Warga UTM sertai Program Penghijauan Malaysia 2.0 di Tapak Ramsar Hutan Simpan Sungai Pulai

SDGSDG13SDG15

📝 Ringkasan

Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Program Penghijauan Malaysia 2.0 di Hutan Simpan Sungai Pulai. Program ini melibatkan penanaman 300 pokok bakau untuk memulihara ekosistem hutan paya laut dan memperkukuh kawasan pesisir pantai. Seramai 40 peserta dari UTM, termasuk pelajar Kelab AIESEC, telah menanam pokok bakau menggunakan kaedah penanaman manual dengan bantuan kayu tugal. Program ini merupakan sebahagian daripada agenda UTM Sihat dan Lestari dan juga kerjasama antara UTM dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

GELANG PATAH, 16 Jun – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai Program Penghijauan Malaysia 2.0 anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) yang berlangsung di Hutan Simpan Sungai Pulai.

Hutan Simpan Sungai Pulai merupakan salah satu hutan paya laut terpenting di Malaysia dan diwartakan sebagai Tapak Ramsar (Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa). Tapak Ramsar Sungai Pulai yang berkeluasan 9,126 hektar merupakan kawasan hutan paya laut terbesar di Johor dan antara yang terbesar di Semenanjung Malaysia.

Program tersebut melibatkan aktiviti penanaman sebanyak 300 anak pokok bakau, iaitu bakau minyak dan bakau pasir, sebagai usaha memulihara ekosistem hutan paya laut serta memperkukuh kawasan pesisir pantai di tapak Ramsar ini. Program ini merupakan sebahagian daripada agenda UTM Sihat dan Lestari di peringkat fakulti yang turut menyokong usaha restorasi bakau.

Peserta diberi tunjuk ajar mengenai kaedah penanaman pokok bakau menggunakan kayu tugal

Seramai 40 peserta yang terdiri daripada staf UTM, khususnya warga FABU dan pelajar Kelab AIESEC telah mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan. Dalam tempoh kira-kira dua jam, para peserta berjaya menanam 300 anak pokok bakau menggunakan kaedah penanaman secara manual dengan bantuan kayu tugal. Tugal merupakan alat tradisional dalam aktiviti pertanian iaitu sebatang kayu yang tajam hujungnya untuk melubangi tanah bagi aktiviti penanaman.

Pelajar UTM daripada Kelab AIESEC UTM yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa turut merasai pengalaman menanam bakau

Program berkenaan turut dihadiri oleh pegawai JPNJ yang diketuai oleh Aida Deros, bersama renjer-renjer perhutanan yang memberikan penerangan dan tunjuk ajar berkaitan teknik mengenal spesies bakau dan cara penanaman kepada para peserta.

Program Penghijauan 2.0 merupakan kesinambungan kepada Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan dari tahun 2021 hingga 2025. Kempen tersebut menyasarkan penanaman sebanyak 100 juta pokok di seluruh negara dengan tema “Pokok Kita, Kehidupan Kita”.

Susulan kejayaan Negeri Johor mencapai sasaran penanaman yang ditetapkan, usaha penghijauan terus diperkasakan melalui kerjasama strategik antara Jabatan Perhutanan Negeri Johor dengan pelbagai agensi, institusi pendidikan dan kumpulan sukarelawan, termasuk warga UTM.

Program ini juga merupakan sebahagian daripada aktiviti Makmal Hidup UTM–JPNJ yang telah ditubuhkan kira-kira lima tahun lalu. Kerjasama tersebut menjadi platform kepada pelaksanaan aktiviti tahunan berkaitan pemuliharaan hutan, penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan penglibatan komuniti.

Melalui program seperti ini, para peserta bukan sahaja memperoleh pengalaman secara langsung dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar, malah dapat memahami kepentingan ekosistem bakau dalam melindungi kawasan pesisir, menyediakan habitat hidupan laut serta menyokong usaha mitigasi perubahan iklim.

Tapak RAMSAR ini menjadi habitat semula jadi serta tapak persinggahan penting bagi pelbagai spesies burung migrasi dan hidupan akuatik

Kerjasama berterusan antara UTM dan JPNJ diharapkan dapat menyemarakkan budaya kesukarelawanan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan memulihara khazanah hutan negara untuk generasi akan datang.

Warga FABU bersama JPNJ semasa menyertai Program Penghijauan Malaysia 2.0 di Hutan Simpan Sungai Pulai

Explore More

UTM Open Day