan MSFG dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi di UTM. Ia juga membuka ruang kepada kerjasama lebih luas dalam bidang geospatial, forensik digital, pemerolehan realiti 3D dan pemindahan ilmu bagi menyokong ekosistem pendidikan tinggi negara.

Explore More

UTM Open Day