JK Lestari jayakan Misi Insan Madani, santuni Rumah Kebajikan OKU Ahsana Fasa 1

SDGSDG8SDG10SDG17

📝 Ringkasan

Jawatankuasa Hijau Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah melaksanakan Fasa 1 Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) di Rumah Kebajikan OKU Ahsana. Program ini melibatkan kempen bantuan bahan asas dan makanan yang berjaya mengumpulkan sumbangan bernilai RM1,500. Sumbangan ini akan membantu meringankan beban pengurusan dan memenuhi keperluan harian penghuni rumah kebajikan.

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Jawatankuasa (JK) Hijau Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) (PTNCPI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berjaya melaksanakan Fasa 1 Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR), Program Jalinan Kasih Lestari: Misi Insan Madani, di Rumah Kebajikan OKU Ahsana, Taman Puchong Indah.

Program komprehensif ini dirangka dalam dua fasa. Fasa pertama yang berlangsung dari 1 hingga 8 Julai 2026 memberi tumpuan kepada Kempen Bantuan Bahan Asas dan Makanan, manakala Fasa 2 yang dijadualkan pada awal Ogos akan melibatkan aktiviti khidmat masyarakat yang memfokuskan aspek keceriaan dan kesejahteraan fizikal premis rumah kebajikan berkenaan.

Majlis penyerahan sumbangan bagi Fasa 1 telah diadakan pada 8 Julai 2026 dan dihadiri oleh Pengarah Pentadbiran PTNCPI, Prof. Ir. Dr. Mohd Ali Mohamed Yuzir; Pengurus Seksyen Strategi & Hubungan Luar, Ts. Mohd Hazri Ishak; wakil Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), Nur Syazwani Mohd Nasarodin; serta enam ahli Jawatankuasa Hijau yang lain. Sumbangan tersebut diterima oleh Pengurus Rumah Kebajikan OKU Ahsana, Fiza, untuk dimanfaatkan oleh 14 penghuni rumah kebajikan itu.

Delegasi UTM beramah mesra serta bertukar pandangan dengan pihak pengurusan dan penghuni Rumah Kebajikan OKU Ahsana
Pengarah Pentadbiran PTNCPI, Prof. Ir. Dr. Mohd Ali Mohamed Yuzir (kanan), menyampaikan sumbangan secara simbolik kepada Pengurus Rumah Kebajikan OKU Ahsana, Fiza
Proses pengagihan barangan sumbangan kepada Rumah Kebajikan OKU Ahsana

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mohd Fadely Abdul Mubin, diikuti ucapan aluan daripada Prof. Ir. Dr. Mohd Ali Mohamed Yuzir dan Fiza. Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan secara simbolik sebelum diakhiri dengan sesi bergambar serta perbincangan awal antara Jawatankuasa Hijau dan pihak pengurusan Rumah Kebajikan OKU Ahsana bagi memperincikan pelaksanaan Fasa 2.

Di bawah kepimpinan Norlaili Abdul Jalal selaku Ketua Program merangkap Green Manager PTNCPI UTM Kuala Lumpur, kempen pengumpulan sumbangan telah dilaksanakan dalam kalangan warga PTNCPI bermula 1 hingga 6 Julai 2026.

Hasil keprihatinan warga kerja, sumbangan bernilai kira-kira RM1,500 berjaya dikumpulkan dalam bentuk barangan (in-kind). Antara sumbangan yang diserahkan adalah keperluan makanan asas seperti beras, minyak masak dan makanan kering, selain barangan kebersihan diri, pakaian, bantal, alat tulis, lampin dewasa, tisu dapur serta pelbagai keperluan harian lain.

Kejayaan program ini turut disokong oleh Pentadbiran PTNCPI UTM Kuala Lumpur dan Pentadbiran PPMU Kuala Lumpur.

Prof. Ir. Dr. Mohd Ali berkata Program Jalinan Kasih Lestari bukan sekadar aktiviti bermusim, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam mendekatkan universiti dengan masyarakat.

“Melalui Misi Insan Madani, warga PTNCPI menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 10 yang menekankan usaha mengurangkan ketidaksamaan. Sokongan pelbagai pihak, termasuk PPMU, membuktikan semangat kerjasama yang kukuh dalam menjayakan agenda kelestarian sosial universiti,” katanya.

Sementara itu, Norlaili Abdul Jalal berkata sambutan warga PTNCPI terhadap Fasa 1 program ini amat memberangsangkan apabila ramai tampil menyumbang dalam pelbagai bentuk keperluan.

“Alhamdulillah, keikhlasan warga PTNCPI membolehkan kami menyalurkan bantuan kepada 14 penghuni Rumah Kebajikan OKU Ahsana. Kejayaan mengumpulkan sumbangan bernilai RM1,500 membuktikan budaya kemanusiaan dan kelestarian semakin subur dalam kalangan warga PTNCPI. Kami juga amat menghargai sokongan penuh pihak pentadbiran dalam merealisasikan inisiatif ini,” katanya.

Barisan urus setia dan sukarelawan PTNCPI UTM bergambar bersama sebahagian daripada barangan sumbangan sebelum sesi pengagihan
Antara barangan keperluan harian yang berjaya dikumpulkan hasil sumbangan warga PTNCPI UTM Kuala Lumpur

Program ini memberi impak segera kepada Rumah Kebajikan OKU Ahsana dengan membantu meringankan beban pengurusan dan memenuhi keperluan harian penghuninya. Pada masa sama, inisiatif ini memperkukuh semangat kerjasama, kesukarelawanan dan empati dalam kalangan warga PTNCPI UTM Kuala Lumpur, sekali gus memperlihatkan peranan universiti sebagai pemangkin perubahan sosial yang inklusif.

PTNCPI UTM Kuala Lumpur berharap hubungan yang terjalin menerusi Program Jalinan Kasih Lestari akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan Fasa 2 dan pelbagai lagi inisiatif USR berteraskan kelestarian pada masa hadapan. Usaha berterusan ini diharapkan dapat memberikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada penghuni Rumah Kebajikan OKU Ahsana, di samping memperkukuh budaya kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti.

Explore More

UTM Open Day