UTM anjur Wacana Aspirasi Minda, bahas cabaran generasi muda dalam era digital

SDGSDG4SDG8SDG16

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Wacana Aspirasi Minda bertajuk “Antara Impian dan Realiti: Cabaran Kehidupan Generasi Muda Hari Ini” untuk membincangkan cabaran yang dihadapi oleh generasi muda. Program ini menampilkan dua ahli panel jemputan dan membincangkan isu-isu seperti tekanan kehidupan moden, pengaruh media sosial, kesejahteraan mental, gaya hidup serta pembentukan nilai dan jati diri generasi muda. Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap cabaran generasi muda dalam era digital dan menggalakkan pemikiran kritikal.

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan program Wacana Aspirasi Minda bertajuk “Antara Impian dan Realiti: Cabaran Kehidupan Generasi Muda Hari Ini” yang menghimpunkan tokoh akademik dan pemimpin masyarakat bagi membincangkan cabaran semasa yang dihadapi oleh generasi muda.

Program yang berlangsung di Dewan Seminar Menara Razak, UTM Kuala Lumpur ini bertujuan menyediakan platform dialog intelektual yang membolehkan perkongsian pandangan berkaitan isu-isu seperti tekanan kehidupan moden, pengaruh media sosial, kesejahteraan mental, gaya hidup serta pembentukan nilai dan jati diri generasi muda.

Pengarah program, Dr. Nik Mohd Zaim Ab Rahim dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa universiti mempunyai tanggungjawab yang lebih luas daripada sekadar penyampaian ilmu, sebaliknya perlu berperanan sebagai ruang pembinaan insan yang berfikiran kritikal, beretika dan berdaya tahan.

“Dalam dunia yang semakin kompleks, cabaran utama bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi kebijaksanaan dalam menilai maklumat dan membuat keputusan yang beretika serta bermakna,” katanya.

Dr. Nik Mohd Zaim Ab Rahim menyampaikan ucapan aluan | Dr. Nik Mohd Zaim Ab Rahim menyampaikan ucapan aluan program Wacana Aspirasi Minda

Program ini menampilkan dua ahli panel jemputan iaitu Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan Pengerusi Permodalan RISDA Berhad, Dato’ Lokman Noor Adam. Sesi forum dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Mazlan Ali dari FSSH, UTM Kuala Lumpur selaku moderator. Turut hadir pada sesi tersebut ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Tuan Hj. Azli Yusof. Program ini turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Panelis Wacana Aspirasi Minda. Dari kiri, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali, Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan Dato’ Lokman Noor Adam

Sepanjang sesi forum, para panel membincangkan pelbagai dimensi cabaran yang dihadapi oleh generasi muda dalam mengimbangi aspirasi kehidupan dengan realiti semasa. Antara isu yang diketengahkan termasuk tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan landskap pekerjaan masa hadapan, pengaruh media sosial terhadap persepsi kejayaan, serta cabaran membina identiti dan kesejahteraan diri dalam persekitaran yang semakin kompleks dan pantas berubah.

Barisan panel membincangkan cabaran yang dihadapi generasi muda Malaysia pada masa kini

Perbincangan turut menekankan kepentingan nilai, integriti, daya tahan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan sebagai asas kepada pembentukan generasi muda yang berdaya saing dan bertanggungjawab. Para panel berpandangan bahawa kejayaan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pencapaian material, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembangunan sahsiah, kesejahteraan diri serta sumbangan kepada masyarakat. Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman terhadap cabaran generasi muda dalam era digital, menggalakkan pemikiran kritikal serta memperkukuh kesedaran sosial dalam kalangan peserta.

Peserta yang menghadiri program Wacana Aspirasi Minda secara fizikal di Dewan Seminar Menara Razak, UTM Kuala Lumpur

Perbincangan tersebut turut mencerminkan peranan institusi pengajian tinggi sebagai medan wacana ilmu yang membantu mahasiswa memahami isu-isu masyarakat secara kritikal dan berhemah. Selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, program seumpama ini menyokong usaha universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berintegriti, beradab, berdaya tahan dan mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab sosial mereka.

Ahli jawatankuasa yang terlibat menjayakan program Wacana Aspirasi Minda

Penganjuran Wacana Aspirasi Minda diharapkan dapat terus memperkukuh peranan UTM sebagai institusi yang memupuk budaya ilmu, pemikiran kritikal dan dialog yang konstruktif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih sejahtera, berpengetahuan dan bertanggungjawab.

Explore More

UTM Open Day