Literasi AI Bukan Hanya untuk Pakar Teknologi

SDGSDG4SDG9SDG10

📝 Ringkasan

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan harian semakin meningkat, tetapi tidak semua orang memahami bagaimana menggunakan AI dengan bijak. Literasi AI, kemahiran baru untuk memahami dan menggunakan AI, diperlukan oleh semua golongan. Ia tidak memerlukan latar belakang sains komputer, tetapi kemahiran untuk mengenal pasti, memahami, mentafsir, mencipta dan berkomunikasi dalam dunia yang sentiasa berubah. Pengguna yang celik AI perlu memahami konsep asas AI, menyedari bahawa AI bukanlah entiti hidup, dan memahami bagaimana teknologi ini mempengaruhi kehidupan harian dan masyarakat.

Pernahkah anda menggunakan telefon pintar yang mencadangkan perkataan seterusnya ketika menaip mesej? Atau melihat aplikasi e-dagang yang mencadangkan produk yang mungkin anda minati? Mungkin juga anda pernah menggunakan Google Maps yang mencadangkan laluan paling cepat ke sesuatu destinasi. Semua ini ialah contoh penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan harian. Di tempat kerja pula, AI semakin digunakan untuk membantu menulis e-mel, menyediakan draf laporan, menjana idea kandungan media sosial dan menganalisis data jualan bagi melihat produk yang paling banyak dibeli oleh pelanggan.

Boleh dikatakan bahawa AI kini berada di mana-mana. Teknologi ini bukan lagi sesuatu yang hanya digunakan oleh syarikat teknologi besar atau pakar komputer tetapi ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Persoalannya, adakah semua orang perlu mempunyai latar belakang sains komputer untuk memahami dan menggunakan AI?

Apa yang diperlukan bukanlah kepakaran teknikal yang mendalam, tetapi satu kemahiran baharu yang dikenali sebagai literasi AI. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, literasi ialah kebolehan menulis dan membaca atau celik huruf. Dalam konteks yang lebih luas, Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa literasi secara amnya merujuk kepada kebolehan untuk mengenal pasti, memahami, mentafsir, mencipta dan berkomunikasi dalam dunia yang sentiasa berubah.

Mengapa Literasi AI Penting dalam Kehidupan Masa Kini?

Kepentingan literasi AI dalam membantu masyarakat menggunakan teknologi secara berkesan, kritis, selamat dan bertanggungjawab.
Sumber: Ilustrasi dijana menggunakan NotebookLM berdasarkan maklumat yang diolah oleh penulis.

AI kini digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk pembelajaran, pekerjaan, urusan harian, komunikasi dan hiburan. Teknologi ini dapat membantu manusia mencari maklumat, menyusun idea, meringkaskan dokumen dan menyelesaikan tugasan dengan lebih cepat. Namun begitu, penggunaan AI turut membawa cabaran kerana maklumat yang dihasilkan tidak semestinya tepat, lengkap atau sesuai dengan keadaan tertentu. Oleh itu, literasi AI penting bagi membantu pengguna memahami manfaat dan risiko teknologi ini. Seseorang yang celik AI lebih berhati-hati ketika menerima atau menyebarkan maklumat dan lebih peka terhadap isu privasi, keselamatan dan penggunaan teknologi secara beretika.

Literasi AI juga membolehkan masyarakat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang semakin pesat. Kemahiran ini diperlukan oleh semua golongan seperti pelajar, ibu bapa, pendidik, pekerja, pemimpin organisasi dan masyarakat umum agar AI dapat dimanfaatkan dengan selamat dan bertanggungjawab.

