UTM dan Universitas Negeri Malang kukuhkan kerjasama akademik melalui forum ilmu dan pembaharuan MoU

SDGSDG4SDG17

📝 Ringkasan

UTM dan Universitas Negeri Malang (UM) telah mengukuhkan kerjasama akademik melalui Forum Ilmu dan Kerjasama Strategik. Forum tersebut melibatkan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) yang mencerminkan komitmen bersama untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan berimpak tinggi, mobiliti akademik dan lain-lain.

JOHOR BAHRU, 12 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh hubungan akademik antarabangsa apabila menerima kunjungan delegasi kanan daripada Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia, sempena penganjuran Forum Ilmu dan Kerjasama Strategik Universiti Teknologi Malaysia–Universitas Negeri Malang yang berlangsung di Dewan Kuliah, Bangunan N31, Institut Ibnu Sina untuk Penyelidikan dan Perindustrian (ISI-SIR), UTM.

Delegasi UM diketuai oleh Prof. Dr. Hariyono, Rektor UM, bersama Prof. Dr. Hadi Suwono, Dekan Fakulti Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), serta Prof. Dr. Hadi Nur, Ketua Makmal Bersepadu UM.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah ISI-SIR, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Safwan Abd Aziz, diikuti ucapan oleh Dekan Fakulti Sains UTM, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, yang menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi.

Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Safwan Abd Aziz, Pengarah ISI-SIR UTM, menyampaikan ucapan alu-aluan kepada delegasi UM dan warga UTM yang hadir
Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, Dekan Fakulti Sains UTM, menyampaikan ucapan mengenai kepentingan kerjasama strategik antara UTM dan UM

Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Shafinaz menjelaskan bahawa Fakulti Sains UTM yang terdiri daripada Jabatan Biosains, Kimia, Fizik dan Sains Matematik mempunyai pelbagai bidang kepakaran yang boleh dimanfaatkan bersama oleh kedua-dua institusi. Beliau turut menegaskan bahawa hubungan antara UTM dan UM telah terjalin sejak sekian lama melalui pelbagai program akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar dan staf, penerbitan bersama serta penganjuran persidangan antarabangsa.

Menurut beliau, pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada hari tersebut bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan komitmen bersama untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan berimpak tinggi, mobiliti akademik, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, pembangunan kurikulum dan perkongsian kemudahan penyelidikan.

Forum tersebut turut menampilkan dua syarahan umum. Syarahan pertama bertajuk “Melampaui Batas Kolonial: Merajut Kembali Jalinan Sejarah untuk Kemajuan Kawasan” telah disampaikan oleh Prof. Dr. Hariyono. Dalam syarahan tersebut, beliau membincangkan kepentingan mengukuhkan semula hubungan sejarah, budaya dan pendidikan antara negara-negara serantau sebagai asas kepada pembangunan dan kemajuan masa hadapan.

Prof. Dr. Hariyono, Rektor UM, menyampaikan syarahan umum bertajuk “Melampaui Batas Kolonial: Merajut Kembali Jalinan Sejarah untuk Kemajuan Kawasan”

Syarahan kedua pula disampaikan oleh Prof. Dr. Hadi Suwono bertajuk “Merapatkan Budaya dan Sains: Sains Rakyat Berasaskan Kebijaksanaan Tempatan untuk Meningkatkan Literasi Saintifik di Wilayah 3T”. Syarahan tersebut menekankan peranan pengetahuan tempatan dan pendekatan sains rakyat dalam memperkasa literasi saintifik masyarakat, khususnya di kawasan terpencil, terdepan dan tertinggal (3T).

Prof. Dr. Hadi Suwono menyampaikan syarahan mengenai integrasi budaya dan sains dalam memperkasa literasi saintifik masyarakat di kawasan 3T

Kemuncak program menyaksikan sesi pertukaran MoU antara UTM dan UM yang menjadi landasan baharu kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik dalam tempoh tiga tahun akan datang. Antara fokus utama kerjasama tersebut termasuk pembangunan cadangan geran penyelidikan antarabangsa, penyeliaan bersama pelajar Doktor Falsafah, peningkatan program mobiliti akademik serta penghasilan penerbitan bersama dalam jurnal berindeks Scopus dan Web of Science.

Sesi pertukaran dokumen MoU antara UTM dan UM sebagai tanda komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan

Prof. Madya Dr. Shafinaz turut menyatakan harapan agar kerjasama ini dapat diperluaskan kepada fakulti lain di UTM melalui pendekatan pelbagai disiplin bagi menangani cabaran global seperti perubahan iklim, transformasi digital, keselamatan makanan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar. Kedua-dua institusi juga berhasrat memperkukuh pelaksanaan program STEM dan aktiviti jangkauan luar bagi meningkatkan minat generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi.

Penganjuran forum ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dan UM dalam memperkukuh jaringan akademik serantau serta memacu kecemerlangan pendidikan tinggi melalui kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi dan masyarakat secara keseluruhannya.

Explore More

UTM Open Day