📝 Ringkasan
Majlis Bersama Naib Canselor edisi Julai 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menekankan pentingnya adab dan kebijaksanaan dalam mencapai kecemerlangan institusi. Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyatakan bahawa prinsip “Adab didahulukan sebelum ilmu” perlu menjadi pegangan seluruh warga universiti. Beliau menjelaskan bahawa adab bukan sekadar tatasusila, tetapi merupakan falsafah meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan tepat yang lahir daripada disiplin diri serta ilmu bersumberkan hikmah.
JOHOR BAHRU, 15 Julai – Penganjuran Majlis Bersama Naib Canselor edisi Julai 2026 menjadi platform penting bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh kecemerlangan institusi dengan mengangkat nilai adab dan kebijaksanaan sebagai teras utama budaya kerja.
Majlis bertemakan “Adab dan Kebijaksanaan” yang berlangsung di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, di sini, diadakan secara hibrid menyaksikan penyertaan seramai 1,855 warga universiti terdiri daripada staf akademik serta Kumpulan Pengurusan Profesional dan Pelaksana (PPP).
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, prinsip “Adab didahulukan sebelum ilmu” perlu menjadi pegangan seluruh warga universiti kerana ia membentuk identiti, keperibadian, dan jati diri seorang ilmuwan. Beliau menjelaskan, adab bukan sekadar tatasusila, sebaliknya merupakan falsafah meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan tepat yang lahir daripada disiplin diri serta ilmu bersumberkan hikmah.

“Adab merangkumi tiga elemen penting yang perlu ada dalam diri setiap warga universiti, iaitu ketertiban budi, keluhuran dan keutamaan,” katanya.
Menurut beliau, ketertiban budi merujuk kepada disiplin dalam tingkah laku dan pekerti, manakala keluhuran mencerminkan kemuliaan hati serta keikhlasan niat dalam setiap tindakan. Sementara itu, keutamaan pula menuntut kebijaksanaan dalam menentukan perkara yang paling penting demi kemajuan organisasi dan kehidupan.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh cabaran pengurusan yang sering berdepan dengan perbezaan pandangan. Menurutnya, adab berperanan sebagai penyelesaian terbaik dengan menyantuni perbezaan perspektif berlandaskan ilmu dan keluhuran budi, bukannya menajamkan perselisihan. Beliau turut mengingatkan agar warga universiti sentiasa memohon petunjuk apabila berdepan kebuntuan dalam membuat keputusan, di samping mendahulukan muhasabah diri sebelum menilai orang lain.
“Bagi seorang sarjana atau pensyarah, adab dalam ilmu bermaksud setiap ciptaan atau inovasi mestilah berteraskan ketertiban dan keluhuran ilmu, dengan matlamat akhirnya untuk memberi manfaat serta menyelamatkan kehidupan manusia,” katanya.
Menurutnya lagi, ilmu yang dibangunkan juga perlu bersifat inklusif, benar dan bermakna sehingga mampu menerangi jiwa manusia. Dalam masa yang sama, warga akademik perlu terus meneroka ilmu baharu melalui pembacaan, penyelidikan dan perkongsian ilmu bersama masyarakat, industri serta komuniti.
Mengulas mengenai kepimpinan, beliau menjelaskan bahawa nilai adab perlu diterapkan di setiap peringkat universiti.
“Pemimpin yang beradab ialah individu yang mampu memahami pelbagai perspektif, menetapkan keutamaan secara bijaksana serta memastikan keseluruhan ekosistem universiti menyokong pembangunan ilmu demi kesejahteraan manusia,” jelas beliau.
Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry turut menyeru seluruh warga universiti agar terus menghayati semangat “Helang” sebagai simbol kepimpinan yang berwawasan, berintegriti dan berpandukan ilmu selain menjadikan kebersihan persekitaran sebagai sebahagian daripada budaya kerja cemerlang yang mencerminkan imej universiti.
Majlis turut menyaksikan beberapa penyerahan simbolik yang mencerminkan komitmen UTM dalam memperkukuh kecemerlangan institusi. Antaranya ialah pelancaran Buku Naib Canselor 2026 bertajuk Perubahan Struktural Memacu Kecemerlangan Universiti, yang mendokumentasikan pemikiran strategik, analisis serta hala tuju perubahan universiti sebagai asas pelaksanaan agenda UTM ASCEND 2030. Penerbitan buku tersebut memperlihatkan bagaimana perubahan struktur mampu menjadi pemacu kepada kecemerlangan institusi secara menyeluruh.

Selain itu, UTM turut melancarkan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LPPT) V3.0 bagi staf akademik. Versi terbaharu itu dibangunkan agar lebih fleksibel, dinamik dan holistik, selaras dengan pelaksanaan MyPERFORMANCE serta Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). LPPT V3.0 menggabungkan penilaian berdasarkan sasaran kerja utama, kompetensi fungsian, kompetensi tingkah laku, nilai sepunya berteraskan adab, penglibatan dan sumbangan serta pembangunan profesional berterusan (CPD) bagi memperkasa pembangunan bakat akademik dan membudayakan kecemerlangan secara mampan.

Majlis turut menyaksikan penyerahan Cek Cura Royalti dan Yuran Pelesenan Teknologi bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2026 berjumlah RM216,247.93 daripada Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) kepada universiti. Penyerahan tersebut membuktikan komitmen syarikat hiliran dan rakan industri dalam memperkukuh ekosistem pengkomersialan harta intelek serta memacu kecemerlangan inovasi UTM.
Sepanjang tempoh 2025 hingga 2026, sebanyak 62 teknologi yang dikomersialkan melalui syarikat hiliran UTM telah merekodkan hasil jualan berjumlah RM8.64 juta, di samping mewujudkan 228 peluang pekerjaan. Komitmen syarikat hiliran terhadap pembangunan universiti turut dizahirkan menerusi sumbangan dana endowmen sebanyak RM108,250 serta pembiayaan geran penyelidikan bernilai RM192,000.

Penganjuran Majlis Bersama Naib Canselor edisi Julai 2026 memperlihatkan iltizam berterusan UTM dalam membudayakan adab dan kebijaksanaan sebagai asas kepimpinan serta kecemerlangan institusi. Pendekatan ini diyakini akan terus memperkukuh agenda transformasi universiti ke arah merealisasikan aspirasi UTM ASCEND 2030 dan memperkasa peranan universiti sebagai peneraju ilmu, inovasi dan pembangunan masyarakat.