📝 Ringkasan
UTM melaksanakan Sesi Pembelajaran Praktikal Penternakan Kelulut Moden di FELCRA Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor. Program ini bertujuan memperkasakan komuniti luar bandar melalui pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti. Seramai 30 peserta dari Kampung Chokro dan Kampung Sahari telah menyertai program ini. Mereka didedahkan kepada amalan terbaik penternakan kelulut moden melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
KOTA TINGGI, 7 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Unit Inovasi Sosial, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), terus memperkukuh agenda pemerkasaan komuniti menerusi pelaksanaan Sesi Pembelajaran Praktikal Pengurusan Koloni, Penggunaan Log Aktiviti, Penuaian dan Pembotolan Madu di FELCRA Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.
Program ini merupakan sebahagian daripada Projek Pemerkasaan Ekonomi Penduduk Luar Bandar melalui Penternakan Kelulut Moden Bee Modular Box (BMB) yang menerima sokongan Dana Geran Khas Hasanah berjumlah RM500,000. Projek yang mula dilaksanakan pada tahun 2026 ini bertujuan memperkasakan komuniti luar bandar melalui pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti dan pengukuhan aktiviti keusahawanan berasaskan penternakan kelulut moden.
Seramai 30 peserta daripada Kampung Chokro dan Kampung Sahari, Mukim Simpang Renggam telah menyertai sesi pembelajaran praktikal tersebut. Program ini turut dihadiri oleh Abdullah Kamaluddin, Pengurus Kawasan FELCRA Sungai Ara; Rosnah Salleh, Pengerusi Pertubuhan Wanita Dinamis FELCRA (WADIRA) Kawasan Sungai Ara; serta Dr. Mohd Khairuddin Ramliy, penyelidik UTM yang terlibat dalam pelaksanaan Projek BMB.
Sesi pembelajaran ini dirangka bagi memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai amalan terbaik penternakan kelulut moden melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman. Berbanding pembelajaran secara teori semata-mata, peserta berpeluang melihat dan mengendalikan sendiri aktiviti berkaitan pengurusan koloni, penggunaan log aktiviti, penuaian madu serta proses pemprosesan dan pembotolan madu dalam persekitaran operasi sebenar.

Menurut pihak pelaksana, pengurusan koloni yang sistematik merupakan antara faktor utama yang menentukan produktiviti dan kelestarian perusahaan kelulut. Oleh itu, peserta didedahkan kepada teknik pemantauan koloni menggunakan log aktiviti bagi merekod perkembangan koloni, aktiviti penyelenggaraan serta hasil pengeluaran madu. Pendekatan ini dapat membantu peserta membuat keputusan yang lebih berkesan dalam mengurus perusahaan kelulut pada masa hadapan.

Keunikan program ini terletak pada penglibatan aktif komuniti FELCRA Sungai Ara sebagai rakan pembelajaran strategik. Komuniti yang telah berjaya membangunkan perusahaan kelulut secara mampan ini berkongsi pengalaman sebenar mengenai cabaran, strategi dan amalan terbaik yang diamalkan sepanjang mengusahakan penternakan kelulut. Melalui demonstrasi lapangan dan sesi interaktif, peserta memperoleh pengetahuan praktikal yang sukar diperoleh melalui pembelajaran di bilik kuliah.

Selain menyaksikan demonstrasi pengurusan koloni dan penuaian madu, peserta turut berpeluang melawat ruang pemprosesan madu dan mengikuti demonstrasi pembotolan yang dikendalikan oleh wakil komuniti FELCRA Sungai Ara. Pendedahan ini memberi kefahaman kepada peserta mengenai kepentingan kawalan kualiti, kebersihan dan pembungkusan produk bagi meningkatkan nilai tambah serta kebolehpasaran madu kelulut.
Program ini turut membuka ruang pembelajaran sesama komuniti apabila peserta dapat berinteraksi secara langsung dengan penternak yang telah berjaya menjadikan penternakan kelulut sebagai sumber pendapatan. Pendekatan komuniti kepada komuniti ini selaras dengan matlamat projek untuk mewujudkan rangkaian sokongan dan ekosistem keusahawanan sosial yang mampan.


Melalui pelaksanaan Projek BMB, UTM berharap dapat melahirkan komuniti penternak kelulut yang berkemahiran, berdaya saing dan mampu menjadikan industri kelulut sebagai sumber pendapatan alternatif yang mampan. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen UTM dalam memanfaatkan kepakaran akademik dan inovasi bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti luar bandar secara inklusif dan berimpak tinggi.