Library XChange Hub UTM satukan ilmu dan kepakaran bersama komuniti

SDGSDG4SDG11SDG17

📝 Ringkasan

Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memperkenalkan Library XChange Hub, sebuah ruang kolaboratif yang bertujuan memperkukuh budaya perkongsian ilmu, pemindahan kepakaran dan penglibatan komuniti. Konsep ini menekankan bahawa setiap pihak mempunyai pengetahuan dan pengalaman bernilai untuk dikongsi, membolehkan ilmu berkembang secara kolaboratif melalui dialog, perkongsian pengalaman serta penyelesaian masalah yang berpaksikan keperluan sebenar masyarakat. Library XChange Hub juga mengangkat pendekatan Citizen Science, yang menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam proses pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan penyelesaian terhadap isu komuniti.

Dalam era masyarakat berasaskan pengetahuan, peranan perpustakaan tidak lagi terhad sebagai tempat penyimpanan dan penyediaan bahan bacaan. Sebaliknya, perpustakaan kini berkembang sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat, ruang inovasi serta platform yang menghubungkan kepakaran universiti dengan masyarakat.

Selaras dengan perubahan tersebut, Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan Library XChange Hub, sebuah ruang kolaboratif yang dibangunkan bagi memperkukuh budaya perkongsian ilmu, pemindahan kepakaran dan penglibatan komuniti menerusi pendekatan pemindahan ilmu (knowledge exchange) dan Citizen Science.

Penubuhan Library XChange Hub di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur lahir daripada keperluan untuk mewujudkan ruang yang lebih terbuka dan inklusif, yang membolehkan warga universiti, industri, agensi kerajaan serta komuniti berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kepakaran secara dua hala.

Berbeza dengan pendekatan tradisional yang menempatkan universiti sebagai penyampai ilmu semata-mata, konsep pemindahan ilmu menekankan bahawa setiap pihak mempunyai pengetahuan dan pengalaman bernilai untuk dikongsi. Pendekatan ini membolehkan ilmu berkembang secara kolaboratif melalui dialog, perkongsian pengalaman serta penyelesaian masalah yang berpaksikan keperluan sebenar masyarakat.

Seiring dengan perkembangan tersebut, Library XChange Hub turut mengangkat pendekatan Citizen Science, iaitu amalan yang menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam proses pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan penyelesaian terhadap isu komuniti.

Melalui pendekatan ini, masyarakat bukan sahaja menerima manfaat daripada kepakaran universiti, malah turut menyumbang idea, pengalaman dan data yang dapat membantu menghasilkan penyelidikan serta inovasi yang lebih relevan dan memberi impak kepada kehidupan seharian.

Library XChange Hub memperkasa komuniti melalui pembelajaran, kreativiti dan perkongsian ilmu

Pendekatan berkenaan diperkukuh lagi melalui kerangka Quadruple Helix, yang menggabungkan kepakaran universiti, industri, kerajaan dan komuniti dalam satu ekosistem kolaboratif. Sinergi antara empat komponen ini membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi.

Dalam konteks Library XChange Hub, setiap pihak memainkan peranan yang saling melengkapi. Universiti menyumbang kepakaran akademik, industri berkongsi pengalaman praktikal dan teknologi, kerajaan menyediakan sokongan dasar, manakala komuniti menjadi rakan strategik dalam mengenal pasti keperluan serta menilai keberkesanan sesuatu inisiatif.

Sejak dilancarkan oleh Naib Canselor UTM pada 17 Oktober 2025, Library XChange Hub menjadi platform aktif yang menghimpunkan pelbagai program berasaskan pembelajaran, pembangunan kapasiti dan penglibatan masyarakat.

Program yang dilaksanakan merangkumi forum ilmiah, sesi perkongsian kepakaran, bengkel pembangunan kemahiran, literasi maklumat dan digital, podcast ilmu, aktiviti kesukarelawanan serta pelbagai inisiatif Citizen Science.

Kepelbagaian program ini membuktikan bahawa perpustakaan mampu berfungsi sebagai pemangkin pembelajaran sepanjang hayat yang memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

Sesi perkongsian kepakaran di Library XChange Hub memperkukuh pemindahan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat

Lebih daripada sekadar penganjuran program, setiap aktiviti di Library XChange Hub dirancang bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang interaktif dan berorientasikan penyelesaian. Peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah berpeluang bertukar pandangan, membina jaringan profesional dan meneroka peluang kerjasama dengan pakar daripada pelbagai bidang.

