UTM dan AEON tangkap 71 kilogram ikan invasif, perkasa usaha pulih ekosistem Sungai Skudai

SDGSDG13SDG14SDG15

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan AEON telah melaksanakan program INVAGUARD ’26 untuk mengawal populasi ikan bandaraya di Sungai Skudai. Mereka berjaya menangkap 71 kilogram ikan invasif dalam masa singkat. Ikan-ikan yang ditangkap akan dimanfaatkan melalui proses pengkomposan yang berasaskan kaedah saintifik. Hasil komposan ini akan digunakan sebagai baja untuk tanaman yang bersesuaian. Program ini juga melibatkan pameran INVASIGHT ’26 dan Majlis Pelancaran Rasmi Kempen AEON Mall Eco Journey untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman spesies invasif terhadap sungai.

KULAI, 6 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) dengan kerjasama AEON (M) Bhd. telah melaksanakan satu inisiatif berskala besar bagi menyelamatkan ekosistem sungai daripada ancaman spesies asing yang semakin membimbangkan menerusi program INVAGUARD ’26: Penangkapan Ikan Invasif 2026; INVASIGHT ’26: Pameran Kesedaran Spesies Ikan Invasif 2026, serta Majlis Pelancaran Rasmi Kempen AEON Mall Eco Journey.

Program yang berlangsung di Sungai Skudai, Kampung Pertanian, Kulai itu memberi tumpuan kepada usaha mengawal populasi ikan bandaraya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus yang kini dikesan mendominasi habitat sungai berkenaan.

Dalam operasi tersebut, para peserta berjaya mengeluarkan sebanyak 71 kilogram ikan invasif dalam tempoh yang singkat. Walaupun jumlah itu dilihat signifikan, ia sebenarnya hanya mewakili sebahagian kecil daripada populasi sebenar spesies tersebut yang telah menguasai dasar Sungai Skudai.

Sebanyak 71 kilogram ikan bandaraya berjaya ditangkap dalam masa kurang daripada dua jam semasa operasi INVAGUARD ’26di Sungai Skudai, Kampung Pertanian, Kulai

Keadaan ini amat membimbangkan apabila ikan bandaraya didapati semakin memonopoli habitat asal sehingga menjejaskan populasi ikan tempatan yang semakin berkurangan.

Pengarah Program INVAGUARD ’26, Ahmad Mustaqim Zainudin, berkata program itu bukan sekadar aktiviti menangkap ikan, sebaliknya bertujuan mendidik masyarakat mengenai ancaman spesies invasif terhadap keseimbangan ekosistem.

“Kehadiran spesies invasif ini telah mengakibatkan gangguan ekologi yang ketara, termasuk persaingan sengit dengan spesies ikan asli untuk mendapatkan sumber makanan dan habitat. Fenomena ini bukan sahaja menyebabkan penurunan populasi ikan tempatan, malah turut mengancam kelangsungan biodiversiti akuatik asli serta kestabilan ekosistem sungai,” tegasnya ketika menjelaskan objektif program tersebut.

Wakil UTM dan AEON menjalankan operasi menjala ikan bandaraya di Sungai Skudai dalam usaha mengawal populasi spesies invasif yang mendominasi habitat sungai berkenaan

Sementara itu, Pengetua Kolej Tun Hussein Onn, Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin, menjelaskan langkah seterusnya yang akan diambil terhadap hasil tangkapan. Menurut beliau, ikan-ikan yang ditangkap tidak akan dibuang begitu sahaja, sebaliknya akan dimanfaatkan melalui proses pengkomposan yang berasaskan kaedah saintifik.

“Hari ini kami telah selesai menjalankan proses tangkapan ikan bandaraya bersama pihak AEON dan Kolej Tun Hussein Onn. Selepas ini, ikan-ikan tersebut akan diproses menjadi baja kompos. Ikan ini akan dimasukkan ke dalam tong dan dicampurkan dengan cecair EM (Efektif Mikroorganisma) serta molasses,” jelasnya.

