KERAKED ’26 perkasa komuniti melalui kebun lestari dan pendidikan alam sekitar

SDGSDG4SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melengkapkan Program Kembara Razak ke Desa 2026 (KERAKED ’26) menerusi Fasa 3. Fasa ini melibatkan pemasangan sistem pengairan kebun komuniti di Kampung Parit Gantong bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air dan memastikan tanaman menerima bekalan air yang mencukupi. Aktiviti ini melibatkan pelajar UTM, pelajar antarabangsa dan penduduk setempat, dan menjadi platform memperkukuhkan hubungan antara mereka.

RENGIT, 24 Julai – Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melengkapkan pelaksanaan Program Kembara Razak ke Desa 2026 (KERAKED ’26) menerusi Fasa 3 yang memberi tumpuan kepada pembangunan Kebun Komuniti serta pelaksanaan Program Cilik Hijau: Eksplorasi Alam dan Kelestarian.

Menerusi pembangunan Kebun Komuniti, peserta melaksanakan pemasangan sistem pengairan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan secara sistematik ke kawasan tanaman. Aktiviti tersebut melibatkan kerjasama pelajar UTM, pelajar antarabangsa dan penduduk Kampung Parit Gantong dalam menyediakan laluan paip, menyambungkan sumber air serta menguji sistem bagi menyokong amalan pertanian yang lebih cekap dan lestari.

Pelajar UTM, pelajar antarabangsa dan penduduk Kampung Parit Gantong berganding bahu memasang sistem pengairan bagi Kebun Komuniti
Peserta menjalankan pengujian sistem pengairan bagi memastikan bekalan air disalurkan dengan lancar ke kawasan tanaman

Pelaksanaan projek ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai kepentingan sistem pengairan yang cekap dalam menyokong pertanian mampan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara pelajar tempatan, pelajar antarabangsa dan komuniti setempat. Semangat kerjasama serta budaya gotong-royong yang diterapkan sepanjang aktiviti turut menggalakkan perkongsian ilmu, pengalaman dan persefahaman antara semua peserta.

Dalam pada itu, Program Cilik Hijau: Eksplorasi Alam dan Kelestarian yang dilaksanakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Budi melibatkan penyertaan 37 murid Tahun 4 hingga Tahun 6. Program ini bertujuan memupuk kesedaran tentang pemeliharaan alam sekitar serta menyemai amalan lestari dalam kalangan murid sejak usia muda.

Sepanjang program berlangsung, murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dibimbing oleh pelajar UTM sebagai fasilitator menerusi pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif. Penglibatan pelajar antarabangsa turut memperkaya pengalaman peserta apabila mereka berpeluang berinteraksi dan mempelajari kepelbagaian budaya dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Pelajar UTM dan pelajar antarabangsa membimbing murid SK Setia Budi dalam aktiviti pembelajaran interaktif bertemakan kelestarian
Pelajar UTM, pelajar antarabangsa dan murid SK Setia Budi bergambar kenangan selepas menjayakan Program Cilik Hijau

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, murid menunjukkan penglibatan yang aktif dan positif sepanjang aktiviti dijalankan. Kaedah tersebut membantu mereka memahami konsep pemeliharaan alam sekitar dengan lebih berkesan melalui pengalaman secara langsung.

Majlis Penutupan KERAKED ’26 disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Global Education and Experience), Universiti Teknologi Malaysia International (UTMi), Prof. Madya ChM Dr. Norahim Ibrahim. Turut hadir Pengetua Kolej Tun Razak, barisan Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP), pelajar UTM, pelajar antarabangsa serta penduduk Kampung Parit Gantong.

Prof. Madya ChM Dr. Norahim Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan KERAKED ’26

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen sepanjang pelaksanaan program. Beliau turut menegaskan bahawa program khidmat masyarakat seperti KERAKED ’26 bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu, memperkukuh kemahiran insaniah dan menyemai semangat kesukarelawanan.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada Prof. Madya ChM Dr. Norahim Ibrahim dan wakil penduduk Kampung Parit Gantong sebagai tanda penghargaan atas sokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, KERAKED ’26 berjaya mencapai objektif dalam memperkasakan komuniti melalui pemindahan ilmu, pembangunan Kebun Komuniti dan penerapan amalan kelestarian alam sekitar. Inisiatif ini turut memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat, sekali gus mencerminkan komitmen UTM dalam melahirkan mahasiswa yang prihatin, berdaya saing dan berjiwa masyarakat melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.

 

 

Oleh Chan Lok Xuan dan Loong Xin Yue

Explore More

UTM Open Day