100 murid Pontian teroka teknologi digital, IoT dan AI melalui BoB 2026

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Seramai 100 murid Tahun 4 dan 5 dari 25 sekolah rendah di Pontian menyertai Program Byte of Brilliance (BoB) 2026 yang berlangsung selama dua hari. Program tersebut bertujuan memperluas pendedahan murid terhadap teknologi digital, pemikiran reka bentuk dan inovasi berasaskan kejuruteraan. Murid dibimbing untuk mengenal pasti permasalahan, menjana idea penyelesaian dan menterjemahkan idea tersebut melalui aktiviti praktikal menggunakan Micro:bit.

PONTIAN, 23 Jul. – Seramai 100 murid Tahun 4 dan Tahun 5 daripada 25 sekolah rendah di daerah Pontian menyertai Program Byte of Brilliance (BoB) 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 22 hingga 23 Julai 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Pontian.

Program tersebut merupakan kolaborasi antara Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian, Persatuan Komunikasi (ComSoc) Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE), Institut Kejuruteraan dan Teknologi Kampus UTM (UTM IET On Campus) serta Persatuan Fotonik IEEE (IEEE PS) Cawangan Pelajar dalam usaha memperluas pendedahan murid sekolah rendah terhadap teknologi digital, pemikiran reka bentuk dan inovasi berasaskan kejuruteraan.

BoB 2026 merupakan kesinambungan pembelajaran yang diperkenalkan menerusi pelaksanaan BoB pada tahun 2025, khususnya melalui aktiviti penjanaan idea dan pengaturcaraan menggunakan Micro:bit. Bagi memperkukuh kandungan program pada tahun ini, modul berkenaan ditambah baik dengan pengenalan kepada elemen Internet Kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) bagi memberikan pendedahan awal kepada murid berkaitan perkembangan teknologi semasa.

Sepanjang program, murid dibimbing untuk mengenal pasti permasalahan, menjana idea penyelesaian dan seterusnya menterjemahkan idea tersebut melalui aktiviti praktikal menggunakan Micro:bit. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta menggabungkan kreativiti, pemikiran penyelesaian masalah dan kemahiran digital dalam suasana pembelajaran yang interaktif serta berasaskan projek.

Program BoB 2026 memberi pendedahan kepada murid sekolah rendah terhadap teknologi digital, pemikiran reka bentuk dan inovasi berasaskan kejuruteraan.

Keistimewaan pelaksanaan BoB 2026 turut terserlah melalui penglibatan guru yang telah mengikuti Program Brilliant Educators sebagai fasilitator kepada murid. Pendekatan ini menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh proses pemindahan ilmu apabila guru yang menerima latihan sebelum ini berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh secara langsung dalam membimbing aktiviti murid.

Peserta menjalani aktiviti praktikal menggunakan Micro:bit sepanjang program

Secara keseluruhannya, seramai 167 orang terlibat dalam pelaksanaan program ini, termasuk guru fasilitator, 30 orang staf dan pelajar UTM serta empat orang wakil PPD Pontian yang terlibat dalam penyelarasan aktiviti, sokongan teknikal dan bimbingan sepanjang sesi pembelajaran serta aktiviti praktikal berlangsung.

Penglibatan tersebut mencerminkan komitmen bersama antara universiti, PPD Pontian, sekolah dan badan profesional seperti IEEE ComSoc dalam menyokong pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta literasi digital dalam kalangan komuniti sekolah di daerah Pontian.

Selain itu, kerjasama strategik bersama kelab pelajar UTM IET On Campus dan IEEE PS Cawangan Pelajar berpotensi untuk terus menjadi platform yang menyokong pembangunan generasi muda dengan asas literasi digital, pemikiran inovatif serta minat terhadap bidang kejuruteraan dan teknologi masa hadapan.

Program BoB 2026 dilaksanakan melalui kerjasama antara universiti, sekolah, PPD dan badan profesional

Melalui pelaksanaan BoB 2026, konsep kejuruteraan dan teknologi dapat diperkenalkan kepada murid sekolah melalui pengalaman pembelajaran yang praktikal dan menarik. Pendedahan kepada Micro:bit, IoT dan AI pada peringkat awal juga berpotensi meningkatkan minat murid terhadap bidang STEM, di samping membina keyakinan untuk meneroka teknologi dan menghasilkan penyelesaian kreatif terhadap permasalahan di sekeliling mereka.

Explore More

UTM Open Day