Zakat UTM suntik harapan, perkukuh kebajikan pelajar dan staf mendepani cabaran semasa

SDGSDG1SDG4SDG8

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat kutipan zakat dan skim infak berjumlah RM2.26 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini. Dana ini digunakan untuk membantu pelajar dan staf yang memerlukan, termasuk bantuan sara hidup, pendidikan, kecemasan, perubatan, dan bantuan khas. Pencapaian ini membuktikan bahawa ibadah zakat telah berevolusi peranannya dalam membina jaringan keselamatan sosial yang kukuh.

JOHOR BAHRU, 23 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang prihatin terhadap kebajikan warganya apabila Zakat UTM berjaya merekodkan kutipan zakat dan skim infak berjumlah RM2.26 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini bermula Januari hingga Mei 2026.

Pencapaian yang amat memberangsangkan ini bukan sekadar angka, sebaliknya ia mencerminkan solidariti, kesedaran, serta komitmen tinggi warga universiti dalam menunaikan tanggungjawab berzakat. Usaha murni ini secara langsung menyokong kesejahteraan golongan asnaf dalam kalangan pelajar dan staf yang amat memerlukan sokongan ketika diuji kesempitan.

Hari ini, kejayaan kutipan tersebut membuktikan bahawa ibadah zakat telah berevolusi peranannya apabila tidak lagi dilihat sekadar bagi memenuhi tuntutan agama, malah berfungsi sebagai instrumen serampang dua mata dalam membina jaringan keselamatan sosial yang kukuh.

Dalam iklim ekonomi yang kian mencabar, dana yang dikumpulkan dan diuruskan secara bersistematik dan telus oleh Unit Zakat dan Kebajikan, Pusat Islam UTM ini dilihat bertindak sebagai talian hayat buat warga kampus.

Melalui pelbagai skim sokongan yang dirangka dengan teliti, Zakat UTM telah menyalurkan dana ini dalam bentuk bantuan sara hidup, pendidikan, kecemasan, perubatan, serta bantuan khas untuk kes-kes yang memerlukan perhatian segera. Bagi pelajar, terutamanya yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan, bantuan zakat ini sering menjadi penyelamat yang membolehkan mereka menampung keperluan asas yang mendesak seperti makanan harian, sewa penginapan, kos pengangkutan, dan kelengkapan pembelajaran. Dengan sokongan seperti ini, mereka dapat meneruskan kehidupan di kampus dengan lebih fokus dan tenang. Pada masa yang sama, staf UTM yang berdepan kesukaran hidup turut dibantu, sekali gus mengurangkan beban perbelanjaan keluarga dan memelihara kesejahteraan emosi mereka.

Mengulas tentang impak besar sumbangan ini kepada ekosistem kampus, Ketua Unit Zakat dan Kebajikan Pusat Islam UTM, Ustaz Mohd Firdaus Pazim@Fadzim menzahirkan rasa syukur yang amat mendalam terhadap keprihatinan komuniti kampus dan masyarakat.

“Alhamdulillah, mewakili pihak kami di Pusat Islam UTM, pencapaian RM2.26 juta dalam masa lima bulan pertama tahun ini adalah satu manifestasi keyakinan tinggi penyumbang terhadap integriti pengurusan kami. Dana inilah yang menggerakkan kesemua kemudahan dan skim bantuan yang memayungi warga kampus kita.

“Kepuasan sebenar bagi kami adalah apabila melihat bantuan ini dapat meringankan keluh-kesah pelajar dan staf, serta tekanan kewangan mereka. Misi utama kami jelas. Kami ingin memastikan tiada warga UTM yang berasa terpinggir atau terpaksa menguburkan impian masa depan mereka hanya kerana dihimpit kekangan kewangan,” luahnya.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan sokongan berterusan daripada komuniti untuk mengimbangi kos sara hidup masa kini.

“Saya menyeru seluruh warga UTM dan masyarakat Islam di luar sana untuk terus menyumbang dan menunaikan zakat melalui potongan bulanan menerusi Skim Infaq UTM. Kami telah mempelbagaikan saluran bagi memudahkan urusan caruman, sama ada secara manual dengan mendapatkan khidmat taksiran dan penilaian di Unit Zakat & Kebajikan Pusat Islam UTM, ataupun secara dalam talian yang dijamin mudah, cepat dan selamat di my.utm.my.

“Ketahuilah bahawa setiap ringgit yang anda hulurkan bukan sekadar melepaskan kesusahan asnaf hari ini, malah ia adalah pelaburan berterusan dalam membangunkan sebuah komuniti kampus yang berdaya tahan, sejahtera, lestari, dan saling menyokong,” jelasnya.

Budaya perkongsian rezeki yang terus mekar dan subur dalam kalangan warga universiti ini diharap akan terus menjadi contoh masyarakat madani. Keprihatinan para penyumbang bukan sahaja membuka ruang kepada penerima untuk membina masa depan yang lebih cerah menerusi kelangsungan pendidikan, malah ia terus memperkukuh semangat kebersamaan institusi ini dalam mengangkat nilai ihsan dan kebajikan.

Dapatkan maklumat lanjut berkaitan Zakat UTM di talian 019-6861361.

Explore More

UTM Open Day