📝 Ringkasan
UTM BDC telah melaksanakan Kursus Kecerdasan Buatan (AI) untuk warga pendidik di kawasan Parlimen Pasir Gudang. Kursus ini melibatkan 41 orang guru dari pelbagai sekolah dan bertujuan untuk memperkukuh pemahaman dan penguasaan pendidik terhadap teknologi AI dalam pengajaran dan pembelajaran. Program ini dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan bertujuan untuk memperkasa tenaga pengajar melalui program literasi teknologi dan inovasi di peringkat komuniti.
PASIR GUDANG, 13 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Data Raya UTM (UTM BDC) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pasir Gudang telah melaksanakan Kursus Kecerdasan Buatan (AI) untuk warga pendidik di kawasan Parlimen Pasir Gudang.
Kursus yang berlangsung pada 13 Jun 2026 ini melibatkan penyertaan seramai 41 orang guru dari pelbagai sekolah di sekitar kawasan parlimen tersebut dan telah dijalankan di Bilik Hikmah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya, Masai, Johor.

Program ini dianjurkan di bawah inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan matlamat utama memperkukuh pemahaman serta penguasaan pendidik terhadap teknologi kecerdasan buatan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), seiring dengan arus pemodenan pendidikan negara.

Kursus intensif ini memberi tumpuan kepada penerapan teknologi AI secara praktikal dalam ekosistem pendidikan. Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada penghasilan bahan pengajaran digital melalui integrasi teknologi AI menggunakan platform penjanaan kandungan dan alat bantu interaktif. Peserta turut mempelajari kaedah automasi tugasan PdP bagi meningkatkan kecekapan pengurusan kelas digital, merangkumi aspek dokumentasi, pentaksiran dan pemantauan pembelajaran. Di samping itu, program ini turut memperkenalkan strategi pengajaran inovatif melalui penggunaan teknologi terkini bagi menarik minat pelajar serta meningkatkan penglibatan mereka dalam pembelajaran berasaskan teknologi.
Selain kemahiran teknikal, kursus ini turut memberi penekanan terhadap penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab. Para pendidik didedahkan kepada isu keselamatan data, privasi serta kepentingan mengelakkan kebergantungan yang melampau kepada teknologi dalam proses pembelajaran.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hassan Abdul Karim, yang hadir beramah mesra dengan para peserta. Beliau memberikan galakan serta sokongan terhadap usaha pembudayaan AI dalam komuniti pendidikan setempat, sekali gus mencerminkan komitmen pihak kepimpinan dalam memperkasa tenaga pengajar melalui program literasi teknologi dan inovasi di peringkat komuniti.

UTM BDC merakamkan penghargaan kepada MOSTI serta Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pasir Gudang atas sokongan yang diberikan sehingga program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Melalui penganjuran kursus ini, UTM berharap para pendidik yang terlibat dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam bilik darjah masing-masing bagi mendorong pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif, responsif dan dinamik dalam kalangan pelajar di kawasan Pasir Gudang.