Kepentingan literasi AI ini turut selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Dari perspektif SDG 4, iaitu Pendidikan Berkualiti, literasi AI merupakan antara kemahiran abad ke-21 yang perlu dibangunkan melalui pembelajaran sepanjang hayat. Kemahiran ini penting kepada semua golongan, termasuk pelajar, golongan dewasa, pekerja dan masyarakat umum agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan menggunakan AI secara bijak, beretika dan bertanggungjawab. Selain itu, hakikat bahawa literasi AI tidak memerlukan latar belakang sains komputer turut menyokong SDG 10 iaitu Mengurangkan Ketaksamaan. Jurang digital sering memperbesar jurang sosial dan ekonomi dalam masyarakat dan dengan menjadikan literasi AI sesuatu yang boleh dipelajari serta diakses oleh semua lapisan masyarakat, risiko golongan tertentu tercicir daripada arus perkembangan teknologi dapat dikurangkan.

Apakah yang Perlu Dimiliki oleh Pengguna yang Celik AI?

Berdasarkan Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, seseorang yang mempunyai literasi AI perlu memahami konsep asas teknologi tersebut dan menyedari bahawa AI bukanlah entiti hidup yang mempunyai kesedaran seperti manusia. Pengguna juga perlu mengetahui bagaimana teknologi ini boleh mempengaruhi kehidupan harian, masyarakat dan cara manusia membuat keputusan. Pengguna yang celik AI turut memahami bahawa teknologi ini berfungsi sebagai alat bantuan kepada manusia dalam melaksanakan tugas, bukan untuk menggantikan peranan manusia sepenuhnya. Mereka juga menyedari bahawa setiap penggunaan AI mempunyai kesan tertentu, sama ada dari segi etika, sosial, keselamatan mahupun privasi. Kesedaran ini penting supaya seseorang tidak menerima semua hasil janaan AI secara bulat-bulat. Sebaliknya, pengguna perlu mempertimbangkan konteks, sumber maklumat dan kemungkinan wujudnya kesilapan atau unsur berat sebelah dalam kandungan yang dihasilkan.

Kemahiran Penting untuk Menggunakan AI dengan Bijak

Menjadi celik AI bukan sekadar mengetahui cara membuka dan menggunakan sesuatu aplikasi. Pengguna juga perlu mempunyai kemahiran untuk berinteraksi dengan teknologi tersebut secara berkesan mengikut tujuan dan keperluan yang sesuai. Antara kemahiran utama ialah pemikiran kritis dan penyelesaian masalah. Pengguna perlu membandingkan maklumat, menyemak sumber dan menentukan sama ada jawapan yang diberikan relevan dengan situasi sebenar. AI boleh digunakan untuk membantu mengenal pasti pilihan dan menghasilkan cadangan, tetapi keputusan akhir masih memerlukan pertimbangan manusia. Pengguna juga perlu mampu memecahkan sesuatu masalah yang rumit kepada bahagian yang lebih mudah, serta memberikan arahan yang jelas, khusus dan tersusun. Arahan yang baik membantu AI menghasilkan jawapan yang lebih tepat dan bersesuaian dengan kehendak pengguna.

Secara kesimpulannya, sama seperti literasi komputer yang menjadi kemahiran penting dalam era digital, literasi AI juga semakin diperlukan dalam kehidupan masa kini. Kita tidak perlu menjadi saintis data, jurutera AI atau pakar pengaturcaraan untuk menjadi celik AI. Sebaliknya, kita perlu mengetahui cara menggunakan teknologi ini dengan bijak, menilai hasilnya secara kritis dan memahami kesannya terhadap diri sendiri dan masyarakat. Dalam era AI, kelebihan sebenar bukan hanya terletak pada keupayaan menggunakan teknologi, tetapi pada kebijaksanaan untuk menggunakannya secara berkesan, selamat dan bertanggungjawab.

Usaha memupuk literasi AI dalam kalangan masyarakat turut menyokong SDG 9 iaitu Industri, Inovasi dan Infrastruktur yang menggalakkan pembangunan inovasi teknologi secara inklusif dan mampan. Masyarakat yang celik AI bukan sahaja mampu memanfaatkan inovasi seperti AI di tempat kerja dengan lebih berkesan, malah dapat menyertai proses inovasi itu sendiri secara kritis dan bertanggungjawab. Mereka juga tidak hanya menjadi pengguna pasif terhadap teknologi yang dicipta oleh pihak lain.

 

 

Oleh Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali, Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Explore More

UTM Open Day