📝 Ringkasan
UTM telah melancarkan Program Karisma Komuniti Zon Selatan 2026 dan mengangkat Kampung Pendas Baru sebagai Kampung Angkat Madani UTM. Program ini bertujuan membawa kepakaran akademik ke masyarakat dan meningkatkan keperluan asas serta prasarana desa. Program ini akan dilaksanakan secara berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, dan Jabatan Kemajuan Masyarakat.
GELANG PATAH, 4 Julai – Dalam usaha membawa kepakaran dari universiti terus kepada masyarakat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan Program Karisma Komuniti Zon Selatan 2026, sekali gus mengangkat Kampung Pendas Baru di sini sebagai Kampung Angkat Madani UTM bagi tahun ini.
Inisiatif bersepadu ini bukan sekadar program kemasyarakatan biasa, malah ia merupakan platform strategik yang menterjemahkan kepakaran akademik kepada impak sosial dan ekonomi yang nyata, selaras dengan agenda merakyatkan atau “Memasyarakatkan Pendidikan Tinggi”.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyifatkan inisiatif ini sebagai pemangkin kepada transformasi sosioekonomi yang mampan di Kampung Pendas Baru.
Ketika menyempurnakan Majlis Penutup Program Karisma Komuniti Zon Selatan 2026 dan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani UTM hari ini, beliau menegaskan komitmen UTM untuk terus menggembleng sumber dan kepakaran bagi memacu pembangunan modal insan yang holistik.

Menurut beliau, usaha bersepadu ini menjadi bukti nyata bahawa sinergi antara universiti dan komuniti mampu melahirkan masyarakat desa yang berdaya saing, mandiri, dan celik teknologi.

Program yang diperkenalkan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) ini mengaplikasikan pendekatan menyeluruh kerajaan (Whole of Government) dan kepimpinan berasaskan pengalaman (experiential leadership) bagi memastikan peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa relevan dalam memacu transformasi masyarakat.
Bagi memastikan pelaksanaannya berkesan, inisiatif ini digerakkan secara berkolaborasi UTM menerusi Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), bersama-sama Jawatankuasa Penduduk Kampung (JKK) Kampung Ladang dan warga Kampung Pendas Baru.

Bagi menyokong aspirasi UTM ASCEND 2030 di bawah aspek kemanusiaan dan kesejahteraan, pelaksanaan inisiatif ini digerakkan di bawah Teras 3 – Kampung Angkat Madani 2026 yang bermatlamat membantu meningkatkan keperluan asas serta prasarana desa.
Program ini padat dengan pelbagai pengisian menarik di bawah agenda “Empower Academic” seperti penganjuran Karnival Cakna Ilmu (STEM) dan Eksplorasi Potensi bagi merangsang minda penduduk. Pemerkasaan golongan belia turut diberikan tumpuan khusus menerusi inisiatif kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).


Selain itu, program pemeliharaan estetika desa seperti Kembara Kelestarian turut dilaksanakan, di samping pengisian aktiviti yang merapatkan ukhuwah komuniti seperti sukan rakyat dan Cabaran Explorace.
Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh wakil rasmi Ketua WHIP Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Tuan Haji Mohamad Muzaffar Haji Rail dan Timbalan Pengarah AKEPT, Prof. Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzzaman, berserta barisan pengurusan tertinggi UTM.