📝 Ringkasan
WANGI UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan program penghargaan khas untuk Sambutan Hari Ibu 2026 dengan mengedarkan kek mini coklat lembap kepada staf wanita di sekitar kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur. Program ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan golongan wanita, khususnya staf wanita UTM Kuala Lumpur yang sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja dan keluarga. Sebanyak 225 biji kek coklat mini telah berjaya diedarkan kepada semua staf wanita di sekitar UTM Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR, 25 Mei — Sempena Sambutan Hari Ibu 2026, Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Wanita Teknologi UTM (WANGI) Kampus Kuala Lumpur telah menganjurkan program penghargaan khas dengan mengedarkan kek mini coklat lembap kepada staf wanita di sekitar kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.
Program yang berlangsung secara santai namun penuh berimpak ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan golongan wanita, khususnya staf wanita UTM Kuala Lumpur yang sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja dan keluarga, selari dengan tema Hari Ibu tahun 2026 iaitu “Seteguh KASIH Ibu”.

Program ini tidak berjaya diadakan tanpa sumbangan dan dedikasi daripada pelbagai pihak. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada para penyumbang, penaja dan semua individu yang telah berganding bahu menjayakan acara ini, kerana sokongan tersebut amat bermakna dalam memastikan objektif program ini tercapai.
Antara penyumbang yang terlibat ialah Ketua Kampus Cawangan UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad; Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang diwakili oleh Dekan, Prof. Ts. Mohd Naz’ri Mahrin bersama Timbalan Dekan Akademik, Prof. Madya Dr. Suriayati Chuprat, serta Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain. Turut menyumbang ialah Pejabat Bendahari yang diketuai oleh Ketua Bendahari, Muhammad Tariq Rahmalan bersama staf Jabatan Bendahari Kuala Lumpur serta staf Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDigital).

Sebagai tanda penghargaan kepada semua warga wanita UTM Kuala Lumpur, sebanyak 225 biji kek coklat mini telah berjaya diedarkan kepada semua staf wanita di sekitar UTM Kuala Lumpur. Ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada AJK WANGI yang terlibat dalam agihan cenderahati ini, sekali gus mendekatkan AJK WANGI dengan para wanita di UTM Kuala Lumpur.
Program edaran dimulakan dengan Pejabat Canseleri yang melibatkan Pejabat Ketua Kampus, Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Pusat Akreditasi UTM (UTM ACe) dan UTM International, diikuti dengan FAI, MJIIT, UTMDigital, Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) Kuala Lumpur, Pejabat Bendahari dan beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang lain. Semua AJK WANGI Kuala Lumpur turut hadir ke setiap PTJ yang menyumbang bagi mengedarkan sendiri kek kepada staf wanita sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap sambutan ini mengikut jadual edaran yang telah ditetapkan.

Sesi edaran dimulakan di Pejabat Canseleri yang melibatkan Pejabat Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur, PKK, UTM ACe dan UTM International, bertempat di Ruang Jamuan Pejabat Ketua Kampus Cawangan, Aras 17, Menara Razak.
Seterusnya, sesi edaran diteruskan di FAI, di lobi pejabat pentadbiran FAI Aras 5, Menara Razak. Kunjungan kemudian diteruskan ke MJIIT di Pejabat Pentadbiran MJIIT, Aras 2, Bangunan MJIIT. Program diteruskan lagi di Pejabat Bendahari sebelum berakhir di UTMDigital, Bahagian Transformasi Digital (BTD), bertempat di Foyer A, Bangunan Perpustakaan Kuala Lumpur. Agihan turut diteruskan ke PTJ lain yang berhampiran.

Penglibatan aktif semua AJK WANGI dalam sesi edaran ini telah mewujudkan suasana mesra dan penuh penghargaan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara staf pelbagai PTJ di UTM Kuala Lumpur. Program ini bukan sahaja berjaya menyantuni warga kampus, malah turut memperkukuh ukhuwah sesama staf serta meningkatkan keterlihatan dan peranan WANGI dalam membudayakan suasana kerja yang harmoni, prihatin dan saling menghargai di UTM Kuala Lumpur.
Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya dalam memperkukuh elemen Kemanusiaan dan Kesejahteraan melalui pembangunan budaya kerja yang sejahtera, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan. Selain itu, program ini turut mencerminkan semangat Kemampanan dari aspek kesejahteraan komuniti warga kampus serta penglibatan bersama antara PTJ dalam menyokong program kebajikan staf.

Di samping itu, sambutan ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3 berkaitan Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan melalui usaha mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan harmoni, serta SDG 5 berkaitan Kesaksamaan Gender yang menekankan penghargaan terhadap peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan organisasi dan masyarakat. Pihak WANGI UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang serta warga kerja yang telah menjayakan program ini dengan penuh dedikasi.