Dr. Farizal yang juga pakar dalam bidang biosains berkata proses pengkomposan itu dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum dapat digunakan sepenuhnya.

“Baja ini kemudiannya boleh digunakan untuk tanaman yang bersesuaian, terutamanya tanaman berdaun dan sayur-sayuran kerana kandungan asid aminonya yang tinggi. Kami akan memproses ikan-ikan ini menjadi baja asid amino,” tambahnya lagi.

Pengetua Kolej Tun Hussein Onn, Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin, menerangkan ciri-ciri dan ancaman ikan bandaraya kepada wakil UTM, AEON dan ketua kampung setempat sempena program INVAGUARD ’26

Selepas tamat operasi di sungai, tumpuan beralih ke AEON Mall Tebrau City bagi fasa kedua program, iaitu pameran INVASIGHT ’26 dan Majlis Pelancaran Rasmi Kempen AEON Mall Eco Journey. Majlis pelancaran yang diadakan di Centre Court pusat membeli-belah tersebut bertujuan membawa isu kelestarian sungai ke tengah-tengah masyarakat bandar.

Acara kemuncak pada sebelah petang itu dihadiri oleh barisan tetamu kehormat yang terdiri daripada Fayzul Dato’ Hj. Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kelestarian Johor (JSC); LAr. Dr. Zanariah Jasmani, Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM; serta wakil pengurusan tertinggi AEON, Nikki Lee, selaku Ketua Pemasaran Mall, GIG dan Pengurusan Acara AEON, bersama Pengurus Mall AEON Tebrau City, Nasrullah Abdul Mutalib.

Selain pelancaran gimik Eco Journey yang dirasmikan oleh Fayzul Dato’ Hj. Omar, pengunjung turut berpeluang melihat pameran interaktif yang mengetengahkan bahaya ikan invasif.

Wakil KTHO UTM menerangkan kepada pengunjung AEON Mall Tebrau City berkenaan ikan bandaraya secara langsung bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman spesies invasif

Pengarah Program INVASIGHT ’26, Sity Anis Aeisyah Samsudin, menjelaskan bahawa pendidikan visual adalah kunci kepada kesedaran awam.

“Pameran INVASIGHT ’26 ini dianjurkan sebagai sebuah platform pendidikan yang mengetengahkan elemen diorama, replika dan visualisasi bagi memberikan gambaran yang lebih jelas tentang ancaman sebenar spesies ikan invasif terhadap sungai. Kami mahu masyarakat faham bahawa isu ini bukan sekadar tentang ikan, tetapi tentang kelestarian sumber air untuk generasi masa hadapan,” tegasnya.

Pameran tersebut mempamerkan kesan negatif ikan bandaraya, termasuk bagaimana struktur mulutnya yang seakan penyedut mampu merosakkan tebing sungai dan mengakibatkan ketidakstabilan tanah yang menyumbang kepada banjir kilat. Melalui diorama yang realistik, pengunjung dapat melihat sendiri bagaimana ekosistem sungai yang sihat boleh hancur akibat dominasi spesies invasif.

Wakil UTM dan AEON bergambar kenangan bersama tetamu kehormat sempena Majlis Pelancaran Rasmi Kempen AEON Mall Eco Journey di Centre Court AEON Mall Tebrau City

Kerjasama erat antara institusi pendidikan seperti UTM dengan industri seperti AEON membuktikan bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Dengan keberhasilan tangkapan 71 kilogram pada sebelah pagi dan kejayaan kempen kesedaran pada sebelah petang, program ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada pemulihan menyeluruh Sungai Skudai. Dengan komitmen berterusan daripada semua pihak, harapan untuk melihat sungai itu kembali seimbang dan bebas daripada dominasi spesies invasif bukan lagi sesuatu yang mustahil.

Explore More

UTM Open Day