📝 Ringkasan
Program STEM Stars telah dilaksanakan di SK Bukit Tampoi (Asli) Dengkil dengan kerjasama UTM, UM, USM dan S P Setia Foundation. Program ini bertujuan memperkasa pendidikan STEM dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kategori B40. Program ini melibatkan 60 murid yang dibahagikan kepada sembilan kumpulan dan didedahkan kepada pendekatan pemikiran reka bentuk (Design Thinking) bagi mengenal pasti sesuatu permasalahan, menjana idea penyelesaian, membangunkan prototaip dan membentangkan hasil inovasi mereka.
DENGKIL, 29 Julai – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berjaya melaksanakan Program STEM AI @ SK Bukit Tampoi (Asli), Dengkil menerusi Program STEM Stars, sebuah inisiatif S P Setia Foundation dengan kerjasama Probino Solution, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kategori B40.

Program STEM Stars merupakan sebahagian daripada Setia Caring School Programme (SCSP) yang bertujuan memupuk minat, meningkatkan kefahaman dan membangunkan kompetensi murid dalam bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, aktiviti amali, pembelajaran berasaskan projek serta penyelesaian masalah dunia sebenar. Inisiatif ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, sekolah dan industri dalam melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.
Program di SK Bukit Tampoi (Asli) diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Ketua Projek merangkap Ketua Kumpulan Penyelidikan Vehicle Engineering Safety (VES), FAI UTM Kuala Lumpur. Beliau dibantu oleh lima orang STEM Experts, terdiri daripada pensyarah FAI, iaitu Dr. Mohamed Azlan Suhot, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Ts. Rafizah Musa, serta dua pensyarah Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), iaitu Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri dan Dr. Zatil Izzah Ahmad Tarmizi.

Turut menjayakan program ialah sembilan orang STEM Ambassadors daripada FAI, MJIIT dan UTM SPACE yang diketuai oleh Akif Firdous Nor Azlan. Mereka bertindak sebagai fasilitator yang membimbing murid sepanjang aktiviti pembelajaran, pembangunan projek inovasi dan pembentangan hasil projek. Selain itu, dua orang STEM Ambassadors turut mengendalikan dokumentasi multimedia bagi tujuan pelaporan dan hebahan rasmi program.

Program ini melibatkan seramai 60 murid Tahap 2 yang dibahagikan kepada sembilan kumpulan, melibatkan murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6. Setiap kumpulan dibimbing secara langsung oleh seorang STEM Ambassador dengan pemantauan daripada STEM Experts dan guru sekolah.
Sepanjang program berlangsung, murid didedahkan kepada pendekatan pemikiran reka bentuk (Design Thinking) bagi mengenal pasti sesuatu permasalahan, menjana idea penyelesaian, membangunkan prototaip menggunakan bahan yang mudah diperoleh serta membentangkan hasil inovasi mereka. Pendekatan pembelajaran berasaskan projek ini berjaya menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti, kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan dalam kalangan murid.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Guru Besar SK Bukit Tampoi (Asli), Hjh. Norlita Ramli. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Noresah Sapari, yang merakamkan penghargaan kepada S P Setia Foundation dan UTM Kuala Lumpur atas komitmen berterusan memperkasa pendidikan STEM serta membuka peluang kepada murid meneroka dunia inovasi dan teknologi melalui pengalaman pembelajaran yang interaktif.

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan FAI UTM Kuala Lumpur bersama S P Setia Foundation dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM menerusi kolaborasi strategik antara universiti, sekolah dan industri. Penglibatan pensyarah serta mahasiswa sebagai STEM Experts dan STEM Ambassadors bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran murid, malah menyemai minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan kecerdasan buatan sejak di bangku sekolah.
Melalui bimbingan berterusan sehingga pertandingan di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan, Program STEM Stars diharapkan dapat melahirkan lebih ramai murid yang kreatif, inovatif, berfikiran kritis dan berpotensi menjadi peneraju teknologi serta inovasi negara pada masa hadapan.
Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad dan Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur