📝 Ringkasan
Fenomena FOMO (Fear of Missing Out) telah menjadi ancaman terhadap kesihatan mental generasi Z. FOMO merujuk kepada perasaan takut, bimbang atau gelisah kerana merasakan diri ketinggalan daripada sesuatu pengalaman, aktiviti atau peluang yang dianggap lebih menarik dan bermakna. Penggunaan media sosial yang berlebihan dan membandingkan diri dengan orang lain secara tidak realistik boleh menyebabkan individu berasa tidak mencukupi, kurang berjaya atau tertinggal. Jika tidak dikawal, FOMO boleh memberi pelbagai kesan negatif seperti cemas, resah, tidak berpuas hati dengan kehidupan sendiri dan mengganggu fokus dan produktiviti.
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial telah mengubah cara generasi muda berinteraksi, berkongsi pengalaman dan melihat dunia di sekeliling mereka. Dalam usaha untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini, ramai pengguna khususnya Generasi Z menghabiskan masa yang panjang di pelbagai platform media sosial. Namun, kecenderungan untuk sentiasa mengetahui apa yang dilakukan oleh orang lain telah melahirkan satu fenomena yang dikenali sebagai Fear of Missing Out (FOMO).
Istilah FOMO telah diperkenalkan oleh Patrick J. McGinnis, seorang penulis, pelabur dan alumni universiti terkemuka, Harvard Business School (HBS), Amerika Syarikat sekitar tahun 2004 apabila beliau menulis sebuah artikel tentang fenomena FOMO dalam konteks kehidupan sosial pelajar di HBS.
Fenomena FOMO ini merujuk kepada perasaan takut, bimbang atau gelisah kerana merasakan diri ketinggalan daripada sesuatu pengalaman, aktiviti atau peluang yang dianggap lebih menarik dan bermakna. Walaupun sering dianggap sebagai perkara biasa, FOMO sebenarnya berpotensi memberi kesan kepada kesihatan mental sekiranya tidak diurus dengan baik.
Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Mahfar dari Jabatan Pengajian Pendidikan dan Sains Tingkah Laku, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), FOMO berlaku apabila seseorang merasakan bahawa orang lain sedang menikmati kehidupan yang lebih menarik, lebih berjaya atau lebih bermakna berbanding dirinya. Keadaan ini sering dipengaruhi oleh penggunaan media sosial yang memaparkan pelbagai pencapaian, aktiviti dan gaya hidup yang kelihatan sempurna.
“FOMO bukan sekadar keinginan untuk mengetahui apa yang berlaku di sekeliling, tetapi melibatkan kebimbangan bahawa seseorang sedang terlepas sesuatu yang penting atau lebih baik daripada apa yang sedang dialaminya,” jelas beliau.
Fenomena ini semakin ketara dalam kalangan anak muda kerana mereka merupakan pengguna aktif media sosial seperti Instagram, TikTok dan Threads. Pendedahan berterusan kepada kandungan yang dipilih dan dikongsi oleh pengguna lain boleh menyebabkan individu membandingkan kehidupan mereka dengan kehidupan orang lain secara tidak realistik. Akibatnya, mereka mudah berasa tidak mencukupi, kurang berjaya atau tertinggal berbanding rakan sebaya.
Dari sudut kesihatan mental, FOMO boleh memberi pelbagai kesan negatif sekiranya tidak dikawal dengan baik. Individu yang mengalaminya sering berasa cemas, resah dan tidak berpuas hati dengan kehidupan sendiri. Mereka juga lebih cenderung untuk sentiasa memeriksa telefon atau media sosial secara berulang kali kerana bimbang terlepas maklumat, mesej atau perkembangan terkini.
Selain itu, FOMO juga boleh mengganggu fokus dan produktiviti seseorang. Ada individu yang sukar memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugasan akademik atau pekerjaan kerana terlalu kerap menyemak media sosial. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh menjejaskan prestasi harian, hubungan sosial dan kesejahteraan emosi.
Menurut Dr. Mastura, tanda-tanda FOMO boleh dikenal pasti melalui aspek emosi, pemikiran dan tingkah laku seseorang. Antaranya termasuk perasaan gelisah apabila tidak dapat mengakses telefon atau Internet, kecenderungan membandingkan diri dengan orang lain secara berlebihan serta tabiat membuka aplikasi media sosial berulang kali tanpa tujuan yang jelas.
“FOMO mula menjadi memudaratkan apabila ia mula mengganggu kesihatan, fokus, hubungan dan tanggungjawab harian seseorang,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa individu yang mengalami FOMO secara berlebihan juga berisiko mengalami masalah tidur, keletihan emosi, kebimbangan yang berpanjangan serta kesukaran menikmati kehidupan sebenar di sekeliling mereka.
Bagi menangani isu ini, pendekatan yang menyeluruh perlu melibatkan individu, keluarga dan institusi pendidikan. Dari sudut individu, golongan muda perlu lebih sedar tentang corak penggunaan media sosial mereka dan belajar mengawal masa yang dihabiskan di platform digital. Penggunaan fungsi seperti screen timeout, had penggunaan aplikasi dan penapisan kandungan yang memberi kesan negatif boleh membantu mengurangkan tekanan yang berpunca daripada FOMO.
Keluarga pula memainkan peranan penting sebagai sistem sokongan yang sihat dalam membantu golongan muda mengurus cabaran penggunaan media sosial. Ibu bapa dan penjaga perlu menunjukkan contoh yang baik dalam konteks penggunaan teknologi yang seimbang serta mewujudkan ruang komunikasi yang terbuka supaya anak-anak berasa selesa untuk berkongsi cabaran, kebimbangan dan tekanan yang dihadapi tanpa rasa takut untuk dihakimi. Di samping itu, sokongan emosi daripada ahli keluarga dapat membantu mereka membina keyakinan diri, mengurangkan kecenderungan untuk membuat perbandingan sosial yang berlebihan serta memahami bahawa apa yang dipaparkan di media sosial tidak semestinya menggambarkan realiti kehidupan sebenar. Persekitaran keluarga yang positif dan saling menyokong juga mampu menjadi benteng penting dalam memupuk kesejahteraan mental serta penggunaan media sosial yang lebih sihat dan bertanggungjawab.
Institusi pendidikan juga mempunyai tanggungjawab dalam meningkatkan literasi digital dan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan pelajar. Program berkaitan penggunaan media sosial secara sihat, pengurusan emosi dan kesejahteraan diri perlu diperkasakan agar golongan muda lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital.
“Yang penting bukanlah berhenti menggunakan media sosial sepenuhnya, tetapi membina hubungan yang lebih seimbang, sejahtera dan sihat dengannya,” ujar Dr. Mastura.
Kesimpulannya, FOMO merupakan cabaran moden yang semakin mempengaruhi kesejahteraan mental Generasi Z. Walaupun media sosial menawarkan pelbagai manfaat, penggunaannya perlu diurus secara bijak agar tidak menjejaskan kesihatan mental, hubungan sosial dan kualiti hidup. Melalui kesedaran yang tinggi serta sokongan daripada keluarga dan institusi pendidikan, fenomena ini dapat ditangani dengan lebih berkesan demi melahirkan generasi muda yang lebih seimbang, matang dan berdaya tahan.