“Fabric: Waste to Value” semai kesedaran kelestarian dalam kalangan murid SJKT Kangkar Pulai

SDGSDG12SDG13SDG14

📝 Ringkasan

Program “Fabric: Waste to Value” diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kangkar Pulai untuk meningkatkan kesedaran tentang pengurusan sisa fabrik dan amalan kelestarian alam sekitar. Program ini melibatkan penyertaan semua murid dan warga sekolah dan bertujuan memupuk kesedaran kelestarian alam sekitar melalui amalan kitar semula fabrik dan menggalakkan budaya perkongsian.

KANGKAR PULAI, 7 Jul – Kraf Hibiscus, hasil kolaborasi antara Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Hibiscus, Taman Pulai Indah dan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan perkongsian ilmu bersama komuniti setempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kangkar Pulai. Program anjuran Panitia Sains dengan kerjasama Unit Kelestarian sekolah ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pengurusan sisa fabrik dan amalan kelestarian alam sekitar dalam kalangan murid serta warga sekolah.

Wakil Kraf Hibiscus bersama warga sekolah semasa program berlangsung

Program yang berlangsung di Dewan Valluvar SJKT Kangkar Pulai itu melibatkan penyertaan semua murid dan warga sekolah serta dianjurkan oleh Panitia Sains dengan kerjasama Unit Kelestarian sekolah.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan, bacaan doa dan ucapan perasmian oleh Guru Besar SJKT Kangkar Pulai, Encik Mayachandran Subramaniam. Seterusnya, peserta mengikuti slot ceramah bertajuk Fabric: Waste to Value yang disampaikan oleh Dr. Norfhairna Baharulrazi dari UTM, yang menekankan kepentingan mengurus sisa fabrik secara bertanggungjawab serta potensi memberikan nilai baharu kepada barangan terpakai.

Dr. Norfhairna Baharulrazi menyampaikan ceramah bertajuk Fabric: Waste to Value

Program ini bertujuan memupuk kesedaran kelestarian alam sekitar melalui amalan kitar semula fabrik, menggalakkan budaya perkongsian menerusi konsep “Kongsi Satu, Ambil Satu”, serta mengurangkan sisa pepejal dengan mengoptimumkan penggunaan semula barangan yang masih berada dalam keadaan baik.

Sebelum program berlangsung, murid dan guru telah mengumpulkan pelbagai barangan terpakai (preloved) seperti pakaian, beg, alat tulis dan permainan lembut. Setiap sumbangan diberikan kupon ganjaran yang kemudiannya boleh ditebus semasa aktiviti interaktif “Kongsi Satu, Ambil Satu”. Aktiviti ini telah dikendalikan oleh barisan fasilitator daripada UTM dan Kraf Hibiscus, iaitu Dr. Siti Hajjar Che Man, Puan Norezdiani Mohd Nor dan Puan Zalina Salleh. Melalui aktiviti ini, peserta berpeluang memilih dan membawa pulang satu barangan pilihan mereka menggunakan kupon yang diterima.  Pendekatan ini memupuk amalan kitar semula dan sikap prihatin terhadap alam sekitar.  Pameran kraf daripada fabrik terpakai turut menarik minat serta membuka minda pelajar bahawa sisa fabrik boleh diberikan nafas baharu menjadi produk kraf yang bernilai dan menjana pendapatan.

Aktiviti “Kongsi Satu, Ambil Satu”
Aktiviti “Kongsi Satu, Ambil Satu”

Program ini memberi kefahaman praktikal kepada murid bahawa barangan lama tidak semestinya dibuang, sebaliknya boleh digunakan semula atau dikongsi dengan individu lain yang memerlukan. Selain itu, penglibatan aktif komuniti sekolah turut membantu mengurangkan lambakan sisa rumah melalui amalan kitar semula pakaian, buku dan pelbagai aksesori secara sistematik.

Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan bagi memupuk nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dan mengukuhkan budaya kelestarian dalam komuniti.

Sesi bergambar selepas pelaksanaan Program Fabric: Waste to Value di SJKT Kangkar Pulai

Explore More

UTM Open Day