Wave Warriors @ Pengerang 2026 kutip lebih 1 tan sisa pantai

PENGERANG, 20 Jun – Sebanyak 1,012.1 kilogram sisa berjaya dikumpulkan menerusi Program CSR Pembersihan Pantai Wave Warriors @ Pengerang 2026 yang berlangsung di Pengerang Walk, Sungai Rengit, Johor. Program yang diterajui oleh Green Office, Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Maybank dan Majlis Perbandaran Pengerang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan kelestarian serta memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

Program yang menghimpunkan seramai 63 peserta itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, di samping menyemai budaya kesukarelawanan melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai.

Majlis dimulakan dengan gimik perasmian secara simbolik menerusi sesi menandatangani kain rentang program oleh barisan tetamu kehormat yang terdiri daripada Pengarah Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham @ Hisam; Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din; Bendahari UTM, Hj. Abu Bakar Mohd. Salleh @ Ahmad; Ketua Prestasi dan Produktiviti Perniagaan Zon Selatan Maybank, Yusri Laili; serta wakil Majlis Perbandaran Pengerang, Mahirah Jalal.

Warga UTM bersama rakan strategik bergambar sambil menandatangani kain rentang program

Gimik tersebut melambangkan komitmen bersama semua pihak dalam memperkukuh usaha pemeliharaan alam sekitar menerusi kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi, sektor industri dan pihak berkuasa tempatan.

Selesai majlis perasmian, para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan bagi melaksanakan aktiviti pembersihan dan pengasingan sisa mengikut kategori. Hasil kutipan menunjukkan sebanyak 502.75 kilogram sisa plastik, 46.75 kilogram kaca, 19.75 kilogram aluminium dan tin, serta 442.85 kilogram sampah am berjaya dikumpulkan sepanjang program berlangsung. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mengumpulkan 1,012.1 kilogram sisa, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran, komitmen dan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan peserta terhadap usaha memelihara alam sekitar.

Peserta mengumpulkan dan mengasingkan sisa yang ditemui di kawasan pesisir pantai sepanjang program berlangsung

Selain aktiviti pembersihan pantai, peserta turut mengikuti sesi perkongsian ilmu bertajuk Memperkasa Kelestarian: Peranan Komuniti dalam Pemeliharaan Alam Sekitar yang disampaikan oleh Pengarah UTMCCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din.

Dalam perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa usaha memelihara alam sekitar bukanlah tanggungjawab pihak tertentu semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat. Beliau turut menyeru agar amalan lestari diterapkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan kelangsungan sumber semula jadi demi kesejahteraan generasi akan datang.

Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din menyampaikan perkongsian mengenai peranan komuniti dalam memelihara alam sekitar

Program ini turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Maybank sebagai rakan strategik utama, sekali gus mencerminkan komitmen sektor industri dalam menyokong pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

Penganjuran Wave Warriors @ Pengerang 2026 membuktikan bahawa kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi, sektor industri dan pihak berkuasa tempatan mampu menghasilkan impak yang signifikan terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar. Program seumpama ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat, malah memperkukuh semangat kesukarelawanan, kepimpinan, kerjasama berpasukan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.

Sebahagian daripada 1,012.1 kilogram sisa yang berjaya dikumpulkan hasil aktiviti pembersihan pantai

Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim, SDG 14: Hidupan di Bawah Air, serta SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar, di samping memperluaskan impak positif kepada komuniti melalui budaya kesukarelawanan dan tindakan kolektif demi kelestarian bumi.

Explore More

UTM Open Day