UTM julung kali anjur Kejohanan Renang Jemputan dan Simposium Sukan Akuatik 2026

SDGSDG4SDG10SDG11

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Kejohanan Renang Jemputan dan Simposium Pertama UTM 2026 di kolam renang UTM. Program ini menampilkan sesi simposium untuk ibu bapa dan jurulatih, serta kejohanan renang dengan 230 peserta dalam 144 acara. Sesi simposium membincangkan peranan ibu bapa dalam membentuk atlet muda dan psikologi sukan. Kejohanan renang berlangsung serentak dengan sesi simposium dan memberi peluang kepada atlet renang muda menonjolkan bakat mereka.

JOHOR BAHRU, 6 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui kursus kokurikulum Renang Wanita (ULRF 2832) di bawah Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) dan kursus Sukan Akuatik (SHPR 1962) Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC) telah berjaya menganjurkan Kejohanan Renang Jemputan dan Simposium Pertama UTM 2026 yang berlangsung di kolam renang UTM pada 6 Jun 2026.

Keunikan program ini terletak pada gabungan sesi simposium yang berlangsung secara selari dengan Kejohanan Renang. Sesi simposium dilaksanakan khusus untuk para ibu bapa dan jurulatih yang hadir menyokong atlet mereka, manakala Kejohanan Renang pula memfokuskan kepada pertandingan pelbagai kategori. Dianggarkan seramai 690 orang hadir sepanjang program, termasuk peserta kejohanan, ibu bapa dan jurulatih.

Suasana Kejohanan Renang Jemputan dan Simposium Pertama UTM 2026 yang berlangsung di kolam renang UTM

Kejohanan Renang menyaksikan penglibatan seramai 230 peserta dalam 144 acara dan saringan yang dipertandingkan merentas pelbagai kategori umur, termasuk kategori tujuh tahun ke bawah, lapan hingga sembilan tahun, 10 hingga 11 tahun, 12 hingga 13 tahun, 14 hingga 15 tahun dan 16 tahun ke atas bagi kategori lelaki dan perempuan.

Atlet renang dalam kategori bawah umur beraksi dalam Kejohanan Renang Jemputan UTM 2026
Barisan atlet muda sedang mendaftar untuk acara seterusnya dalam kejohanan

Sementara itu, sesi simposium menampilkan ceramah oleh Dr. Muhamad Hafiz Ismail, Pensyarah Kanan Program Sains Sukan FEST UTM, bertajuk “Membentuk Juara Dari Rumah: Peranan dan Tanggungjawab Ibu Bapa”. Ceramah tersebut menekankan peranan ibu bapa dalam menguruskan emosi atlet muda bagi menyokong pembangunan atlet dan prestasi sukan dalam jangka masa panjang. Sesi yang berlangsung selama satu jam tiga puluh minit itu diisi dengan pelbagai pengetahuan berkaitan psikologi sukan dalam membentuk atlet dari peringkat akar umbi, serta sesi soal jawab bersama hadirin.

Dr. Muhamad Hafiz Ismail berkongsi ilmu berkaitan psikologi sukan semasa sesi simposium

Sepanjang sesi simposium berlangsung, Kejohanan Renang tetap dijalankan secara serentak bagi memastikan kelancaran pertandingan dan para peserta tidak menunggu terlalu lama untuk kategori masing-masing. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada atlet renang muda menonjolkan bakat mereka, malah turut memberi ruang kepada pelajar UTM untuk mengaplikasikan kemahiran teknikal kepegawaian renang melalui penglibatan mereka sebagai pegawai teknikal kejohanan.

Acara terakhir ialah saringan 144 meter gaya bebas bagi kategori 16 tahun ke atas, yang kemudiannya diikuti dengan upacara penyampaian hadiah kepada semua pemenang. Upacara tersebut telah disempurnakan oleh wakil UGS, Dr. Lukman Hakim Ismail, yang hadir sebagai pemerhati program.

Dr. Lukman Hakim Ismail, wakil UGS, menyempurnakan upacara penyampaian medal dan sijil kepada pemenang Kejohanan Renang Jemputan UTM 2026

Program ini mendapat maklum balas positif daripada hadirin. Para peserta dan ibu bapa berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkasakan pembangunan bakat baharu dalam sukan renang serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan komuniti ibu bapa dan jurulatih. Program ini turut memberi peluang kepada komuniti luar untuk mengenali kemudahan sukan serta kepakaran tenaga akademik UTM dalam bidang sains sukan dan akuatik.

Explore More

UTM Open Day