📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjadi penganjur bersama Simposium Antarabangsa LiTr.AI 2026 bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Dinas Perpustakaan dan Kearsipan Provinsi (DISPUSIP) DKI Jakarta. Simposium ini bertemakan “Keberadaan Ilmu, Bahasa dan Budaya dalam Era Kecerdasan Buatan: Menerawangkan Kesempurnaan” dan telah menghimpunkan 22 pembentang dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan China. Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek telah menyempurnakan majlis perasmian simposium ini dan berharap agar simposium seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan yang lebih meluas daripada negara-negara serantau.
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju wacana ilmu dan inovasi menerusi penganjuran bersama Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 yang berlangsung pada 3 hingga 4 Jun 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Simposium yang julung kali diadakan ini dianjurkan bersama rakan strategik, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Dinas Perpustakaan dan Kearsipan Provinsi (DISPUSIP) DKI Jakarta.
Majlis perasmian simposium antarabangsa ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan harapan agar simposium seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan yang lebih meluas daripada negara-negara serantau bagi memperkukuh jaringan ilmu dan kerjasama antarabangsa.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, Noor Amin Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, yang menjalankan tugas Naib Canselor UTM; Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hazami Jahari; serta Ketua DISPUSIP Jakarta, Dr. Nasruddin Djoko Surjono. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias; Ketua Pustakawan UTM, Khairulbahiyah Yaakub; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITBM, Sakri Abdullah yang juga Pengerusi Bersama LiTr.AI 2026.

Bertemakan “Keberadaan Ilmu, Bahasa dan Budaya dalam Era Kecerdasan Buatan: Menerawangkan Kesempurnaan”, LiTr.AI 2026 berjaya menghimpunkan seramai 22 pembentang dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan China. Simposium ini turut menyaksikan penglibatan aktif ahli akademik dan pentadbir UTM, termasuk pembentangan oleh Ketua Pustakawan UTM, Khairulbahiyah Yaakub.
Dua ucaptama telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dr. Goh Sang Seong, dan Ketua DISPUSIP Jakarta, Dr. Nasruddin Djoko Surjono. Kedua-dua tokoh tersebut mengupas pelbagai isu berkaitan perkembangan kepustakaan, bahasa, terjemahan dan kecerdasan buatan (AI) dalam mendepani cabaran dunia digital masa kini.


LiTr.AI 2026 menghimpunkan para sarjana, penyelidik, pustakawan, pengamal industri, penggiat bahasa dan budaya serta ahli akademik dari dalam dan luar negara. Penyertaan pembentang antarabangsa dari China serta negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan ilmu dan kerjasama strategik serantau dalam bidang kepustakaan, terjemahan dan teknologi AI.

Penganjuran simposium ini amat signifikan dalam mendepani cabaran dunia yang semakin dipacu oleh data, automasi dan AI. Dalam konteks tersebut, institusi ilmu seperti universiti, perpustakaan dan institusi bahasa perlu terus memainkan peranan penting bagi memastikan pembangunan teknologi bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan, etika dan kesejahteraan masyarakat.

Penganjuran LiTr.AI 2026 diharap dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak penyelidikan, penerbitan ilmiah dan kerjasama strategik antara institusi di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, China dan rantau Asia Tenggara secara keseluruhannya, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ilmu, bahasa dan AI di peringkat serantau.