📝 Ringkasan
Program Diplomat Minda Madani diadakan di UTM Kuala Lumpur bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mahasiswa tentang isu geopolitik Asia Barat. Program ini bertujuan memperkukuh semangat patriotisme dan tanggungjawab belia dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan negara. Para peserta mendengar ceramah kenegaraan dan sesi utama yang membincangkan konflik Asia Barat dan peranan belia dalam memelihara keselamatan negara. Program ini diharapkan dapat meningkatkan literasi geopolitik dan membentuk jati diri mahasiswa sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur menerusi sinergi bersama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan Program Diplomat Minda Madani: Konflik Asia Barat dan Peranan Belia Kepada Negara di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur.
Program yang menghimpunkan lebih 150 pelajar dan staf UTM Kuala Lumpur itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta pemahaman mengenai isu geopolitik Asia Barat, di samping memperkukuh semangat patriotisme dan tanggungjawab belia dalam memelihara keselamatan serta kesejahteraan negara.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Ahmad, yang menekankan kepentingan mahasiswa memahami perkembangan geopolitik dunia serta implikasinya terhadap kestabilan serantau dan negara.
Beliau turut mengingatkan bahawa golongan belia merupakan aset penting negara yang perlu diperkasa dengan ilmu, nilai kepimpinan dan semangat cintakan tanah air agar mampu menjadi ejen perubahan yang positif dalam masyarakat.

Program diteruskan dengan ucapan oleh Pengarah Keselamatan Negeri, MKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Shukri Nawi, yang menjelaskan peranan MKN dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara. Beliau turut menegaskan bahawa ancaman keselamatan masa kini bukan sahaja melibatkan aspek ketenteraan, malah merangkumi penyebaran maklumat palsu, ekstremisme, serangan siber serta konflik geopolitik yang berpotensi menjejaskan keamanan dan perpaduan negara.


Seterusnya, para peserta mengikuti ceramah kenegaraan yang disampaikan oleh wakil Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), sebelum menghadiri sesi utama bertajuk “Diplomat Minda Madani: Konflik Asia Barat dan Peranan Belia Kepada Negara” yang disampaikan oleh Dr. Nor Aishah Hanifa, Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Dalam pembentangannya, beliau menghuraikan latar belakang konflik Asia Barat secara objektif, cabaran masyarakat antarabangsa dalam mencari penyelesaian damai serta kepentingan diplomasi sebagai pendekatan utama bagi mengelakkan konflik berpanjangan. Beliau turut menggalakkan mahasiswa mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, mengamalkan pemikiran kritis serta tidak mudah dipengaruhi propaganda atau penyebaran maklumat yang tidak disahkan.
Sesi soal jawab yang berlangsung selepas ceramah mendapat sambutan menggalakkan apabila para peserta mengemukakan pelbagai pandangan dan persoalan berkaitan peranan belia, dasar luar negara, keselamatan serantau serta tanggungjawab masyarakat dalam mendepani cabaran global.
Perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan ilmiah itu membuka ruang kepada peserta memahami isu geopolitik daripada pelbagai perspektif, sekali gus memperkaya pengetahuan mereka mengenai hubungan antarabangsa.

Sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur menyampaikan cenderamata kepada penceramah sebelum majlis diakhiri dengan sesi fotografi. Program ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam memperkukuh kesedaran sivik, semangat kenegaraan dan budaya intelektual dalam kalangan warga universiti.
Melalui pendedahan terhadap isu-isu global semasa, mahasiswa bukan sahaja dapat meningkatkan literasi geopolitik, malah membentuk jati diri sebagai warganegara yang bertanggungjawab, berfikiran matang serta bersedia menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemajuan negara pada masa hadapan.
