TANGKAK, 20 Julai – Seramai 37 pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sri Lanang menyertai Program Jelajah EcoSight (JeCO) 2026 Fasa 2 anjuran Kelab EcoSight, Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program yang dipimpin oleh Pengetua KDSE, Prof. Madya Dr. Nabilah Kasim, dengan bimbingan Penasihat Program, Ir. Ts. Dr. Josilva M. Muniandy, bertujuan memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di samping memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penerapan teknologi hidroponik pintar, Internet Kebendaan (IoT) dan tenaga boleh diperbaharui.
Program ini merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan JeCO Fasa 1 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak sekolah. Kesediaan SMK Tun Sri Lanang untuk terus menjadi rakan strategik dalam Fasa 2 membuktikan komitmen tinggi pihak pengurusan sekolah dalam menyokong usaha memperkasa pendidikan STEM serta melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, kreatif dan peka terhadap isu kelestarian.
Kerjasama berterusan ini turut mencerminkan keyakinan sekolah terhadap impak positif program yang dibawa oleh UTM dalam pembangunan pelajar.
Pelaksanaan JeCO 2026 Fasa 2 melibatkan 16 fasilitator dari KDSE yang terdiri daripada pelajar pelbagai peringkat pengajian serta dua alumni UTM. Penglibatan fasilitator daripada pelbagai latar belakang akademik membolehkan peserta mengikuti pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik melalui perkongsian ilmu, demonstrasi teknologi dan aktiviti berasaskan pembelajaran melalui pengalaman.
Inisiatif ini sekali gus mencerminkan komitmen UTM dalam memperkukuh agenda pemindahan ilmu, inovasi dan khidmat kepada komuniti.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, YB Nadhirah Afiqah Datuk Abdull Rahim, yang turut meluangkan masa meninjau perkembangan sekolah serta menyaksikan pelaksanaan aktiviti bersama para pelajar. Turut hadir ialah Pengetua SMK Tun Sri Lanang, Sariman Husin, dan Penasihat Sekretariat Anak Johor (SEJATI) UTM, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim.


Bagi menilai keberkesanan penyampaian modul, peserta menjalani penilaian pra dan pasca program. Instrumen ini digunakan bagi mengukur tahap kefahaman pelajar sebelum dan selepas mengikuti program, khususnya berkaitan konsep asas hidroponik, aplikasi IoT dalam pertanian pintar, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta kepentingan amalan kelestarian alam sekitar.
Pendekatan ini membolehkan pihak penganjur menilai impak program secara lebih sistematik, di samping mengenal pasti peningkatan pengetahuan dan kefahaman yang dicapai oleh peserta sepanjang program berlangsung.

Selain sesi penerangan dan demonstrasi, para pelajar turut menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang dirangka berasaskan konsep pembelajaran aktif. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada peserta bekerjasama dalam kumpulan, menyelesaikan cabaran yang diberikan serta menghasilkan idea penyelesaian secara kreatif.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan penglibatan pelajar sepanjang program, malah mengasah kreativiti, kemahiran komunikasi, kebolehan menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis yang merupakan antara kompetensi penting dalam pendidikan abad ke-21.


Sepanjang program, para peserta menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi melalui penglibatan aktif dalam sesi soal jawab, demonstrasi sistem hidroponik pintar serta aktiviti berkumpulan. Suasana pembelajaran yang interaktif memberikan pengalaman baharu kepada pelajar untuk memahami bagaimana teknologi moden dapat dimanfaatkan dalam sektor pertanian dan pengurusan sumber secara lestari.
Pendedahan ini diharap dapat meningkatkan kesedaran bahawa STEM bukan sekadar pembelajaran di dalam bilik darjah, malah mempunyai aplikasi yang luas dalam kehidupan seharian serta pembangunan negara.
Penganjuran JeCO 2026 Fasa 2 turut memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan komuniti sekolah melalui perkongsian kepakaran serta pelaksanaan program berimpak tinggi. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UTM untuk menjadi universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat menerusi pemindahan ilmu dan teknologi.
Kolej Datin Seri Endon berharap jalinan kerjasama yang terjalin bersama SMK Tun Sri Lanang dapat diteruskan dan diperkukuh pada masa hadapan melalui pelaksanaan lebih banyak program berasaskan STEM, inovasi dan kelestarian. Selain itu, KDSE berhasrat memperluaskan pelaksanaan Program Jelajah EcoSight ke lebih banyak sekolah di seluruh negara agar manfaat ilmu, teknologi dan inovasi yang dibangunkan di universiti dapat dikongsi secara lebih meluas dengan komuniti.
Usaha ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang berminat dalam bidang STEM, berfikiran kritis, kreatif serta memiliki kesedaran tinggi terhadap kepentingan pembangunan mampan demi kesejahteraan generasi akan datang.