Pendekatan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri, memperkukuh literasi digital serta membina budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan komuniti.

Sesi podcast di Library XChange Hub menjadi wadah perkongsian kepakaran, pertukaran idea dan penyebaran ilmu kepada masyarakat
Aktiviti di Library XChange Hub memperkasa komuniti menerusi pembelajaran interaktif, pemindahan kepakaran dan perkongsian kepakaran

Antara kekuatan utama Library XChange Hub ialah keupayaannya menterjemahkan ilmu kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat. Sebagai contoh, seorang peserta yang mengikuti program pembangunan kemahiran berjaya mengkomersialkan hasil kraf tangan yang dihasilkan dari rumah sehingga menjadi sumber pendapatan tambahan.

Kejayaan tersebut membuktikan bahawa pemindahan ilmu bukan sahaja memberikan nilai dari sudut akademik, malah berupaya meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti melalui pembangunan kemahiran, keusahawanan dan pemerkasaan individu.

Hasil kraftangan peserta program yang berjaya dikomersialkan sebagai sumber pendapatan tambahan

Selain itu, program yang memfokuskan literasi digital dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut membantu peserta menyesuaikan diri dengan perubahan dunia digital yang semakin pesat.

Melalui bengkel dan sesi perkongsian yang dianjurkan, peserta didedahkan kepada aplikasi teknologi dalam kehidupan seharian, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka memanfaatkan teknologi untuk pembelajaran, pekerjaan dan pembangunan ekonomi. Pendekatan ini turut menyokong agenda negara dalam memperkukuh masyarakat yang celik digital serta bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

Keberkesanan inisiatif tersebut turut diiktiraf menerusi penganugerahan Penarafan Lima Bintang Projek Komuniti oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) bagi program Kuasa AI di Hujung Jari: Transformasi Digital Komuniti Seri Semarak Melalui Bengkel Design Pintar pada 2025.

Pengiktirafan berkenaan mencerminkan keberkesanan pendekatan yang digunakan dalam menghasilkan impak sebenar kepada komuniti, di samping mengukuhkan kedudukan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sebagai peneraju program pemindahan ilmu berasaskan kolaborasi.

Pada masa yang sama, Library XChange Hub turut menyokong aspirasi UTM ASCEND 2030 yang menyasarkan usaha melahirkan dan memperkasa 300,000 learners melalui ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang inklusif, fleksibel dan berimpak tinggi.

Selaras dengan aspirasi tersebut, perpustakaan berperanan sebagai pemudah cara dalam memperluas akses kepada ilmu, kemahiran dan peluang pembelajaran merentasi sempadan kampus. Pendekatan ini membolehkan bukan sahaja warga universiti, malah komuniti, industri dan pelbagai agensi mendapat manfaat daripada kepakaran UTM melalui program yang terbuka, kolaboratif dan responsif terhadap keperluan semasa.

Inisiatif ini turut menyumbang kepada pencapaian beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 berkaitan Kesihatan dan Kesejahteraan, SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti, SDG 11 berkaitan Bandar dan Komuniti Mampan serta SDG 17 berkaitan Perkongsian untuk Matlamat.

Melangkah ke hadapan, Perpustakaan UTM komited untuk terus memperkasa Library XChange Hub sebagai platform yang menerajui amalan pemindahan ilmu, Citizen Science dan pembelajaran sepanjang hayat.

Lebih banyak kerjasama strategik bersama industri, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan organisasi masyarakat akan diteroka bagi memperluas impak kepada lebih ramai peserta serta menyokong hasrat UTM ASCEND 2030 untuk memperkasa 300,000 learners.

Di samping memperkukuh pembangunan kapasiti komuniti, inisiatif ini juga dijangka menjadi pemangkin kepada penghasilan penyelidikan berasaskan komuniti, inovasi sosial dan penyelesaian yang lebih lestari terhadap cabaran masyarakat.

Dalam jangka panjang, Library XChange Hub berpotensi menjadi model amalan terbaik bagi perpustakaan akademik di Malaysia dalam mentransformasikan fungsi perpustakaan daripada pusat penyediaan maklumat kepada hab kolaborasi yang menyatukan ilmu, kepakaran dan masyarakat.

Melalui budaya perkongsian ilmu yang inklusif, kolaborasi rentas sektor dan penglibatan aktif komuniti, Library XChange Hub membuktikan bahawa perpustakaan mampu memainkan peranan lebih besar sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosial, pembangunan komuniti dan kemajuan negara secara mampan.

Explore More

UTM Open Day